Tuesday, July 21, 2020

Beli eBook dari Shopee

Sebenarnya, aku ni macam agak tertinggal kapal πŸ˜…. Baru aku tahu, boleh beli ebook dari Shopee, dan harga memang murah😍. Sebelum ni kalau aku nak cari ebook, aku kena cari kat Google, atau aku cari bahan bacaan dari Facebook. Pernah juga aku cari eBook luar negara, harga mamca agak mampu tengok, sebab tak berbaloi nak beli untuk bahan bacaan bukan fizikal (atau ak je tak jumpa kat mana yang murah πŸ˜“). Memang agak tak best, sebab kena ada internet baru boleh baca. Jadi beberapa minggu yang lepas, kawan aku ada share pasal ada orang jual ebook kat Shopee, dan barulah aku tahu, sebenarnya wujud eBook seller kat Malaysia, dan jauh lagi murah. 

Macam-macam ada

Ada macam-macam buku yang dijual. Buku Harry potter series pun ada 😱. Tapi untuk beli kt Shopee ni, pastikan kita dah tahu apa tajuk/ buku/ penulis yang kita nak cari. Sebab lagi mudah. Kalau kita pun tak tahu nak beli yang mana, dan cuma scroll dari situ je, nescaya tak beli sebab tak tahu nak beli yang mana πŸ˜†. Cara pembelian memang la mudah kan. Harga pun tak lebih dari RM3, jadi memang agak bernafsu la bila membeli tu. Beli je dulu, baca kemudian cerita πŸ˜™.

Lama dah cari. Mudah untuk jadi rujukan.

Tetiba ada buku coding. Dah kenapa aku beli? Sebab konon nak design web sendiri 😎


Cara penghantaran pun mudah. Bila kita dah confirm beli, Shopee akan notify seller, seller akan DM kita, minta alamat email. Kemudian, seller akan email eBook tu pada kita. Mudah, semudah ABC. Download file pub ( utk Apple product) atau pdf, lepas tu boleh la mula membaca seperti biasa. Kalau ikut pengalaman aku, tak sampai sehari pun dah dapat semua ebook. 

Oleh itu, kepada sesiapa yang nak mencuba, boleh la cuba. Carilah buku yang kita berkenan. Boleh la gak isi masa lapang, boleh tambah pengetahuam. Membaca itu amalan mulia. πŸ‘πŸ‘

Monday, July 20, 2020

Post depo: 6 bulan selepas berhenti cucuk depo

Sebelum ni, aku pernah post pasal guna kaedah merancang cucuk depo untuk jarakkan kehamilan (post disini) Ada sebab kenapa aku jarakkan kehamilan aku. Satunya sebab aku masih PJJ dengan suami aku, jadi kesihatan emosi nak jaga anak tu sangat penting. Lagi pulak Aminah jenis light sleeper, dan boleh bersengkang mata sampai pagi, dan aku masih bekerja normal working hours. Ke dua nya sebab dah dua kali bersalin, dua kali jugaklah kena tumpah darah. Kau bayangkan rahim kau kena seluk berkali-kali sampai terasa kat ulu hati sebab dokotr nak cek, nak pastikan tak ada uri yang tertinggal kat dalam tu. Rasa sakit jauh lagi sakit dari sakit beranak πŸ˜–

Aku tahu, setiap orang kemampuan dia lain. Ini kemampuan aku, dan cucuk depo ni adalah pilihan aku sendiri, sebab diri aku, badan aku, aku buat pilihan. Sebab kalau dah tak mampu nak jaga anak,anak terabai, emosi tak terjaga, asyik nak marah-marah, kebajikan anak tak mampu nak penuhi, hmmmm... orang akan salahkan mak bapak juga akhirnya. 

Ok. Berbalik semula pada cucuk depo tu, setelah 2 tahun secara gigihnya berulang alik ke klinik setiap 3 bulan untuk inject, akhirnya aku ambil keputusan untuk berhenti. Aku berhenti sebab aku rasa dah sampai masanya untuk menambah ahli keluarga, tapi bukan dalam keadaan terdesak la. Sebab anak dah dua, jadi lebih kepada kalau ada, alhamdulillah la. Bukan apa, aku taknak letakkan rasa beban tu kat diri sendiri, nanti emosi terganggu, lagi susah nak pregnantπŸ˜….

Umum memang dah tahu, kalau cucuk depo, period akan datang semula paling cepat sekurangnya 90hari selepas kali terakhir cucuk. Secara purata, akan ambil masa 9-10 bulan untuk kesuburan untuk kembali normal, dan paling maksima adalah 2 tahun. Kalau lepas 2 tahun masih ada masalah, ada baiknya jumpa dengan doktor.

Sepanjang masa aku cucuk depo, memang aku tak ada datang haid. Kalau ada pun, tompokkan darah yang termasuk dalam kumpulan darah penyakit, iaitu istihadah. Jadi bayangkanlah 2 tahun tanpa period? AmanπŸ˜†. Tak ada masalah nak kena beli pad tiap bulan, tak ada masalah sengugut dan PMS, tak ada masalah heavy flow. Ada orang rasa tak selesa bila period tak datang. Tapi bila kita faham macam mana konsep depo provera ni bekerja, kita tak akan ada anggapan pun darah tu berkumpul kat rahim, sebab depo ni akan sebabkan tak berlakunya penebalan dinding uterus. Kalau dah tak tebal,mana nak datang period, kan? 

Lepas 3 bulan aku cucuk depo  yang terakhir, period aku datang semula, seperti biasa. Memang tiap-tiap bulan datang tanpa miss. Cuma cycle aku macam agak berubah sikit, dari 30-31 hari ke 29 hari. Tapi kira ok lah tu, masih lagi teratur. Dari segi emosi, kembali kepada normal la. Macam biasa la kalau nak datang bulan, mesti ada PMS kan? Suami aku lagi suka aku on depo, sebab tak ada waktu aku emosi selama seminggu πŸ˜†.

Setakat ni, selain dari benda yang common, lepas berhenti cucuk depo, berat badan aku senang naik. Tapi pasal berat badan ni pun agak tak aci gak, sebab aku dah berhenti fully breastfeed Aminah, kalori yang terbakar untuk buat susu tu dah tak ada, tinggal la jadi lelemak 😒. Kena la usaha sikit jaga kalori makan. 

Setakat itu je aku rasa perubahan lepas berhenti cucuk depo. Sekali lagi aku ingatkan,setiap orang tak sama penerimaan badan dia dengan kaedah perancang ni, Ada orang serasi, ada orang tak. Pastikan dapat nasihat dari doktor dulu, dan perhatikan side effectnya sendiri. Diri kita sendiri, tanya diri kita mana satu yang kita lebih selesa. Kalau orang tanya aku lepas ni aku nak guna kaedah merangcang macam mana, jawapan aku masih lagi guna depo provera ataupun masuk implan terus πŸ˜‰

Sunday, July 19, 2020

Kenapa The King, Eternal Monarch ni boleh dapat low rating??

Gambar: ehsan google (Asian Wiki)


Ini adalah ayat tanya, bukan ayat penyata. Haha. Nampak macam tak puas hatikan? Tapi aku rasa, aku tahu kenapa rating dia boleh rendah kat Korea sana. Satunya, sebab bertembung dengan cerita World of the Married, cerita asam garam kehidupan manusia bekeluarga, ditambah dengan kehadiran perempuan simpanan merangkap perampas dan juga suami tak guna. Nampak lebih menarik dari cerita dua dunia yang menyebabkan penonton terpaksa berfikir secara kritis untuk faham jalan cerita. 

Cerita the King, Eternal Monarch ni dah tarik perhatian aku bila baru keluar teaser. Sebabnya? ada Lee Min Ho 😍. (Eh, jangan salah faham. Encik Fairuz tetap raja dalam hati ye 😘). Cerita ni adalah cerita pertama dia lepas discharge dari compulsary military training. Memang dinantikan lah. 

Berbalik semula kepada cerita The King, Eternal Monarch ni, cerita ni bukanlah cerita biasa anak orang kaya yang kena kahwin  dengan pilihan keluarga dan kena ambil alih perniagaan, tapi jatuh hati pada gadis kampung. Bukan begitu. Cerita ni pasal dua dunia yang berbeza, satu adalah Republik of Korea, lagi satu adalah Kingdom of Corea. Luaran nampak sama, tapi berbeza. Dalam dua dunia ni, ada muka yang sama, tapi nama lain. 

Cerita ni berkisarkan tentang seruling yang bernama Manpansikjeok, seruling yang menjadi kunci kepada dunia lain ni. Seruling ni hanya dipunya oleh raja, oleh itulah sebabnya kenapa penjahat dalam cerita ni (bapa suadara hero), beria membunuh orang demi nak kuasai seruling ajaib ni, sebab nak hidup dalam keadaan tak tua. Seruling ni dianggap merbahaya kalau jatuh ke tangan penjahat, sebab boleh jadi senjata untuk menguasai dunia!

Cerita ni agak berat. Sebabnya. dimensi dunia dalam cerita ni berubah-rubah. Sekejap kat Korea, sekejap kat Corea. Penonton kena sentiasa peka, tak boleh lalai, dan minda kena sentiasa aktif berfikir kalau nak menonton, sebab walaupun kau tengok drama je, tapi kepala kena berfikir untuk cantum jalan cerita dan plot, sama macam puzzle πŸ˜…. Cerita ni tak boleh skip, sebab setiap episod tu sentiasa bercantum dan bergabung. Dah pun drama ni macam puzzle, mana lengkap puzzle kalau hilang sekeping, kan?

Barisan pelakon dalam cerita ni memang hebat. Setiap pelakon berjaya bawak watak masing-masing, dan tak nampak kaku/kekok. Lebih-lebih lagi Woo Do Hwan, yang kena bawak 2 watak berbeza, Jo Yeong yang sangat berkarisma dan smart, dan Eun Sob yang sengal-sengal ubi perangainya. Watak ni memang sangat kontra antara satu sama lain, jadi aku kagum dengan kehebatan dia bawak watak ni. 

Oleh itu, kalau sesiapa yang suka cerita yang bukan cliche, jalan cerita penuh dengan pertanyaan, yang suka aksi ( ada babak gaduh-gaduh), cerita yang kena sentiasa berfikir, boleh la tengok cerita ni. Kalau untuk orang yang bukan disebut diatas, baik jangan tengok, sebab confirm kau tak faham. πŸ˜‚.Untuk drama ni, aku bagi rating 12/10 ( 2 markah extra sebab Lee Min Ho handsome sangat dalam cerita ni πŸ˜‹)


Wednesday, July 15, 2020

Meja Komputer Lazada

rentetan kisah pasal evolusi meja komputer aku waktu dalam fasa PKP (kat sini), kali ni aku nak cerita pasal meja yang aku beli kat Lazada. Meja ni aku tergerak nak beli masa tengah sale 07.07. Aku memang tak teringat pun pasal hari tu ada jualan murah (kononnya0, tapi sebab akak opis aku bercerita dia baru lepas belikan sangkar kucing dan beg laptop suami dia, baru aku teringat, eh ada baiknya aku beli meja komputer πŸ˜€

Dah agak lama aku survey meja komputer, cuma belum tergerak hati nak beli. Dek kerana mindset 07.07 tu jalan murah, aku pun terjebak lah sama πŸ˜†. Pandaikan orang yang buat sale ni? Tau kelemahan manusia bila dikatakan ada jualan murah. πŸ˜‚

Ni la meja komputer yang aku berkenan


07.07.2020 order, 08.07.2020 dah sampai rumah. Terperanjat aku. Punya la cepat. padahal masa aku beli tu, dah pukul 1.00 tengahari. Dah la barang dari Bagan Serai. Hari yang sama dia post, esoknya terus sampai JB. Waktu aku kat opis tu, mak aku mesej, tanya barang besar apa yang aku beli. 😁

Saiz gedabak macam ni πŸ˜‚

Sampai je rumah, terus aku cari meja aku ni. Memang dari awal aku nak pasang sendiri. Excited dibuatnya.

Keadaan bila bukak plastik hitam dan kotak

Bila aku bukak kotak, gabus macam dah pecah-pecah sikit. Iye lah,perjalanan naik pos laju dari Bagan Serai sampai JB, aku takkan demand lebih-lebih la. Meja aku sampai tanpa cacat cela pun aku dah bersyukur yang amat πŸ‘

Benda pertama yang aku cari lepas bukak kotak, selain dari tengok fizikal barang, adalah instruction. Aku bukanlah tokey kilang meja ni,jadi aku tak tau macam mana nak pasang kalau tak ada instruction ni. Kemain banyak lagi bahagian yang nak kena sambung. 



Satu masalah instruction ni, bahagian tu semua ada nombor. Tapi kan, dekat fizikal, satu nombor pun tak ada. jadi apa yang aku kena buat, berpandukan dari gambat instruction tu, aku susun setiap bahagian yang nak kena pasang. Kena tengok betul-betul kat gambar tu, bahagian mana untuk bahagian mana. Setiap bahagian tu ada beza, kena tengok betul-betul jangan sampai salah pasang. 

Kena asingkan setiap bahagian ikut instruction


Skru pun dapat sebemban macam ni

Kena asingkan satu-satu, lepas tu kena buat kumpulan macam dalam instruction 

Dah siap asing semua, kena la pasang satu-satu ikut instruction tu. Bahagian ni agak tricky sikit, sebab kena dari awal asingkan ikut bahagian yang betul. Kalau salah, memang sampai ke sudah la takkan siap benda tu. Lagi satu, kena pastikan setiap bahagian yang kita pasang tu, adalah disambungkan dengan skru yang betul. Ada skru nampak macam sama, tapi tak serupa. 

Setelah berpenat lelah, berpeluh-peluh nak pasang, ditambah tangan melecet sebab salah posisi pegang skrudriver ( ini pun boleh ke? πŸ˜…), siap pasang laci terbalik, pasang meja dia terbalik (semestinya kena bukak semula semuanya. FuhhhπŸ˜“), akhirnya siap jugak semuanya.

Tadaaaaaa. Dah siap

Nampak lain kan dari gambar yang awal tu? Aku pun agak terkejut kenapa dapat lain. Tapi setelah aku baca seula review dalam Lazada tu, memang semua bentuk adalah macam apa yang aku dapat ni. Haha. Ok lah tu. Aku terima je la. Kalau nak pulang semula, maunya aku menangis nak bukak semua semula. 

Setakat ni, aku berpuas hati dengan meja ni. Nampak kukuh walaupun agak ringan. Lagipun aku setakat guna untuk letak yang macam dalam gambar tu je, tak ada benda berat pun. Jadi aku tak berapa risau la benda tu akan runtuh. Dan aku berharap jugak anak aku tak bergayut kat meja atau rak kat sebelah tu. Hahaha. 





Sunday, July 12, 2020

Syampu Halia Watson

Ini bukan dibawah tajaan Watson. Ni adalah dari pengalaman diri aku sendiri ye πŸ˜„πŸ˜„

Siapa pernah beli barangan jenama Watson? Aku tak pernah. Tapi ni lah antara barangan pertama yang memang aku beli dibawah jenawa Watson, iaitu syampu Halia. 


Brand Watson, semestinya syampu ni hanya boleh didapati di Watson. Asalnya, aku teman adik ipar aku untuk beli barang kat Watson. Tetiba aku lalu di bahagian syampu rambut, dan aku tertarik untuk cuba syampu ni. Syampu ni untuk orang yang ada masalah rambut senang putus dan rambut nipis, macam aku. 

Mula-mula aku agak skeptikal la dengan syampu ni. Dah la murah (sebotol RM8.50, selalu aku beli waktu offer), dan wax tu RM15 (wax ni lebih kurang macam conditioner), berkesan ke? 

Review aku setelah guna 3 botol? Memang berkesan 😍. Aku memang sangat berpuas hati dengan hasil syampu ni. Rambut aku kurang gugur, jadi tak adalah rasa sakit hati tengok rambut atas lantai yang lagi banyak dari atas kepala πŸ˜…πŸ˜†. Pernah la masa PKP tu, syampu aku ni habis. Aku tukar la syampu Macadamia ( brand watson gak), tapi memang sakit hati la tengok rambut gugur sana sini. Memang lepas tu aku terus cari balik syampu ni. Lepas seminggu pakai, memang gugur rambut semakin berkurang semula. 😁

Tapi syampu ni ada sedikit kekurangan, iaitu kurang buih. Jadi, aku kena guna dalam kuantiti yang agak banyak, barulah betul-betul bersih kepala aku. kalau tak, mesti akan ada kelemumur. Macam kita tahu, kelemumur tu adalah antara akibat kulit kepala tak dibersihkan dengan betul dari minyak & kotoran. Lepas aku perasan masalah aku tu, aku akan guna syampu ni dalam 5 pam, memang tak ada masalah kelemumur dan kulit kepala gatal. Rambut pun jadi lembut. 

Oleh itu, siapa yang ada masalah rambut rapuh dan nipis tu, boleh la cuba syampu ni. Tapi bergantung la pada keserasian masing-masing, sebab aku memang serasi dengan syampu ni πŸ˜„. Selamat mencubaπŸ˜‰


Friday, July 10, 2020

DIY Masker Rambut Kurang gugur

Normal bagi perempuan yang seusia aku, dah dah beranak, untuk alami masalah rambut. Masalah rambut ni boleh jadi oleh pelbagai sebab, sama ada sebab hormon, pemakanan, stress, atau masalah kesihatan yang lainnya. Jadi kita kena pastikan apa masalah yang kita hadapi, barulah kita boleh cari penyelesaian masalahnya. 

Umum memang tahu, masalah rambut gugur, rambut kusam, rambut cepat putus, rambut macam tali guni, memang sering jadi antara dilema wanita. Rambut tu ibarat mahkota wanita, boleh la sikit tambah kepuasan untuk diri sendiri kalau rambut tu tak tersekat di skala 3, kan? Walaupun kita pakai tudung dan orang lain tak nampak melainkan ahli keluarga sendiri, tapi untuk memiliki rambut ala model syampu iklan kat TV tu jadi salah satu idaman la senang kata. Senang je nak dapat rambut macam tu, kalau kita ada duit (pergi je beli produk rambut yang berkualiti tahap saloon, jangan terkejut tengok harga la 😨) atau kita cari sendiri caranya, cuma mungkin kena try and error, dan mungkin akan lambat sikit la keberkesanannya. 

Salah satu cara untuk kurangkan rambut gugur/ buatkan rambut mudah diurus adalah dengan buat masker. Masker ni bahasa pasar untuk campuran bahan yang kita gunakan, yang kita biarkan sekejap untuk pastikan bahan-bahan tu meresap. Masker tak semestiya untuk muka je. Untuk rambut ni, masker yang agak menarik perhatian aku adalah masker untuk cepat panjangkan rambut dan kurangkan rambut gugur. Masker ni agak senang, boleh cari dekat pasaraya. Mari kita tengok apa bahannya;

Bahannya;
1. 3 sudu perahan lemon/ limau nipis/ limau purut
2. 2 sudu minyak kelapa
3. 2 sudu minyak zaitun
4. 2 sudu aloe vera. 

Caranya;
Campur semua bahan-bahan ni, sapukan di kulit kepala dan rambut, urut-urut sikit kulit kepala tu untuk pastikan bahan-bahan tu rata kat kulit kepala. Biarkan dalam 20-30 minit, lepas tu boleh cuci rambut macam biasa. Kalau tak nak bahan ni meleleh, boleh bungkus kepala pakai tuala atau shower cap. Perap la kejap kepala tu. 

Masker ni boleh buat untuk 2 kali seminggu. Seperti yang kita tahu, bahan-bahan yang aku pakai ni memang selalu ada dalam petua untuk lebatkan rambut. Khasiatnya tu, boleh la google sendiri πŸ˜†. Setakat ni aku baru cuba untuk 2 kali, dan setiap kali guna memang rambut rasa lembut dan senang nak sikat. Untuk hasil sama ada cepat panjang tu, aku lupa pulak nak ukur, sebab memang sebab aku buat masker ni pun untuk nak kurangkan rambut gugur πŸ˜…. 

Selamat mencuba πŸ˜‰

P/s: Nanti aku akan update semula hasilnya lepas 2 bulan. πŸ˜„ 


Wednesday, July 8, 2020

Kisah meja komputer kerja PKP

Kisah meja komputer aku. Sebenarnya, sebelum ni aku tak ada meja komputer dalam bilik. Satunya, sebab aku rasa macam dah sempit bilik ni. Lagi satu, sebab macam tak ada keperluan. Aku memang jarang online menggunakan laptop kat rumah, melainkan sebab terpaksa. πŸ˜… Selalunya aku akan guna handphone, hatta nak update blog sekalipun ( acah macam blogger la sangat. 😏)

Tapi sejak bermulanya MCO, maka aku pun mula la perlu bekerja dari rumah (Work From Home , WFH, bukan WTH). Maknanya, bila aku tak ada meja komputer, menjadi satu masalah untuk aku. Nak guna meja makan, tak sesuai. Nak buat kerja kt ruang tamu, tak boleh sebab anak-anak sedara aku ada dan akan kacau aku. Makanya aku hanya boleh buat kerja kalau dalam bilik je. Huhu.



Ni lah meja komputer pertama aku masa MCO. Lepas je habis waktu bekerja, pinggang aku akan rasa sakit tahap nak patah. Mana taknya, langsung tak ergonomik. Duduk bersila, badan membongkok. Kalau tak pun, aku akan meniarap sambil tongkat badan pakai siku. Memang langsung tak boleh nak fokus buat kerja, sebab selalu tergolek nak betulkan pinngang. Kalau lepas tergolek, boleh faham la aku buat apa lepas tu. 

Lepas tu aku upgrade sikit, guna meja kat ruang tamu. Kat situ ada meja makan. Tapi memang berisiko tinggi, sebab anak dan anak sedara aku suka main kat ruang tamu tu. Pantang laptop aku kena tinggal, lepas tu aku jadi tarzan sebab laptop aku dah kena kacau. Haha. Memang tak boleh jadi la aku nak buat kerja.

Tinggalkan kejap untuk ambil air kat dapur je ni, dah ada assistant πŸ˜…
.
Tahap ke 3, aku upgrade tempat letak tuala/sejadah aku jadi meja. Ada kayu pintu gobok yang dah rosak, aku guna untuk jadikan 'meja'. Bergoyang-goyag macam tak stabil, jadi aku ikat la tapak tempat letak sejadah tu ke tingkap. 

Warna brown tempat letak laptop tu, pintu gobok yang dah tak guna. Kakinya tu tempat letak sejadah. Asalkan boleh guna πŸ˜†


Makin lama, aku rasa makin serabut. Bilik nampak tak kemas dan rasa komputer aku tak selamat. Pulak lepas abg Fairuz bg docking utk laptop da tak ada tempat nak letak, terus aku rasa nak cari meja komputer yang proper sikit. 

07.07.2020, hari Sale. Aku bukak Lazada, dan teringat nak beli meja komputer. Mujur ada yang aku berkenan, terus aku beli. Hahaha. Memang aku puas hati dengan meja tu. Walaupun macam agak ringan la untuk sebuah meja komputer, tapi secara keseluruhannya aku bagi 5bintang dari 5 bintang.πŸ˜‰πŸ˜. Nanti next entry (disini) aku akan cerita lebih detail pasal meja baru aku ni.

Perginya seorang sahabat

Bagaimana tajuk, begitulah hakikatnya. Perginya seorang sahabat yang telah menemui PenciptaNya. Pergi meninggalkan alam yang fana menuju ke dunia yang hakiki. 

Sahabat ni, sebenarnya adalah sahabat baik suami aku. Sebelum aku kahwin dengan suami aku, aku memang dah kenal dengan arwah. Suami dan arwah memang berkawan rapat sejak dari sekolah, berkongsi minat yang sama, sama-sama kena tangkap sebab merokok kat sekolah, masuk universiti yang sama, tinggal di rumah sewa yang sama dan akhirnya tempat kerja yang sama. Bila dah satu opis, makan pun sama, merokok pun bersama. Bermacam rahsia mereka berdua kongsi, dan aku rasa ada antara rahsia tu yang memang kami isteri masing-masing pun tak tahu. 

Namun, tanggal 28 Jun 2020, segalanya berubah. Sahabat telah pergi dijemput Ilahi, asbab kemalangan jalanraya. Bagaimana aku yang sedang memandu pulang dari Alor Gajah ke Johor Bahru, tak mampu menahan air mata tatkala mendengar perkhabaran dari suami aku dihujung talian. Sepanjang 3 jam pemanduan, bukan mudah untuk air mata aku berhenti mengalir. Lagi pula lepas dengar suara suami aku yang menangis setibanya dia di hospital untuk melihat sahabatnya itu, lagi hati aku makin remuk. Sedangkan aku yang hanya seorang sahabat biasa pun sudah sebegini, bagaimana pula dengan suami aku yang sememangnya bagaikan belangkas dengan arwah? Bagaimana pula dengan isteri arwah? Bagaimana pula dengan keluarga arwah?

4 Julai 2020, aku bertemu dengan isteri dan keluarga arwah. Tiada yang buruk keluar untuk arwah, hanya yang baik-baik sahaja. Orang yang ikhlas membantu, orang yang tidak akan menghampakan sahabat, dan segala perkara yang baik dalam diri arwah, semestinya perginya meninggalkan kesan mendalam. Paling terkesan, bila isteri arwah menceritakan bagaimana nama suami aku diletakkan sebagai salah satu jawatan sekuriti banknya. Arwah pernah berkata kepada isterinya, hanya suami aku sahabat baiknya..

Kini, hampir 2 minggu pemergian arwah, aku masih lagi berasa sedih dan teringat segala kebaikan arwah. Aku juga agak risau dengan suami aku, sebab sahabatnya itu la yang dicarinya tak kira masa. Baik waktu makan tengahari, waktu malam selepas kerja, waktu merokok di pejabat, hinggakn no telefon arwah sentiasa berada dalam speed dial suami aku. Kami masih PJJ, jadi diwaktu aku leka melayan anak atau tertidur hingga tak dapat membalas whatsapp suami aku, maka suami aku akan mencari sahabatnya yang seorang ni. Kini, semuanya berubah....

Aku berdoa agar Allah taala berikan kekuatan jiwa pada suami aku, pada isteri arwah Aisyah dan keluarga arwah. Aku berdoa agar arwah Mohd Faisal Nasron ditempatkan dikalangan orang yang beriman, lepas dari azab kubur, dipermudahkan hisabnya nanti, dipermudahkan melalui titian sirat, ditempatkan di syurga Allah bersama para solehin..

Tenanglah kau sahabat di sana. Kebaikanmu akan terus diingati hingga akhir hayat...