Bagaimana tajuk, begitulah hakikatnya. Perginya seorang sahabat yang telah menemui PenciptaNya. Pergi meninggalkan alam yang fana menuju ke dunia yang hakiki.
Sahabat ni, sebenarnya adalah sahabat baik suami aku. Sebelum aku kahwin dengan suami aku, aku memang dah kenal dengan arwah. Suami dan arwah memang berkawan rapat sejak dari sekolah, berkongsi minat yang sama, sama-sama kena tangkap sebab merokok kat sekolah, masuk universiti yang sama, tinggal di rumah sewa yang sama dan akhirnya tempat kerja yang sama. Bila dah satu opis, makan pun sama, merokok pun bersama. Bermacam rahsia mereka berdua kongsi, dan aku rasa ada antara rahsia tu yang memang kami isteri masing-masing pun tak tahu.
Namun, tanggal 28 Jun 2020, segalanya berubah. Sahabat telah pergi dijemput Ilahi, asbab kemalangan jalanraya. Bagaimana aku yang sedang memandu pulang dari Alor Gajah ke Johor Bahru, tak mampu menahan air mata tatkala mendengar perkhabaran dari suami aku dihujung talian. Sepanjang 3 jam pemanduan, bukan mudah untuk air mata aku berhenti mengalir. Lagi pula lepas dengar suara suami aku yang menangis setibanya dia di hospital untuk melihat sahabatnya itu, lagi hati aku makin remuk. Sedangkan aku yang hanya seorang sahabat biasa pun sudah sebegini, bagaimana pula dengan suami aku yang sememangnya bagaikan belangkas dengan arwah? Bagaimana pula dengan isteri arwah? Bagaimana pula dengan keluarga arwah?
4 Julai 2020, aku bertemu dengan isteri dan keluarga arwah. Tiada yang buruk keluar untuk arwah, hanya yang baik-baik sahaja. Orang yang ikhlas membantu, orang yang tidak akan menghampakan sahabat, dan segala perkara yang baik dalam diri arwah, semestinya perginya meninggalkan kesan mendalam. Paling terkesan, bila isteri arwah menceritakan bagaimana nama suami aku diletakkan sebagai salah satu jawatan sekuriti banknya. Arwah pernah berkata kepada isterinya, hanya suami aku sahabat baiknya..
Kini, hampir 2 minggu pemergian arwah, aku masih lagi berasa sedih dan teringat segala kebaikan arwah. Aku juga agak risau dengan suami aku, sebab sahabatnya itu la yang dicarinya tak kira masa. Baik waktu makan tengahari, waktu malam selepas kerja, waktu merokok di pejabat, hinggakn no telefon arwah sentiasa berada dalam speed dial suami aku. Kami masih PJJ, jadi diwaktu aku leka melayan anak atau tertidur hingga tak dapat membalas whatsapp suami aku, maka suami aku akan mencari sahabatnya yang seorang ni. Kini, semuanya berubah....
Aku berdoa agar Allah taala berikan kekuatan jiwa pada suami aku, pada isteri arwah Aisyah dan keluarga arwah. Aku berdoa agar arwah Mohd Faisal Nasron ditempatkan dikalangan orang yang beriman, lepas dari azab kubur, dipermudahkan hisabnya nanti, dipermudahkan melalui titian sirat, ditempatkan di syurga Allah bersama para solehin..
Tenanglah kau sahabat di sana. Kebaikanmu akan terus diingati hingga akhir hayat...
No comments:
Post a Comment