Tuesday, December 4, 2012

Boikot MemBoikot

Baru-baru ni masayarakat dunia,khususnya umat Islam dikejutkan dengan berita Palestin diserang tentera Zionis Isreal. Sebabnya? Hamas dikatakan menyerang Israel, oleh itu pihak Zionis berhak menyerang balas dengan membunuh beratus beribu nyawa umat manusia yang tidak berdosa.
 
Bukan baru Palestine berdepan dengan serangan dan penjajahan Zionis. Sudah lama. Namun, setiap kali berita Palestine diserang, datang suara-suara yang mengeluarkan slogan untuk memboikot barangan Israel.

Hmm..nak cakap suara sumbang atau pun suara halus?

Suara sumbang:
Untuk mereka-mereka yang galak melontarkan pandangan dan idea tentang memboikot barangan israel,namun hanya untuk seketika. Mereka tetap meneruskan pemakaian barangan Israel yang sedia ada, tidak terus membakar atau membuangkannya. Selain itu, mereka dengan sinisnya akan memandang umat-umat manusia yang menjejakkan kaki ke McDonald, selain mengeluarkan fakta hukum hakam mengalahkan alim ulama di jabatan mufti. Apabila berdepan dengan komen yang agak bertentangan dengan pemikiran mereka, dengan lajunya mereka akan melenting, mencaci seterusnya tidak menghormati orang itu. Selepas itu, bila keadaan semakin reda, apabila berita Palestin diserang semakin berkurang, maka pemilik suara sumbang ini akan kembali melakukan rutin harian, makan tengahari di McDonald, sarapan pagi dengan barangan Nestle, dan sebagainya.

Suara halus
Untuk mereka-mereka yang sentiasa memboikot bukan sahaja barangan Israel, malah barangan negara-negara yang boleh mengganggu gugat ketenteraman masyarakat islam yang lain. Sememangnya mereka istiqamah dalam mendalami kehidupan sebagai seorang muslim yang sejati. Mereka menghormati dan tidak meng'condemn' pandangan umat manusia lain yang tidak mahu memboikot barangan manusia-manusia zalim itu, tapi dalam masa yang sama mereka cuba menarik umat-umat manusia ini untuk memahami isu boikot dengan secara halus. Mereka tidak sewenang-wenangnya melenting, selain mengkafirkan umat manusia yang lain. Cara mereka inilah sedikit sebanyak boleh menarik perhatian umat manusia lain untuk sama-sama memboikot barangan manusia zalim.

Setelah aku memerhatikan kedua-dua jenis umat manusia ini, dapat disimpulkan bahawa jumlah mereka yang bersuara halus amat sikit. Rata-rata umat manusia cenderung untuk menjadi manusia bersuara sumbang, atau separa sumbang. Isu boikot ini merupakan sesuatu yang amat sensitif, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan sumber pendapatan umat sebangsa dan seagama kita, seperti pekerja Nestle dan McDonald. Memang pilihan terletak di tangan kita, namun kita tak berada di dalam situasi mereka ini. Rata-rata yang ber'kicau' merupakan mereka yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang menjadikan McD dan Nestle sebagai pendapatan utama. Kini, untuk mencari pekerjaan bukannya mudah. Bagi mereka yang telah nekad, memang mereka boleh mencari kerja lain. Tapi,sebelum mereka mendapat kerja lain, dimanakah sumber pendapatan mereka? Memang rezeki datang dari Allah Taala, namun rezeki takkan turun dari langit bagai hujan, dan kita hanya duduk menadah tangan mendongakkan muka ke langit. Kita sebagai hamba ini perlu mencari dan menyelongkar rezeki itu.  Dalam ketika mereka ingin mencari rezeki lain itu, bagaimana mereka ingin mengisi perut anak isteri di rumah?

Terus terang aku berkata di sini, aku amat mengutuk tindakan zionis israel terhadap umat islam di Palestine, dan aku bukannya pemegang sepanduk menyeru umat manusia memboikot barangan keluaran manusia zalim ini. Sebagai manusia, kita mengetahui hakikat bahawa Amerika Syarikat juga ada memberi dana kepada israel. Nah, adakah anda semua mahu memboikot barangan Amerika secara keseluruhannya? Jika kita selongkar komputer yang sedang kita gunakan, dapatkah kita pastikan komputer itu 100% bebas dari barangan Israel walaupun pada luarannya ia ' Made In China'? Adakah kita dapat benar-benar pastikan handphone yang kita pakai itu benar-benar bebas dari Israel walaupun 'Made in Korea'?

Ada pelbagai cara untuk membantu saudara kita di Palestine. Walaupun boikot merupakan salah satu cara, namun bukan bererti mereka yang makan McD itu menyokong pembunuhan umat islam di Palestin. Adakah kita tahu jika mereka ini menyalurkan sumbangan beribu ringgit kepada Syarif Aqsa sebagai bantuan kewangan dan perubatan di sana? Dapatkah kita pastikan mereka yang tidak memboikot ini tidak pernah mendoakan kesejahteraan umat manusia yang lain hingga menitiskan air mata? Adakah kita dapat pastikan mereka yang tidak memboikot ini tidak pernah berusaha untuk membantu saudara kita di sana? Tidak sama sekali. Sebelum kita menemplak sahabat-sahabat kita yang terang-terang makan McD, tanya dulu pada diri sendiri, apa yang telah kita lakukan untuk membantu saudara kita? Jika baru setakat boikot untuk sebulan, jangan sesekali memperkecilkan orang lain. Setiap manusia ada hak. Kita perlu hormati hak dan pandangan orang lain. Jangan kerana pemikiran cetek kita yang terlalu dangkal, sesuatu yang boleh difikir secara logik pun menjadi tertutup, hanya nampak satu cara sahaja. Jangan memandang sahabat-sahabat yang tidak memboikot itu pandangan jijik dan sinis. Jika kita mahu mereka turut sama dalam usaha kita, ajak la secara halus, bukannya dengan cara berlagak bagaikan diri sendiri manusia suci. Jika mereka tidak mahu, doakan agar terbuka hati mereka, bukannya mencaci mereka.

 Jika kita telah tetapkan dalam hati mahu memboikot, jangan kepada barangan tertentu sahaja. Boikot semua jenis perkara, dari makanan hingga ke kehidupan seharian. Jika kita tidak mampu untuk memboikot barangan manusia zalim ini 100%, pastikan ada sedikit dari duit gaji dititipkan kepada saudara kita di sana. Jika tidak mampu, jangan lupakan secebis doa untuk kesejahteraan mereka. Jika ada sahabat sekeliling dengan bangganya makan McD, jangan mencaci mereka. Mereka ada pandangan sendiri, dan kita perlu hormati mereka.

Sunday, December 2, 2012

Wanita dan shopping

Setelah berminggu sibuk tertimbus dengan kerja opis hingga aku tak mampu  nak hidup dengan normal, akhirnya aku mampu menarik nafas lega (tarik nafas dalam-dalam,hembus keluar ikut mulut, bukan punggung ye. Nanti kena hempuk pulak.) Tangan aku ni dah berminggu gatal nak menulis, tapi baru hari ni mampu nak  menghilangkan kudis kegatalan aku kat atas papan kekunci. Tetibe aku nak cakap pasal shopping, atau membeli belah. Kenapa ye? Mungkin sebab aku sibuk tengok kawan-kawan aku post kat Twitter dan Facebook pasal diorang pergi membeli-belah hampir setiap hari.
 
Berbelanja a.k.a shopping sangat sinonim dgn wanita. Tanya sahaja wanita mana yang tak suka shopping? Tak kira la sama ada shopping baju, kasut, beg, mahupun makanan (Yang bab makanan,aku la tu.hehehe.). Mungkin bagi sesetengah orang, bershopping bukan sahaja membuang masa, malah tenaga dan juga duit. Namun,sebagai gantinya, penggemar shopping akan mendapat kepuasan. Ya, kepuasan memiliki apa yang mereka kehendaki. Cuma, kesannya ialah melompong di akhir bulan akibat duit dalam akaun dah kering kontang, kemarau macam kat Afrika.
 
Bila kita (a.k.a wanita hantu shopping) keluar terbang bebas sambil menebarkan sayap menuju ke shopping kompleks pilihan, sudah pasti didalam kepala telah memilih-milih apakah barang yang nak di beli, walaupun hanya dalam kesamaran. Namun, pilihan yang sebenar-benarnya hanya akan dilakukan apabila sang puteri dah berdepan dengan barang idaman hati. Itu lah sebabnya mengapa wanita-wanita ni cepat rambang mata, sebab pilihan yang utama itu dah ditetapkan dari awal. Bila nampak lawa je, nak beli. Asal nampak comel je, nak beli. Akhirnya, tanpa disedari, wang yang mengalir keluar tu bagaikan mata air, laju dan laju. Lagi satu, disebabkan wanita mudah rambang mata, maka pilihan yang dibuat akan mengambil masa yang agak lama. Banyak aspek dan faktor yang akan diambil kira, termasuklah warna, saiz, jenis, kekemasan, kesesuaian, dan juga pandangan orang yang berdekatan (mungkinkah teman shopping?), sehingga si teman shopping akan menjadi bosan tahap gaban.

Tidak hairan jika kita pergi ke shopping compleks, kebanyakkan kedai akan menjual barang yang berkaitan dengan wanita. Jika kita melangkah masuk ke kedai kasut, 80% dari kasut-kassut disitu merupakan kasut wanita. Tidak lupa juga kedai alat kosmetik, kedai pakaian, kedai tudung, dan bermacam-macam kedai yang menjadi tumpuan wanita. Oleh itu, boleh dikatakan wanita merupakan penyumbang kepada ekonomi negara, dimana kebanyakkan wang habis dilaburkan ke shopping kompleks. Mengapa wanita menjadi sasaran utama? Sebab wanita dilahirkan mempunyai perasaan halus, perasaan mudah untuk tertarik dan terpesona. Jika ditanya wanita yang paling kedekut kat dunia pun, jika ternampak sesuatu yang berkenan di hati di pasar raya, rasanya tembok besar cina pun mampu diharunginya. Walau sepandai mana pun wanita menguruskan kewangannya, pasti akan ada sedikit dari duitnya akan dilaburkan untuk membeli belah.

Wahai wanita-wanita sekelian, tidak salah untuk berbelanja dan bershopping, asalkan jangan merana diri sebab dah habis duit belanja. Kadang-kadang, barang yang dibeli itu sebenarnya satu kehendak, bukan keperluan. Memang benar shopping boleh dijadikan terapi, tapi lepas tu kita mungkin akan memerlukan terapi untuk menenangkan minda lepas tengok duit belanja yang dah kering kontang.

 

Wednesday, September 12, 2012

Manusia itu Degil

Manusia itu degil,
Lagi kita halang, lagi dia akan buat.
Manusia itu degil,
Walau dah tahu akibatnya buruk,
Nak juga buat.
Manusia itu degil,
Walau apa kata orang lain,
Dia tetap dengan pendiriannya.
Manusia itu degil,
Jika hitam katanya,
maka warna lain pasti tak kelihatan.
Manusia itu degil,
Walau beribu nasihat yang diberikan,
ia akan dibiarkan selagi hasratnya tak tercapai.
Manusia itu degil,
Walau dia tahu dia akan terluka,
dia tetap terus dengan kemahuan hatinya.
Manusia itu degil,
Sudah menjadi lumrah dunia,
manusia-manusia degil ini akan terus berdegil.
Manusia itu degil.
Dan aku adalah manusia degil itu.
 
*Kadang-kadang,aku boleh berubah dari manusia degil kepada manusia yang mendengar kata. Semuanya bergantung kepada keadaan, kerana aku juga diibarat bagai Manusia Sesumpah,berubah mengikut masa dan keadaan*
 

Saturday, September 8, 2012

Aku KAYA!!!!

Aku dapat email, ada orang nak bagi aku duit selepuk turun dari langit.Hahahaha..
 
Sekarang, semakin ramai manusia yang jadi hamba duit. Iyalah, bila hidup di zaman moden ni, semua perkara guna duit. Bermula dari dilahirkan, sampailah dikebumikan. Bila lahir, ibu bapa fikir untuk cari duit tampung kos hospital, bidan,susu, lampin, baby sitter, mainan, baju dan entah apa-apa lagi. Bila meninggalkan dunia, waris perlu sediakan wang untuk tampung kos pengkebumian, kenduri dan lain-lain lagi. Dengan kos hidup yang semakin meningkat mengalahkan bangunan pencakar langit di bandar-bandar besar, kelihatannya wang menjadi satu keperluan yang sangat wajib. Mana tak nya, nak masuk tandas pun kena bayar RM0.50.

Disebabkan duit, kadang-kadang nilai kemanusiaan makin terhakis. Manusia sibuk mengejar duit. Sana sini duit. Semakin banyak orang yang memperalatkan orang lain untuk mengaut keuntungan, baik dari secara terang-terangan, ataupun secara tersembunyi. Lihat saja berapa ramai orang yang menjadi hamba judi dan nombor ekor? Berapa ramai yang terpedaya dgn skim cepat kaya dan MLM? Ramai. Selalunya mereka yang terlibat ni mengimpikan rezeki yang turun dari langit seerti air hujan. Tapi sebenarnya, tiada jalan mudah untuk dapatkan duit. Segalanya perlukan usaha. Tiada usaha, maka tiada la rezeki.

Selain itu, jika diintai inbox Spam email, pasti akan dapat pelbagai email yang menawarkan imbuhan duit. Mungkin ada jutawan yang nak share harta, jika tak pun ada ahli perniagaan yang kaya raya nak jadikan kita rakan kongsi. Ada juga manusia bertanduk yang sanggup membuat fake internet banking link, semata-mata ingin mendapatkan wang dengan cara mudah. yang menjadi mangsa, mereka-mereka yang tidak mengikuti perkembangan semasa. Mereka tidak tahu cara-cara penipuan yang sering dilakukan oleh manusia bermata duitan ini. Pada mereka, peluang yang datang sudah semestinya tidak boleh dilepaskan. Bagaikan manusia disorongkan bantal, semua kehendak si penipu akan diturutkan,termasuklah memasukkan sejumlah wang dalam jumlah yang tinggi. kasihan mereka ini. Sudah pasti akan merasa kecewa setelah menyedari hakikat sebenar.

Oleh itu, berhati-hatilah. Perlu ingat, jika tiada usaha yang halal, maka duit takkan datang bergolek-golek. Wang perlu diperoleh dengan usaha sendiri. Sesungguhnya, wang dari hasil dari titik peluh sendiri adalah lebih diberkati dan dirahmati.
 

Thursday, September 6, 2012

Cikgu Vs Engineer

Dah lama aku tak menulis. Entri sebelum ni semua main copy-paste je. Idea bersepah dalam kepala,sampai dah melimpah ruah. Pemalas sungguh. Eh, bukan pemalas, tapi aku tak ada masa dan tak ada mood nak menulis. Aku hanya banyak membaca blog orang lain, atau baca semula blog orang lain.
 
Baru-baru ni aku terbaca pasal ada Cik Engineer yang mengutuk Cik Cikgu. Kat mana entah aku terbaca, dah terlupa daa. Cik Engineer dengan bangga membandingkan Cik Cikgu yang dapat teramat banyak kelebihan, dan dia melihat kerja Cik Cikgu ni sangat mudah, senang kata macam dapat gaji buta je. Untuk pengetahuan cik Engineer, Cik Cikgu bekerja dengan kerajaan, a.k.a Penjawat Awam. Jadi, sudah menjadi lumrah penjawat awam akan mendapat kelebihan yang sangat banyak dan melimpah ruah, hingga mereka-mereka yang kerja swasta (Cik Engineer mungkin termasuk kot) menjadi jeles hingga merah padam muka bila lihat slip gaji penjawat awam ni. Mana taknya, walaupun gaji kecik, tapi elaun yang dapat, mak aih~juling mata aku tengok. (Terima je la kenyataan)
 
Aku pun orang teknikal, senang kata, aku pun Cik Engineer. Aku ada bersepah kawan-kawan yang jadi Engineer, dan aku pun ada bersepah kawan-kawan yang berstatus Cik Cikgu, tak kira la taska, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej dan Universiti. Aku beri pendapat ni berdasarkan pandangan aku terhadap cikgu-cikgu di luar sana. Aku cuba masukkan diri aku ke dalam kasut cikgu-cikgu ni. Walaupun aku agak jeles dengan kelebihan yang cikgu-cikgu ni dapat, tapi aku sedar tugas yang diorang pikul bukannya ringan.
 
Pada pandangan mata kasar, memang kerja cikgu nampak mudah. Masuk kelas, pot-pet-pot-pet, kebabom, lepas tu keluar kelas, duduk kat bilik guru buat ntah apa-apa, lepas tu balik rumah tergolek tidur. Itu pada pandangan mata kasar. Tapi pada hakikatnya, banyak lagi yang cikgu kena buat. Dah la mereka ni dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak bangsa masa kini yang rata-ratanya perangai mengalahkan lembu-kambing-ayam (Maaf la, bahasa agak kasar, tapi aku dah tak tahu nak gelarkan diorang ni apa lagi, sebab degil tahap gaban, nakal dan sangat susah nak di handle kalau tak kena cara dan kena sangat bersabar), kena pula fikir strategi bagaimana nak naikkan prestasi anak-anak bangsa ni setiap kali peperiksaan. Kalau anak-anak bangsa yang manja-manja kucing ni dapat prestasi yang buruk mengalahkan kain buruk, conform cikgu-cikgu ni akan 'dicuci' bukan sahaja oleh Guru besar/pengetua/pengarah kolej/ dekan/ naib canselor, malah mereka akan dicuci bersih seperti direndam Clorox selama setahun oleh ibu bapa yang merasakan anak mereka menjadi bodoh disebabkan cikgu tak buat kerja. What the ayam? Budak jadi bodoh sebab tak nak usaha sendiri, bukan sebab salah cikgu. Ilmu itu perlu dicari, ilmu takkan turun dari langit 'selepuk' depan mata, masuk dalam otak. Kalau ada macam tu, baik tak payah buka sekolah. Duduk je kat laman rumah, dongak kepala ke langit, tunggu ilmu turun mencurah-curah macam hujan. Kalau tak bernasib baik, yang turun tu mungkin najis burung yang berterbangan di langit.
 
Selain tu, walaupun cikgu ni balik awal, tapi cikgu-cikgu ni dah la kena buat soalan peperiksaan, kena pula tanda kertas jawapan. Kalau dia mengajar sampai 4-5 kelas dan satu kelas ada lebih kurang 30 orang murid/pelajar? Mahunya juling mata nak menanda. Nak tak nak, terpaksalah angkut kertas jawapan yang banyaknya mengalahkan recycle paper tu ke rumah, menanda sampai mata pun dah lebam macam panda. Lepas tu, kena update markah, pastu kena buat report, pastu..pastu..pastu yang macam-macam lagi. Mungkin bagi sesetengah orang benda ni perkara biasa, tapi kalau tak ada komitmen yang tinggi, conform dah tersadai separuh jalan. Perihal cikgu-cikgu buat jualan langsung/ part time tu, itu terpulanglah pada diorang. Bukan cikgu pun sibuk buat jualan langsung, orang tak kecoh pun?
 
Kerja cikgu bukan mudah. Nak pastikan anak didik yang dididik tu mendapat ilmu yang diturunkan pun bukannya mudah. Nak pastikan anak murid yang di ajar tu dapat praktikkan apa yang diajarpun bukannya senang. Kadang-kadang aku kena la juga ajar adik aku yang belajar di darjah 6. Baru sorang aku ajar pun rasa macam nak sakit jantung bila kita ajar sekali dia tak faham. Rasa nak cubit-cubit pun ada. Bayangkan tu baru sorang. Kalau 30 orang? Mahunya aku terus masuk hospital. Kiranya gaji yang cikgu-cikgu dapat tu berbaloi la dengan kerja yang diorang jalankan. Kena ingat, kalau tak ada cikgu yang dikatakan 'makan gaji buta' ni, conform perkataan 'engineer' pun kita tak reti eja, inikan pula nak kerja sebagai engineer. Kalau tak kerana cikgu yang berhempas pulas mengajar, buat kelas tambahan tiap-tiap hari, tak adanya anak murid tu jadi orang, melainkan anak murid tu memang degil macam kayu sampai bila orang bagi nasihat pun mantul semula keluar.
 
Ni pandangan peribadi aku. Terpulanglah pada individu yang nak menilai. Macam 'Cik Engineer' yang menulis dalam blog lagi satu tu pun, aku faham, itu pandangan dia. Setiap orang ada pandangan berbeza. Cuma satu je, jangan perkecil dan permudah tugas cikgu. Nampak mudah pada luaran, tapi hakikatnya, sangatlah sukar. Kalau tak ikhlas, dah lama dah cikgu-cikgu ni tak jadi cikgu.
 

Saturday, August 4, 2012

Kepada Dia yang perlu mencuba


Kepada: Dia yang perlu mencuba

Cuba kau dengar
cuba kau cuba
diam bila ku cuba
tuk berbicara dengan kamu

Pernahkah kau ada
bila ku perlu
tuk meluahkan rasa hati

Dan bila kau bersuara
setia ku mendengar
agar tenang kau merasa

Siapa
sebenarnya aku padamu
mungkin sama dengan teman lain
yang bisa kau buat begitu
dan bila
tiada lagi teman bermain
kau pulang tuk dapatkan aku
itulah aku…padamu

Cuba kau lihat
cuba kau cuba
renung ke mata aku
bila ku kaku melihatmu

Pernahkah kau ada
bila ku perlu
tuk menyatakan rasa sakit
dalam diri

Dan bila kau perlu
setia ku menunggu
agar senang kau merasa

Siapa
sebenarnya aku padamu
mungkin sama dengan teman lain
yang bisa kau buat begitu
dan bila
tiada lagi teman bermain
kau pulang tuk dapatkan aku
itulah aku…padamu

Maafkan kerana aku tak pernah
terlintas tuk menulis pada mu
salahkan ku
tak mungkin lagi aku meminta
untuk kau mendengar..
untuk kau melihat ke mataku

Siapa
sebenarnya aku padamu
mungkin sama dengan teman lain
yang bisa kau buat begitu
dan bila
tiada lagi teman bermain
kau pulang tuk dapatkan aku
itulah aku…padamu
~Faizal Tahir-Cuba~

Daripada: Dia yang telah banyak mencuba 


*Sejak akhir-akhir ni aku banyak post lirik lagu. Bukan dah tak ada idea,tapi aku rasa lagu tu dah mampu nak beritahu apa yang kepala aku tengah fikir*

Thursday, August 2, 2012

Aku hanya serangga

Entah kenapa, lagu ini sering bermain di fikiran aku selama 2 3 hari ni. Biasanya macam tu la, bila dah terlintas di minda, berhari-hari boleh melekat dalam kepala. Aku akui, lagu-lagu pada zaman ini antara lagu yang sering dimainkan kini. Walaupun telah berpuluh tahun, namun tak pernah lapuk dek zaman. Aku suka bagaimana penulis lirik ini mencoretkan buah fikirannya. Masih relevan ayat ini hingga kini. Aku suka lagu ni, mugkin kerana aku merasakan dalam hidup manusia lain, aku hanya serangga~

Aku hanya serangga- BPR

Mengapa aku tak dapat melupakanmu
Antara perjalanan
Suci menangkap waktu
Membuat aku rindu

Bukannya aku tewas dalam perjuangan
Membelai impian
Sebentar tadi aku
Lihat sinar matamu

Meronai garis-garis kesetiaan
Semakin kelam dan amat panjang
Bagaimana aku hendak melupakanmu
Dalam keheningan pagi sering bertemu

Untuk esok biarlah ia berlalu
Lantas membuang mata fikirku
Dalam kenangan begitu payah melupakanmu
Mungkin untuk selama-lamanya

Jadilah aku pengingat yang setia
Setelah aku tahu
Aku hanya serangga
Di taman belantara


Harga Sebuah Kemaafan

*Entri ni ditulis setelah aku mendengar cerita dari sahabat baik aku, Cik Khal, mengenai manusia ini.Hohoho.*

Maaf, ucapan yang selalu didengari tapi sukar untuk diungkapkan. Ada yang suka mengungkapkan maaf, ada yang sukar. Ada yang mengungkapnya kerana betul-betul inginkan kemaafan, namun ada juga yang mengungkapkannya sekadar ingin memaniskan mulut, mengkendurkan keadaan yang tegang. Mencari dan memberi kemaafan itu amat sukar,jika hati kita dipenuhi dengan selaput hitam.

Maaf amat berkaitan dengan ego. Meminta maaf itu memerlukan kita menurunkan sedikit ego yang menggunung dalam diri. Setakat mana ego yang direndahkan? Ia bergantung kepada situasi. Mungkin ada yang serendah hidung, ada yang serendah pinggang, dan ada juga yang serendah paras buku lali. Maaf boleh diberi, dan boleh dipinta. Maaf diberikan pada mereka yang layak menerima, mereka yang telah menyesal dengan kesalahan yang telah dilakukan. Maaf bukan sewenang-wenangnya boleh diberi.

Ada pelbagai ragam dan jenis manusia di dalam dunia ini. Ada manusia yang telah melakukan kesalahan, namun tidak menyedari kesalahan itu berpunca dari diri mereka sendiri. Walaupun telah ditegur, namun si manusia ini tetap dengan pendiriannya. Si manusia ini beranggapan bahawa orang lain itu yang sepatutnya meminta maaf, bukan dirinya. Manusia ini sememangnya amat sukar untuk menurunkan paras keegoaannya yang setinggi Gunung Everest, amat dingin dan tinggi melangit. Namun, dia perlu sedar, matahari sentiasa berada di atasnya. Lambat laun, kemegahan puncak ais itu akan luput, yang tinggal hanyalah bongkahan batu yang hodoh, kering dan terpinggir. Sampai bila nak berada di atas? Walau setinggi mana pun kemegahan itu, lambat laun ia kan tersungkur ke bawah, ketika itu diri kita akan berada lebih rendah dari paras buku lali. Tak salah jika merendahkan sedikit keegoan pada ketika ini,supaya maruah dan harga diri masih lagi terjunjung setinggi langit.

Apalah kiranya jika kita menjawab ucapan maaf seorang sahabat jika kita merasakan kesalahan itu bukan berpunca dari diri kita sendiri? Apa salahnya jika kita memaafkan sahabat jika sekiranya dia telah menyesali perbuatannya itu? Jangan pernah terfikir bahawa maaf seorang sahabat itu tidak berguna. Walau sekecil mana pun ucapan maaf itu,sambutlahh ia, hargailah ia. Sekurang-kurangnya sahabat itu telah merendahkan sedikit keegoannya demi diri kita. Jangan pernah membangga diri walaupun kita berada di puncak perhatian, kerana satu hari,pasti kau akan melutut di bumi meminta pertolongan sahabat itu.

Serendah mana lagi sahabatmu itu perlu menurunkan keegoannya? Jika kita masih lagi berdiam diri membongkakkan diri, sesungguhnya kitalah yang bertanggungjawab memutuskan tali silaturrahim. Jangan satu hari nanti,kita yang mencari-cari kemaafan itu.

Sunday, July 22, 2012

Al-Fatihah buat nenekku

-Al-Fatihah-

Hari ni genap setahun pemergian nenek aku, Meriam binti Salleh ketika berumur 82 tahun, setelah 3 tahun menghidap angin ahmar. Selama 3 tahun juga aku merasa menjaga makan pakai nenek. Teringat bagaimana nenek cuba mengesot pergi ke bilik air sendiri untuk buang air kerana malu dengan cucu-cucunya.

Selama hayatnya semasa nenek masih sihat, nenek lebih gemar hidup sendirian di rumahya yang terletak di Bukit Tekedai, Endau, Mersing. Halaman rumah nenek memang sentiasa bersih, dan pokok-pokok sentiasa di jaga rapi. Nenek akan meracun rumput dan lalang yang tumbuh di halaman rumahya, tidak perlu menunggu kami pulang untuk melakukan semua itu. Nenek memang tidak gemar meyusahkan anak-anak dan cucu-cucunya.

Setiap kali balik ke kampung halaman, nenek akan sentiasa sediakan makanan untuk cucu-cucunya. Nenek akan pastikan bekalan bahulu sebanyak 3 bungkus khas untuk aku seorang akan disediakan. Nenek akan berasa bangga setiap kali kami pulang ke kampung, dan pasti akan sibuk menjawab soalan yang diajukan orang-orang kampung mengenai kami, selain sibuk mengajak kami menziarahi saudara-mara yag lain.

Aku masih ingat, sepanjang hayat aku, tidak pernah aku menyambut hari raya yang pertama di kampung. Abah dah tetapkan bahawa malam raya dan raya pertama, kami perlu raikannya di Johor Bahru, kampung halaman abah, walaupun setelah ketiadaan Tok Bak dan nenek. Namun, nenek tidak pernah sekalipun menunjukkan ketidakpuasan hati. Baginya, jika kami pulang walaupun pada hari raya yang kedua pun, ia telah memadai.

Aku masih teringat bagaimana nenek mempertahankan aku dari penyamun yang merompak rumah nenek. Walaupun penyamun itu sudah meletakkan pisau di leher nenek, nenek tetap tak berputus asa menjerit meminta tolong, walaupun pada waktu itu kawasan sekeliling rumah nenek memang tiada berpenghuni. Alhamdulillah, walaupun aku kehilangan handphone pada malam itu, kerana nenek, aku terselamat dari perkara yang tak diingini.

Tepat 2 Ramadhan 1432, jam 7.45mlm, dikala umat islam yang lain sibuk menjamu juadah untuk hari puasa yang pertama, nenek pergi meninggalkan dunia yang fana. Masih terlayar di fikiran di saat nenek menghembuskan nafas terakhirnya. Semoga nenek ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang beriman dan dirahmati rohnya. Amin.

Tuesday, July 17, 2012

Tiada yang Kedua

Sambil buat kerja waktu petang,ditemani rintik-rintik hujan yang turun membasahi bumi, tiba-tiba playlist memainkan lagu ini.

Khafi- Tiada Yang Kedua

Haruskah aku menerima
Kasihmu yang baru menguntum bunga
Jangan hanya indah di mata
Jangan disiakan madah cinta

Namun bintang bukannya satu
Kerdipan hatiku ingin kau buru
Andainya kau kehampaan
Jangan aku yang jadi alasan

Ku fikir kau teman biasa
Tidak akan berputik cinta
Mungkin jua belum menjelma

Aku tak sanggup dikecewa
Cinta ku satu untuk selamanya
Aku pencinta yang setia
Mustahil ada yang kedua

Ku fikir kau teman biasa
Tidak akan berputik cinta
Mungkin jua belum menjelma

Aku tak sanggup dikecewa
Cinta ku satu untuk selamanya
Aku pencinta yang setia
Mustahil ada yang kedua

Aku tak sanggup dikecewa
Cinta ku satu untuk selamanya
Aku pencinta yang setia
Mustahil ada yang kedua

Yang Kedua…
Tiada Yang kedua…


Aku rasa seperti sedang mendengar seseorang berkata-kata, seperti berbual dengan aku. Seseorang yang mengungkapkan ayat ini.

Ia mengingatkan aku tentang sesuatu.

Hakikat.


Sunday, July 15, 2012

Ramadhan bakal tiba lagi

Ramadhan bakal tiba tak lama lagi, Insyaallah, jika masih diberi peluang menghirup nafas untuk menyambutnya pada 21 Julai 2012. Rasa macam cepat masa berlalu. Pejam celik,dah jumpa Ramadhan yang baru. Sudah semestinya, jika cakap pasal puasa, mesti akan cakap pasal makanan, ye tak? Tradisi bagi orang Malaysia ni, beli makanan kat bazar ramadhan. Makanan yang dijual, beraneka jenis, macam-macam variasi, sampai pengguna pun dah rambang perut (Yelah, rasanya semua nampak sedap, walaupun yang sebenarnya makanan tu kurang sedap). Iklan pasal kordial warna oren, ungu, merah, pink semua dah terpampang kat TV. Tidak ketinggalan juga iklan kurma Yusuf Taiyoob (Sila sebut macam dalam iklan, kena bisik-bisik sikit.)

Jika tiba Ramadhan, perkara yang paling yang selalu dibuat adalah pembaziran. Beli makanan sepenuh meja makan, tapi akhirnya yang dimakan sikit sahaja. Biasa terjadi, bukan? Tak salah jika nak beli bermacam-macam makanan, tapi sebelum tu, tanya dulu pada perut, sama ada larat makan atau tidak, bukannya tanya rasa-rasanya sedap atau tidak? Sebab kalau tanya pasal sedap, bila bulan puasa, semua nampak sedap kalah lauk hotel berjuta-juta bintang.

Mari tengok video Kelakar Raya - Haram, kecoh kecoh raya waktu berbuka  oleh Suhaimi Yusof & The Rubberband:

*Suhaimi Yusof ni adalah pelawak terkenal Singapura. Sebelum dia masuk Maharaja Lawak lagi memang aku dah kenal dia (Orang Johor Bahru dapat siaran tv Singapore, jadi memang hairan la orang JB kenal Aaron Aziz lagi lama bertahun-tahun dari orang KL). Setiap kali akhir rancangan ni, pasti ada ustaz yang akan terangkan situasi yang berlaku, siap cakap mana satu yang betul dan mana yang salah. Ia merupakan sesuatu yang berkisar tentang situasi semasa yang berlaku pada hari ini, cuma ia diterjemahkan dalam bentuk sketsa. Ia bukan lah untuk mempermainkan agama, tetapi ingin memberi peringatan dan penerangan kepada manusia yang lalai.*

Dalam video ini, dipertontonkan persoalan yang selalu timbul tika ramadhan dan persoalan tentang dari mana asalnya makanan yang kita makan setiap hari.

Ni antara ayat yang paling aku suka:
ini ini ini rambutan ke ape? pokok die jenis ape.? kenapa rambut die tak tumbuh sepenuhnya? kalau belum sempurna maknenya cacat...kita makan benda yang cacat...KITA PUNYA KEROHANIAN NYA AKAN CACCAT..!!!
Walaupun dia tegur dalam nada yang tidak serius, tapi sebenarnya ada betulnya. Kadang-kadang, kita tak pastikan sama ada makanan yang kita makan tu, benar-benar halal atau tidak? Dari mana asal makanan itu? Kadang-kadang, kita beli makanan walaupun bertanda halal, tapi copnya bukan seperti yang dikeluarkan oleh JAKIM atau badan-badan Islam di negara lain.

Oleh itu, terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk menilai mana yang baik dan buruk. Garis panduan telah ada, hanya bergantung kepada kita sama ada untuk mengikutinya atau tidak. Semoga ramadhan kali ini mampu memberi sinar dalam kehidupan. Selamat menyambut kehadiran Ramadhan Al-Mubarak , dan semoga kehidupan akan sentiasi dilimpahi keberkatan dan rahmat hendaknya.

Thursday, June 28, 2012

Kerana Terlalu Banyak

Terlalu banyak yang bermain di fikiran.
Terlalu banyak yang terlayar di minda.
Terlalu banyak yang menguis-nguis reaksi separuh sedar.
Terlalu banyak yang mengganggu khayalan jiwa.
Terlalu banyak yang tak terungkap di bibir dengan nyata.

Hanya jari-jemari pantas merangkak-rangkak di atas papan kekunci.
Kenapa?
Aku tak pasti.
Sebab terlalu banyak yang terbuku dalam hati, semakin pantas pula aku meluahkan segala-galanya.
Sehingga diri sendiri turut keliru.
Apakah sebenarnya yang ingin aku luahkan?
Apakah yang sebenarnya ingin aku ungkapkan?
Yang mana satu ingin aku titipkan?

Semua yang tercurah,semata-mata ilham minda, cetusan rasa yang aku pendam.
Kerana semakin lama aku peram, semakin lara jiwa.
Mengapa ayat aku semakin berbunga-bunga?
Mungkin akibat ada sedikit melankolik yang menjajah,
Maka segalanya ingin bersastera,bersulam kata-kata.

Aku menulis dengan harapan terkurang beban di dada.
Agar aku mampu menghirup udara dengan selesa dan bahagia.
Ingin ku tinggalkan seketika masalah yang membadai jiwa.
Ingin aku biarkan ia hilang menyepi tanpa bersisa.
Ingin aku biarkan ia luput di alam maya.

Wahai diri,kuatlah.
Harap segalanya dipermudahkan selepas ini.
Insyaallah.

Tuesday, June 26, 2012

Alaa..chewmewl tak itteww?

Pernah jumpa perkataan yang macam ni?

-Alaa, arie nie itteww macam malash ciket.
-Ittew rashe itteww pewnat laa arie nie
-kat wuma ariew nie banyak kewje laa

Selalu?
Aku selalu jumpa. Banyak kali jumpa. Sampai kadang-kadang nak muntah pun ada.

Kenapa?
Sebab rasa macam pelik. Penat kepala nak decode ayat-ayat manusia advance ni.Tak boleh tulis ayat yang baik sikit ke? Penat sungguh cikgu kat sekolah ajar bahasa melayu. Bukan nak mengutuk sesiapa, tapi itu hakikat. Aku sebagai generasi yang jarak umur dengan generasi itteww-itteww-gewli-gewlerman minimumnya 5 tahun, rasa teramat tak selesa. Bukannya kata nak dengki bahawa mereka itu comel (sememangnya kebanyakan mereka itu perasan comel, itu hakikat), tapi cubalah menggunakan ayat yang elok. Aku tak tahulah manusia advance mana yang memulakan penularan wabak iteww-rashe-nak-muwntah-jew ni, tapi ketahuilah bahawa anda telah merosakkan bangsa sendiri? Masalah baru boleh menular, sama seperti yang berlaku semasa zaman-zaman batu dimana ayat-ayat ringkas dalam sms baru nak dimulakan, dimana pelajar sudah tidak  boleh membezakan antara bahasa akademik dan bahasa kasual. Semuanya disapu rata, macam sapu peanut butter atas roti, peanut dan butter nampak sama, walaupun mereka entiti yang berbeza.

Mereka mungkin boleh berdebat dengan aku, bahawa kadang-kadang kita akan menggunakan ejaan yang kasual, seperti cite (cerita), ko (kau), dan kalu (kalau), namun ia tidak jauh lari dari ejaan asal, dan bunyi pasarnya adalah sama. Bagi manusia advance ini, mereka pasti meng'encode' perkataan-perkataan ini menjadi chewter,kaw, kawlaw. Sesungguhnya, lidah aku sudah terbelit dan tergeliat untuk menyebut perkataan ini. Seriously. Mungkin ada yang mengatakan bahawa mereka boleh membezakan bahasa akademik dan bahasa kasual, tapi, tidak semua, bukan? Semakin ramai yang menggunakan bahasa pelik ini, semakin menular penggunaannya, semakin meluaslah kesannya kepada generasi-generasi suci yang belum tercemar dengan kemodenan bahasa ini.

Mungkin akan ada yang mengatakan bahawa aku ni generasi makcik-makcik. Ya, aku akui, kadangkala aku agak makcik-makcik sikit, sebab aku dikelilingi dengan generasi yang konservatif. Generasi konservatif yang masih lagi mengagungkan ciri-ciri tradisional. Mereka mungkin melabelkan aku ni orang yang tidak mengikut arus perubahan. Namun, sedarlah wahai manusia advance, cara penulisan kadangkala melambangkan kematangan dan mencerminkan peribadi. Sesungguhnya penulisan itu yang menyambungkan jurang generasi. Jika generasi advance ini menulis dengan gaya sedemikian rupa, kasihanlah kepada generasi makcik-makcik ini. Letih dan jenuh kami nak memahami penulisan kamu-kamu semua. Jadi,semakin lebarlah jurang generasi.

Oleh itu, wahai adik-adik, cubalah kurangkan cara penulisan pelik kamu itu. Bukanlah aku nak menjatuhkan kamu semua, tapi hendak mengingatkan kamu. Takut-takut nanti adik-adik yang tergolong dalam generasi advance ini terlupa akar umbi bahasa itu sendiri. Jika dilihat dari bahasa Inggeris mahupun bahasa lain, jarang sekali mereka menggunaka ayat-ayat yang kurang difahami, kecuali slanga-slanga internet yang meringkaskan setiap ayat menggunakan huruf pertama setiap perkataan. Itu sahaja. Penambahan huruf-huruf yang tidak relevan dalam penulisan hanya mencacatkan ayat itu sendiri, menimbuskan keindahan bahasa di dalam debu-debu kemodenan seperti yang dicanang-canang oleh generasi advance ini. Dan seperkara lagi, mengikut arus perubahan bukannya dengan cara penulisan pelik ini, mengikut arus perubahan adalah memastikan setiap perkara yang ditulis itu relevan dengan perubahan zaman, selain tidak mencacatkan keindahan bahasa itu sendiri.

Monday, June 25, 2012

Terima Kasih, Emak

24 Jun 1988,
7.30 malam. Kg Seri Jaya, Johor Bahru
Emak terasa macam nak bersalin. Padahal usia kandungan baru 7 bulan. Eh,pelik? Mengandung kali ni adalah yang paling mencabar. Abah terpaksa di transfer ke kem Terendak, Melaka. Mak pula tak nak ikut, nak duduk kat Johor, besarkan anak. Yang ada di rumah, angah, berumur 3 tahun. Bermula dari awal kandungan, emak dah mula-mula mabuk,sampai sekarang. Agak berbeza dari 3 kandungan yang sebelumnya. Mengidam pun semua makanan yang pelik-pelik. Bertambah sukar sebab abah tiada di sisi, terpaksa la emak mengadu pada kawan baiknya, Mak Cik Sal yang bersusah payah tolong carikan semua makanan yang mak teringin nak makan.

10.30mlm, Kg Seri Jaya, Johor Bahru
Abah tiba dari Melaka, dengan motor vespanya. Abah cakap, dia rasa tak sedap hati hari tu, macam nak balik rumah saja. Lepas habis duty, abah terus naik motor secara senyap-senyap balik ke Johor Bahru. Sampai di rumah, emak mengadu sakit perut. Terus abah bawak pergi hospital.

11.30malam,Pantai Lido, depan Hospital Sultanah Aminah
Emak resah, abah termenung. Memandang selat dengan pandangan sepi,sambil ditemani deruan ombak dan tiupan angin selat yang sepoi-sepoi bahasa. Masing-masing terdiam dan termangu. Masih terngiang-ngiang kata-kata doktor selepas pemeriksaan tadi.
" Harapan hanya 50%-50%. Anak awak ni sonsang dan tak cukup bulan. Mungkin akan terlalu banyak komplikasi. Nampaknya dia akan tersekat di tulang pelvis dan sukar untuk dilahirkan. Saya tak jamin dia akan dilahirkan sihat. Bersedia untuk kemungkinan yang buruk"

 Akhirnya emak bersuara:
" Saya yakin anak ini akan lahir, saya yakin dia akan hidup dengan sihat"

25 Jun 1988,
2.30pg, HSA
Emak dibawa masuk ke dalam bilik bersalin selepas tanda-tanda untuk bersalin semakin ketara. Dalam hati emak berdoa agar semuanya baik-baik sahaja.

3.30 pg, Bilik bersalin HSA.
Emak sudah terasa sakit untuk melahirkan. Air ketuban sudah mula pecah, dan keluar dengan banyaknya. Sudah tiba masanya untuk bayi melihat dunia. Emak mula bimbang, mampukah dia? Proses melahirkan amat sukar. memang benar kata doktor, bayi ini tersekat di tulang pelvis, secara melintang! Terpaksa doktor 'menyeluk' tangannya demi membetulkan kedudukan bayi. Bermacam-macam alatan digunakan untuk menyelamatkan nyawa,ibu dan bayi. Yang macam sudip ada, yang macam senduk pun ada. Emaklah yang paling banyak berkorban selama proses itu, bagaikan seekor ayam yang disiang. namun, emak tetap yakin,
Anak aku akan lahir dengan sempurna

7.15 pg, Bilik bersalin HSA.
Setelah berhempas pulas, bayi pun dilahirkan, namun masih berada di dalam 'sarung'. Doktor terpaksa mengguntingkan sarung itu untuk mengeluarkan bayi. Bayi terus dimasukkan ke unit rawatan rapi. Abah terus pulang ke Melaka pagi itu, dan memohon emergency leave/paternity leave, dan terus pulang ke Johor Bahru semula.

3.00ptg, wad kanak-kanak HSA
Emak dan abah pergi melawat bayi mereka. Emak fikir mungkin anaknya ditempatkan didalam incubator, namun tiada. Setelah bertanya kepada doktor, anaknya ditempatkan didalam sebuah baby coat. Alhamdulillah. Doktor turut kagum, kerana bayi ini mampu bernafas sendiri, tiada komplikasi, walaupun jangkaan awal bayi itu tidak mampu untuk menempuh hidup hingga matahari berada di atas kepala. Berat, hanya 1.7 kg, kepala sebesar penumbuk orang dewasa,  tapak kaki hanya sebesar ibu jari orang dewasa. Sangat kecil.

2 Julai 2012
Akhirnya emak dan abah membawa pulang bayi mereka. Emak terpaksa meminta bantuan nenek, sebab takut anaknya akan tercicir, kerana saiz yang terlalu kecil. Sesampai dirumah, angah bertanya kepada emak,
Ni anak monyet ke?

Cis,sungguh tak sayang mulut! Sudah lumrah bagi bayi yang tak cukup bulan, badan mereka akan dipenuhi bulu. Emak hanya tersenyum.

bukan, ni adik.

Selama sebulan selepas kelahiran, seorang misi telah ditugaskan untuk ke rumah emak setiap pagi dan petang, untuk memantau keadaan dan memandikan bayi, serta memberi ubat. Setiap minggu selama 3 tahun, emak terpaksa merujuk bayinya itu ke klinik. Walaupun setahun kemudian emak melahirkan seorang bayi lelaki, terpaksa juga emak ke klinik membawa dua orang anaknya bersama-sama menjalani pemeriksaan rutin.

2 tahun kemudian
Emak risau, anaknya tidak lagi pandai bercakap dan berjalan. Menangis pun agak jarang. Bisukah dia? Cacatkah dia? Emak yakin anaknya itu normal, tiada masalah. Kadang-kadang, akan dicubit anaknya itu, semata-mata kerana ingin mendengar tangisannya. Namun, selalunya, ia hanya seketika. Setiap pagi, emak akan membawa anaknya bertatih diatas rumput yang basah dek embun pagi, supaya saraf kaki anaknya itu sihat. Setiap hari dan setiap masa, akan diajar anaknya itu berkata-kata, supaya perkembangan minda anaknya tidak terbatas.

25 Jun 2012
Sudah 24 tahun emak melahirkan anaknya yang tidak cukup bulan. Keyakinan emak yang pertama menyebabkan lahirnya anak itu. Kerana emak, anak itu membesar dengan sempurna. Kerana emak, anak itu seorang atlit bola baling, bola jaring, futsal, lompat tinggi, lompat jauh, lontar peluru, pelari pecut dan pelari jarak jauh. Kerana usaha emak, anak itu petah berbahas dan berpidato, mewakili sekolah dalam pelbagai acara. Kerana emak, anaknya itu sudah berjaya di menara gading, dan sudah bekerjaya. Kerana emak, anaknya membesar dengan sihat, dari ketinggian hanyalah 15cm, telah menjadi 167cm. Kerana emak, aku boleh bernafas dan bersyukur hingga hari ini.

Terima kasih, emak...

Thursday, June 21, 2012

Mencari-cari cebisan Mood yang bersepah

Sejak akhir-akhir ni, aku sering terkena penyakit tak ada mood. Aku tak tahu ke mana perginya mood aku tu, mungkin pergi melancong, pergi berehat, pergi berjalan-jalan, ataupun mungkin pergi berhijrah. Yang pasti, mood tersebut tak ada bersama aku. Susah juga kalau tak ada mood ni, sebab semua perkara yang nak dibuat, tak menjadi. Walau pun puas jenuh pergi mengkorek, menyeru, mahupun memuja mood tersebut, masih juga tak datang. Mungkin dia dah lupa nama dia Mood? Ataupun dia dah jumpa tuan lain? Eh, dah macam kucing la pulak.

Mood ni ada kaitan dengan kehendak hati. Jika dalam hati macam dah tawar rabak, macam tak letak garam langsung, memang la tak mampu nak buat apa. Walaupun kita cuba letakkan sekapal gula pun, tawar tetap tawar. Sebab yang ada hanya manis, yang masin tu tak ada. Rencah kehidupan dah berkurang satu bahan. Itu hakikat.

Bila tak ada mood, segala perkara yang kita buat tak akan menjadi. Walaupun apa yang terjadi, ia tetap tak menjadi walaupun ia menjadi jadi-jadian sekalipun. Oleh itu, takkan nak biarkan semua kerja terbengkalai, tak siap & peluang untuk dimarahi pihak atasan mencanak naik? Oleh itu, perlu  lah cari jalan penyelesaian dengan sendiri.

Semua orang ada perkara yang menggembirakan atau perkara yang dia suka buat kan? Oleh itu, jika korang suka memasak, pergilah masak. Jika korang suka layan cerita korea, pergilah menangis bersama abang-abang hensem korea yang baru ditinggalkan sang kekasih. Sekurang-kurangnya, walaupun mood untuk perkara lain dah tak ada, masih lagi terisi masa kosong kita, ya tak? Tak adalah mati kebosanan. Kalau aku, aku suka berkebun & cuci kereta. Tak kira la penat sebab pergi tebang pokok pisang, letih sebab meracun rumput, ataupun mengah sebab cuci kereta selama 2 jam, asalkan dapat menarik perhatian kita, dan hati terasa lebih ringan dan senang.  Tak ada orang yang cuci kereta sambil meleleh air mata kalau cuci kereta itu adalah kehendah dia sendiri. Lepas kepenatan, conform tidur malamnya lebih lena, sebab dah penat, terus hilang ingatan terhadap mood yang hilang.

Untuk diikat kembali mood yang dah bersepah ditiup angin mahupun ribut taufan, kadang-kadang ia memerlukan masa yang lama, kena tunggu sehingga 'garam' dalam kehidupan tu diisi semula. Oleh tiu, kita sendiri seharusnya pergi mencari garam tersebut. Kalau nak tunggu je 'garam' tu jatuh dari langit, alamatnya sampai kiamat pun mood tu memang tak akan datang. Cubalah untuk tidak mengikut sangat perasaan kurang mood itu. Cuba sesuatu yang baru, jika tidak pun, cuba untuk buat perkara lama yang diperbaharui.

Oleh itu, jika sesiapa rasa hidupnya sudah tawar, marilah kita sama-sama pergi ke laut, supaya dapat memasinkan diri dengan air laut. Nak mandi laut ke, nak guling-guling atas pasir pantai ke, nak berlari-lari macam heroin hindustan sambil main ombak ke, ataupun nak buat penggambaraan Ombak Rinduan V2, pun tak apa. Kalau dah alang-alang ke laut tu, campakkan semua rasa tawar itu dalam laut, supaya ia boleh menjadi masin~

*tak ada mood tak semestinya pergi laut sahaja, banyak tempat lain boleh pergi.Tepuk dada,tanya poket, ada duit nak pergi mana?Hahaha.*

Saturday, June 16, 2012

Kucing-kucing Acrylic di atas Kanvas Empat Segi

Hujung minggu yang lepas, aku telah dikehendaki memandu ke Kuala Lumpur, kota rakus untuk mengambil adik aku pulang dari kursus. Walaupun penat, tapi digagahkan juga tubuh kerempeng aku ni untuk memandu pergi dan balik. Oleh kerana aku seorang yang memandu, aku mengambil keputusan untuk bermalam di rumah sepupu aku yang terletak di Gombak. Ye la, jika aku memandu pergi dan balik dalam masa sehari, kemungkinan besar aku akan tersadai di mana-mana kawasan R&R di sepanjang lebuhraya PLUS.
Setibanya aku di rumah mereka berdua di Gombak, aku dijemput masuk oleh lukisan kucing yang besar ni!Kalau dilihat betul-betul, akan kelihatan kekucing yg melambangkan setiap negeri di Malaysia.(Lukisan sempena 50 Tahun Kemerdekaan)
Malam sabtu, aku bermalam di rumah sepupu aku, Abg Eddy. Isterinya, kak Jaja, adalah seorang insan yang mempuyai jari-jemari seni yang mampu mempotretkan haiwan jinak berbulu yang dipanggil kucing dengan kreatifnya. Kak Jaja merupakan anak sulung kepada pelukis Yusof Gajah dan Zakiah Mohd Isa (peminat seni lukisan sememangnya mengenali ikon ini), jadi, mana tak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi? Tak semua orang mampu nak melukis, lebih-lebih lagi dengan kreatif dan seninya (aku suka juga nak melukis, tapi lukis cakar ayam versi suka hati aku je lah). Mungkin ramai yang mempunyai imaginasi, namun untuk menggambarkannya di atas kanvas beserta calitan acrylic, hanya mereka yang terpilih sahaja mampu.
Kucing ni terjun dalam air tau~ Kombinasi warna merah dan biru menaikkan seri si kucing

Kak Jaja memang dah lama mula melukis, sejak dari usia muda lagi. Rumahnya yang dipenuhi dengan potret-potret acrylic kucing menunjukkan minat beliau memang bukan sekadar minat budak-budak kecil yang hanya leka menconteng dinding dengan krayon sehingga menaikkan kemarahan ibu bapa, minat dan kreativiti Kak Jaja ini merupakan minat yang diambil serius. Ia kelihatan mudah untuk dilukis, namun jika tidak punya kreativiti, kemungkinan besar gambar si kucing akan menjadi gambar makhluk asing yang berasal dari pusaran galaksi ke-144 yang tak terpandang dek mata kasar, hodoh! Jadi, jangan sesekali mengambil mudah perkara yang ternyata tidak mudah.

Jika mahu tahu apakah yang digambarkan oleh lukisan ini, sila bertanya kpd Kak Jaja.Hihihi..


Kesemua calitan acrylic ini menggunakan warna-warna yang terang dan menarik, Ia mampu membuatkan minda separa sedar kita menjadi tertarik kepada lukisan-lukisan ini, seterusnya memberi ketenangan (Sememangnya warna-warna terang memang akan menarik perhatian).  Lupakan sebentar kepada lukisan kucing ala-ala gebu dan eksotik (macam kucing parsi, kucing bengal, kucing siam, mahupun kucing firaun), kerana lukisan kak Jaja ini lebih menjurus kepada lukisan sang kucing yang dalam keadaan santai. Tak perlulah terlalu rigid bahawa lukisan kucing ini perlu dilukis agar kelihatan seperti kucing yang hidup. Sesekali merubah persepsi manusia bahawa kucing ini haiwan boleh diolah menjadi kreatif, tak salah juga rasanya.
Kau fikir manusia je yg suka duduk kat cafe?
Kekucing bersantai di taman.

Pencinta kucing tak semestiya perlu membela kucing berpuluh-puluh ekor. Ada kalanya keadaan tidak mengizinkan, seperti ruang kediaman yang terhad dan masalah kesihatan (seperti lelah dan semput). Oleh itu, mengabdikan potert si manja pun sudah memadai untuk menggambarkan minat kita terhadap kucing, sebab tiada orang yang akan menggantungkan gambar lipas di rumah jika mereka geli dengan lipas. Sekurang-kurangnya, dengan melihat lukisan-lukisan ini, ia dapat memberikan ketenangan dan kegembiraan dalam diri kita.
My personal favourite, suka dgn gambar ni.


Aku pulang ke Johor Bahru keesokan harinya. Kak Jaja tidak lupa untuk memberikan buah tangan, iaitu gambar si kucing yang comel (terlupa nak ambil gambar).Oleh kerana keluarga aku memang peminat kucing tegar, maka lukisan tersebut dengan bangganya dipamerkan setaraf dengan gambar graduasi aku (Hebat tak?). Oleh itu, jika ada sesiapa yang berminat untuk melihat potret-potret ini, atau ingin bertemu dengan sang empunya diri, silalah pergi ke akaun facebook Kak Jaja.

Saturday, May 26, 2012

Mengikhlaskan sekeping hati yang khilaf

Hati~
Hati?
Hati-hati dengan hati.

Hati, tempat terdetiknya suara-suara kecil, kata-kata halus yang mampu mempengaruhi manusia. Kuasanya hati sangat besar, mampu mengubah manusia. Baiknya manusia kerana hati, jahatnya manusia kerana hati. Walaupun kita sering mengabaikannya, namun hati lah yang menentukan segalanya.

Ikhlas hati bermaksud melakukan sesuatu tanpa mengharapkan balasan, kecuali rahmat dan keredhaan Yang Maha Esa. Amat mudah untuk mengungkapnya, namun realitinya, amat sukar untuk kita berbuat demikian. Kadangkala hati kecil yang jahat terdetik, menggugat keikhlasan yang sudah senipis kulit bawang. Di bibir sering mengungkap keikhlasan hati, namun pada hakikatnya, keikhlasan itu hanya sebesar semut, yang keseorangan di lantai yang dipenuhi dengan manisan yang berupa riak dan takbur. mampu menarik si semut, namun manisan yang berlebihan menyebabkan ianya terbunuh! 

Bukan mudah untuk mengikhlaskan sekeping hati yang khilaf. Sering terlupa dek kerana bisikan sang syaitan yang tidak pernah putus asa. Kita bukannya para Sahabat Rasullullah SAW, yang sudah terbukti sanggup berkorban segala-galanya. Kita hanyalah umat akhir zaman, yang sering lalai dengan arus pemodenan yang tiada hentinya.

Situasi sekeliling kadangkala menyebabkan kita lupa dan alpa. Keikhlasan di hati sering dipersenda. Manusia kadang-kala menjadi lupa, Sang Pencipta Maha Tahu segala-galanya. Keikhlasan perlu dipupuk dan dibaja. Jika ia dibiarkan, tidakkan ia tumbuh melata, hanya layu dan akhirnya mati tanpa bersisa. Ikhlas menjadi ukuran jiwa, sesuci manakah hati manusia yang biasa. Jangan biarkan ikhlasmu menjadi bahan tertawa, hanya diungkap namun tidak pernah dirasa.

Ikhlaskan hatimu untuk-Nya, agar segalanya berjalan lancar, dan kita menjadi lebih gembira.
Sucikan hati, sucikan jiwa.
Jangan hanya diungkap di bibir sahaja,
Amal dan tanamkan ia di dalam jiwa.


Friday, May 18, 2012

Terima kasih , cikgu~

Guru, orang yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak bangsa menjadi manusia yang berguna. Di rumah, ibu bapa akan menjadi pendidik, namun di sekolah, tanggungjawab tersebut di galas oleh insan-insan yang bergelar guru. Guru dan ibu bapa adalah orang yang akan dipersalahkan jika si anak tidak menjadi manusia atau menjadi sampah masyarakat (agak normal orang menyalahkan ibu bapa dan guru).

Guru pada zaman dulu dan zaman sekarang melalui cabaran yang berbeza. Aku tak nak lah membandingkan antara generasi aku dan generasi baru, sebab kita memang jauh berbeza. Generasi baru membesar dikelilingi dengan teknologi, touch screen sana sini, handphone bawah RM100 pun dah boleh dapat sebiji, dan sesiapa yang buta internet tu memanglah tergolong dalam golongan buta IT. Selain itu, generasi kini pun semakin cerdik. Buktinya, semakin bersepah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM, Matrilukulasi dan universiti. Mana tidaknya, perkembangan otak mereka teramatlah maju dan pesat membangun, terima kasih kepada penyelidikan yang dilakukan oleh pemilik-pemilik jenama susu formula di pasaran.

Oh, lupakan tentang generasi zaman kini.Kalau nak buat perbandingan, mahunya aku akan di bom dengan bedilan-bedilan fikiran dan kutukan negatif anak-anak zaman kini.  Motif aku menulis ni adalah untuk mengingat kembali kenangan-kenangan aku bersama guru-guru yang tercinta ketika berada di sekolah dahulu. Aku teringat di zaman aku bersekolah rendah, ketika aku mula-mula mengenal dunia. Pelbagai guru yang aku temui, dan sudah semestinya setiap dari mereka mempunyai identiti tersendiri. Dan perangai aku dan rakan-rakan sekelas yang lain sudah pasti boleh meyebabkan tekanan darah cikgu aku naik setiap hari. Kesian cikgu~

1. Mencampak buku keluar kelas

Ketika darjah satu, ketika mata pelajaran matematik, ketika itu hampir satu kelas tak siap kerja rumah. Cikgu Aminah ketika itu dengan bangga dan bahagianya mencampakkan buku-buku kami keluar, berterbangan membelah udara, seperti sang rama-rama terbang riang ria mencari bunga. Ada yang tak bernasib baik, terus masuk ke dalam longkang. Namun ketika itu, tiada siapa yang merungut. Kalau buku basah sebab kena air longkang, cuma pergi jemur je kat depan kelas. tak perlu nak buat aduan kat Persatuan Anak-anak Manja Semalaysia.

2. Berdiri di atas kerusi/ meja
Ada ketikanya kami terpaksa berdiri di atas kerusi, jika tidak pun atas meja. Sebab nya? Tak siap kerja rumah ataupun bising. Bila berdiri atas kerusi atau meja, macam tak ada perasan tinggi pun, sebab hampir semua kawan-kawan pun berdiri sama. Waktu sekolah rendah, biasanya memang semua akan berdepan dengan hukuman yang sama, dimana cikgu akan menetapkan bahawa jika seorang bising, maka semua kena hukuman. Maka, kami membuat keputusan, biarlah semua bising.Hehehe. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh~

3. Dipukul dengan rotan/pembaris

Biasanya ketika sekolah, kesan rotan atau pembaris di tangan bukan sesuatu yang asing. Macam biasa la, kalau dah dinamakan budak-budak, mestilah nakal, bising, tak buat kerja rumah, ataupun tak hafal sifir. Aku masih teringat rotan cikgu-cikgu aku yang ada pelbagai saiz, sama ada panjang, pendek, tebal atau nipis, semua aku pernah rasa. Jika tak pun, di rotan dengan pembaris kayu panjang yang berwarna kuning tu, tak pun kena pukul dengan pembaris besi. Pada waktu itu, walaupun berbekas kat tangan, tak pernah pula aku balik rumah dan mengadu dengan emak. Pada aku, itu memang kesalahan aku, dan jika tak nak kena hukuman, perlulah berusaha untuk tak mengulangi kesalahan yang sama. Lagi pun, ketika itu, kalau mengadu dengan emak sebab kena pukul dengan cikgu, bukannya emak pergi serang cikgu kat sekolah, tapi mak akan tambah lagi jumlah rotan yang aku terima! Sakit tau, sebab kena pukul dengan hanger dawai yang halus kat kaki..Aduh! Masih aku ingat lagi, disebabkan tak nak kena rotan, sanggup aku menghafal sifir sedaya upaya, macam hafal cerita satu buku. Alhamdulillah, sebelum penggal ke dua masa aku darjah 2, aku dah hafal sifir 12.

4. Berjalan itik

Berjalan itik mungkin antara hukuman yang jarang budak-budak sekolah terima, tapi memang wujud. Biasanya akan didenda kat carpark (pulak la mase sekolah rendah dulu, 4 tahun kelas aku depan carpark, bermaksud memang selalu budak kelas kau terima hukuman ni). Walaupun malu, tapi disebabkan kedegilan dan kenakalan kami yang berada di tahap mega, maka cikgu pun dah hilang sabar, terpaksalah terima hukuman itu. Memang letih sebab kaki lenguh, tapi kalau diingatkan kembali pengalaman tu, seronok pulak. Mana taknya, kadang-kadang kami kena buat bunyi itik menguak kuat-kuat, sampai kelas lain pun boleh dengar. Budak-budak sekarang ada ke kena macam ni? Tak pasti la pulak aku.

5. Ketuk Ketampi.

Haaa..Ini adalah hukuman yang cukup popular kebabom masa sekolah dulu. Asal ada buat salah je, ketuk ketampi. Tak kiralah jantina. Aku pernah didenda dengan ketuk ketampi sampai 150 kali! Memang benar, ini bukan rekaan. Dan yang penting, juga sewaktu kelas Matematik. Maunya pening kepala lepas habis buat 150 kali tu.  Jalan pun sampai kengkang sebab lenguh kaki. Dulu, tak ada teori pun yang mengatakan ketuk ketampi membahayakan kesihatan, boleh menyebabkan kemandulan. Ketuk ketampi ni memang dah popular sejak zaman mak abah aku lagi. Namun, lahir juga aku kedunia (bermaksud teori mandul tu tak boleh dipakai!) Sekarang, terdapat kajian yang mengatakan ketuk ketampi mampu meningkatkan kemampuan otak, dan murid akan menjadi lebih bijak? Sudah ada kajian yang dilakukan oleh doktor perubatan di New Jersey, USA. Semua cikgu rasa itulah hukuman yang paling best untuk diberikan pada anak murid. Sewaktu sekolah rendah, walaupun aku berada di kelas yang pertama, namun perangai kami langsung tak menggambarkan murid kelas pertama. Semua suka buat bising, lari-lari dalam kelas, lompat-lompat dalam kelas, sepak-sepak kawan, main-main dalam kelas, dan macam-macam lagi.  Makanya, selalulah juga kami buat acara ketuk ketampi secara berjemaah. Lebih ramai, lebih afdal~
Bila aku imbas kembali semua kenangan ini, aku akan tersenyum. Bila aku berjumpa dengan kawan-kawan sekolah rendah, kenangan inilah yang akan kami ungkit. Amat seronok, walaupun pada ketika kejadian, kami rasa macam entah apa-apa je. Aku sedar, semua yang dilakukan oleh cikgu adalah disebabkan kesalahan kita sendiri. Cikgu tak akan denda anak murid yang baik dalam kelas, cikgu mesti denda anak murid yang kurang baik. Tanggapan ibu bapa ketika itu sudah semestinya berbeza dengan sekarang. Ketika itu, mak abah aku hantar aku ke sekolah dengan harapan, aku belajar menjadi manusia yang berguna. Masih aku ingat ungkapan abah kepada cikgu kelas aku,

"Cikgu, kalau anak saya nakal, pukul sahaja. Saya izinkan. Nak pukul kuat pun tak apa, cuma jangan sampai mati je".

Mungkin sebab itulah aku berjaya hingga kini. Kena denda, kena pukul sampai lebam, semua mengajar aku menjadi manusia. Tak perlu mak abah aku pergi buat aduan kat Astro ke, Media Prima ke, RTM ke, Alhijrah ke sebab aku kena pukul.  Mentaliti ibu bapa dulu dan kini dah berbeza, sebab itu zaman kini ada cikgu yang kena saman. Sehingga kini, tak pernah pun aku menyimpan dendam, walau sebesar kurap pun terhadap cikgu-cigu aku. Sekarang, jika aku berjumpa dengan mereka, dengan segera aku akan menyapa mereka. Kebiasaannya, aku akan ternampak cahaya kebanggaan di mata cikgu-cikgu aku, kerana anak murid yang dididik mereka menjadi berjaya. Kerana mereka bangga, walaupun mereka membalun aku di sekolah dulu, aku masih menghormati mereka sebagaimana aku menghormati emak abah aku. Guru, walau hanya mengajar aku sehari sahaj, tetap aku anggap guru, yang akan aku hormati sampai bila-bila.

Bersempena Hari Guru pada 16 Mei lepas, aku nak mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru yang dah bersusah payah mengajar aku 

Tadika KEMAS Kg Seri Jaya (1994),
Sek. Keb Kg Pasir (1994-2000)(kelas 1 Merah, 2 Merah, 3 Merah, 4 Rajin, 5 Rajin dan 6 Rajin),
Sek Men. Seri Perling (2001-2003) ( 1 Belibis 1, 2 Belibis 1, 3 Belibis 1),
Sek Men. Sains Muar (2004-2005) (4 Tekun, 5 Tegas),
Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak(2006-2007) (Praktikum Fizikal 12),
Universiti Teknologi Malaysia, ( 2007-2011) (Jabatan Kejuruteraan Petoleum)

Terima kasih, Cikgu. Jasamu akan ku kenang hingga ke akhir hayat~


Wednesday, May 16, 2012

Pemandu 1Malaysia

Pemandu Malaysia adalah antara pemandu yang paling hebat di dunia ini, mahupun alam semesta (Kalau lah tak ada makhluk asing lain yang menduduki cakerawala ni). Walaupun pada hakikatnya kita tidaklah sehebat mana, namun disebabkan perasaan membanggakan diri yang terlalu tinggi tingginya dan mementingkan diri ketika memandu sudah semestinya menjadikan kita seorang yang hebat. Terdapat berjuta-juta pemandu, oleh itu sudah tentu terdapat berjuta-juta cara pemanduan dan juga gelagat. Aku juga seorang pemandu, dah hampir 5 tahun aku bergelar 'a person behind the wheel' atau dalam bahasa melayunya 'mereka yang berada di belakang tayar', eh, betul ke?

Pemandu sememangnya cukup sinonim dengan membebel. Mana tidaknya, sudah tentu pemandu akan melepaskan tekanan mental dan emosi yang terbuku di dada dan minda setelah melihat gelagat pemandu lain yang meletakkan mata di punggung, dan otak di lutut. Aku teringat lagi bagaimana kawan aku yang 'mengata' aku kuat membebel ketika memandu, dan akhirnya apabila dia mendapat lesen, kelihatannya mulutnya lebih 'pedas' dan lebih 'kuat' bunyinya dari bertih jagung (kepada sesiapa yang tak tahu, bertih jagung tu bahasa melayu untuk Popcorn). Mungkin bebelan adalah perkara automatik yang akan keluar ketika memandu. Tidak kira lelaki mahupun wanita, ia semuanya sama sahaja.

Aku bukanlah pemandu yang sempurna. Tiada orang yang sempura kecuali yang Maha Esa. Kadang-kadang ada juga aku tersasul jalan, tertukar lane secara tak sengaja (bukti bahawa aku pun manusia, bukan makhluk asing, sebab makhluk asing tak memandu kereta, diorang bawa UFO). Namun, seboleh-bolehnya aku ikutkan juga peraturan jalan raya. Yelah, bukan aku seorang je yang memandu, dan jalan ni bukan abah aku yang punya. Lainlah kalau aku ni anak mana-mana Raja Melayu, Thailand mahupun England, mungkin aku dengan sesuka hatinya memandu tanpa berperasaan. Yelah, dah diiring dengan polis yang naik Evo, mahunya tak pecut kereta laju-laju sambil bawa suka-suka hati, dan mungkin tagline hidup aku akan menjadi 'Ada aku kisah?'. Tapi disebabkan aku ni anak rakyat jelata kelas pertengahan, makanya perlulah ikut peraturan yang telah digariskan oleh Polis dan JPJ, sebab kalau kena saman, mahunya aku menangis nak cari RM300 untuk didermakan kepada penunggu-penunggu berkamera di bawah jambatan itu.


Cara pemanduan rakyat 1Malaysia.

Fast and Furious

*Serta merta termain-main di fikiran lagu Fast and Furious, Teriyaki Boyz*

Pernahkah anda terserempak dengan pemandu yang suka tukar lorong sesuka hati? Dari belakang kita dah boleh tengok pemandu kereta ini tukar lorong seperti main sorok-sorok dan kejar-kejar? Kalau jalan tu ada 4 lane, semua lane dia lalu, tukar dari lane 1 ke lane 3, lepas tu lane 4, lepas tu lane 2, lepas tu lane kemana-mana lagi. Haa, yang ni adalah pemandu yang obses dengan cerita Fast and Furious. Mungkin si pemandu terperasan lebih bahawa dia tu Vin Diesel yang memandu kereta hebat berkelajuan cahaya  di atas jalan. Ya, perasan itu percuma, namun kalau sehingga boleh membahayakan pemandu lain, itu mementingkan diri namanya! Bertukar-tukar lane sesuka hati bukan sahaja menyusahkan pemandu lain, malah membahayakan pengguna jalan raya yang lain juga. Perlu diingat di atas jalan tu, ada penunggang motosikal yang tiada lane khas untuk mereka. Ditakuti pemandu perasan-Vin-Diesel ni akan menyebabkan kemalangan. Yelah, tamak jalan gamaknya, tapi aku doakan agar si pemandu ni tak la tersadai kat lane kecemasan.

Formula One

Semua tahu betapa lajunya Formula One, kerana ia antara kereta yang terpantas didunia. Oleh kerana pengaruh F1 yang sangat tinggi, maka lahirnya pemandu yang sangat cinta akan kelajuan. Mahunya ditekan 130km/j di atas jalan raya yang berhad kelajuan 80km/j. Lepas tu, siap 'cucuk-cucuk angin' pemandu lain. Mungkin orang akan berkata bahawa pemandu yang perlahan perlulah berada di lorong kiri, namun jika si pemandu yang cintakan kelajuan ini berada di atas jalan raya, mahunya semua pemandu yang mematuhi had laju kebangsaan perlu berada di lorong kiri! Bukankah ia menyusahkan pemandu lain? Pemanduan yang lancar seperti di dalam iklan ExxonMobil terganggu kerana manusia berdarah kuda ini, kerana untuk menukar lane ketika jumlah kenderaan banyak di atas jalan raya bukanlah sesuatu yang mudah.

Pemanduan Makan Angin

Pemandu seperti ini adalah mereka yang sangat berhati-hati. Berbeza dengan pemandu yang cintakan kelajuan, pemandu makan angin ini akan memandu kurang dari had laju kebangsaan. Hmm, mungkin si pemandu ini adalah mereka yang amat menyayangi nyawa diri dan ahli keluarga, atau ingin melaungkan masa-masa emas disamping mereka yang di dalam kereta, atau layan perasaan a.k.a layan blues sambil buat video klip sendiri sambil memandu. Namun, apa yang menyebabkan kemarahan orang lain membuak-buak, dipandunya 50km/j di laluan paling kanan! Sudahlah had laju kebangsaan jalan tersebut 90km/j, dan hanya mempunyai 2 lane, mahunya pemandu dibelakang menukarkan keretanya kepada traktor untuk disodok kereta 'romantika di amor' ni. Beringatlah, jika rasa ingin memandu perlahan, tiada salahnya. Namun, perlulah memandu di lane yang sesuai, dan di waktu yang sesuai. Lebih-lebih lagi ketika waktu puncak dan jalan sesak, mahunya si pemandu ini menambah dosa akibat menyusahkan orang lain, disamping pahala kerana caci-maki pemandu lain. Janganlah pula kerana pemandu berhati lembut yang seorang ini, sesak jalan satu kilometer! (Aku pernah terkena, mahunya kebas kaki tekan clutch).

Pemandu yang mempunyai kuasa Psikik.

Pemandu ini adalah yang merupakan pemandu yang teramai di Malaysia. Kuasa mereka yang seperti Chris Angel ini sangatlah dikagumi. Ketika memandu, mereka akan menggunakan kuasa psikik mereka ini, dengan menghantar gelombang telepati kepada pemandu lain. Oleh itu, mereka dengan sesuka hatinya akan menukar lane, atau membelokkan kenderaan, atau memberhatikan kenderaan tanpa perlu memberikan signal. Yang menjadi masalahnya, gelombang telepati tersebut hanya berlegar-legar di dalam minda tempurung mereka, tanpa berjaya di transmit kan kepada pemandu lain. Hello, ingat jalan ni kau seorang je yang bayar roadtax? Atau kau nak aku patahkan tangan berharga kau tu? Aku memang cukup pantang dengan orang yang tak beri signal ni. Kalau jarak kenderaan tu lebih dari 5 meter, tak apa la juga. Dah la tukar lane secara tiba-tiba, membelok kenderaan secara tiba-tiba, mungkin boleh menyebabkan kemalangan, lepas tu, memandu pergi tanpa rasa bersalah. Amboi-amboi, kalau aku dah tersodok punggung kereta mahal kau tu, aku juga yang kena bayar, ada faham? Aku cadangkan agar JPJ dan PDRM mengkaji semula undang-undang berkaitan melanggar punggung kereta lain. Aku rasa semua pemandu bukanlah dengan sesuka hati dan gembiranya nak sodok kereta lain. 80% daripada kemalangan adalah disebabkan 'kesengalan' pemandu yang berada di hadapan, bukan disebabkan pemandu di belakang tidak memberi tumpuan. Sebab aku pernah berada dalam situasi sebegini, yang dimana terang-terangan saksi sekeliling menyalahkan pemandu yang di'sondol' oleh kakak aku, dimana dia dengan sesuka hatinya membrek kereta di jalan yang lengang, dengan alasan, dia tersalah tekan pedal. Ai, dah berapa tahun kau bawa kereta sampai pedal pun tak boleh nak beza? Jika dilihat, tiada sebarang tanda P di cermin kereta, sudah semestinya pemandu tersebut telah memandu lebih dari 2 tahun. Kau fikir aku sempat nak brek ke? Hmm,akhirnya, melayang duit kena bayar saman yang bukan dari salah sendiri.

Aku rasa, ini sahaja yang dapat aku fikirkan ketika ini. Ini adalah berdasarkan pengalaman dan pengamatan aku semata-mata, tiada kaitan dengan kajian-kajian dari universiti-universiti terkemuka seluruh dunia. Sudah semestinya ada juga pemandu yang mematuhi undang-undang jalanraya sepertimana yang telah ditetapkan di dalam buku peraturan, tetapi akibat dikaburi oleh pemandu 'berlesen AGONG' menyebabkan semua kebaikan mereka tertimbus dan terkambus di bawah sampah kritikan. Oleh itu, pandu cermat, jiwa selamt..=)

Wednesday, May 9, 2012

Kasih Ibu membawa ke syurga, Kasih anak membawa ke mana?

Hari ibu bakal menjelma tak lama lagi. Eh, bakal menjelma ke dah terlepas dah? Yang penting, aku memang tak tahu tarikh sebenar Hari Ibu. Yelah, aku bukannya tak menghargai ibu, namun takkan nak tunggu hari ibu, baru nak menghargai ibu? Dah tu, selama hari ni, kemana perginya penghargaan kita sebagai anak kepada ibu kita?

Baru-baru ni sibuk heboh di dalam internet, terutamanya FB mengenai sambutan hari ibu itu haram kerana dikaitkan dengan Virgin Mary dan agama Kristian.What?? Bagi kita yang beragama Islam, sudah semestinya ramai la yang meggeletek tak puas hati, kenapa orang Islam lain menyambutnya? Kenapa dekat tv sibuk buat sambutan hari ibu? Ada yang tak ambil kisah, pada mereka, sambutan hari ibu adalah semata-mata meraikan ibu mereka, bukan ibu orang lain, dan tidak terlintas langsung untuk menyambuk hari Virgin Mary. Terpulanglah pada niat masig-masing, apakah istilah sambutan hari ibu tu pada mereka. Pada aku, aku berada dalam kumpulan berkecuali, bukan untuk berdebat mengenai perkara ini yang ada kaitan dengan agama, sebab aku rasa aku tidak layak untuk berdebat mengenai perkara ni, sebab ilmu aku masih lagi cetek, masih banyak yang perlu aku belajar.

Oleh itu, perkara ni sebenarnya patut memberi kesedaran kepada mereka yang masih ada ibu, dimanakah ibu anda sekarang? Apa yang sedang dilakukan oleh ibu kita? Sudahkah ibu kita menjamah makanan pada hari ini? Sudahkah ibu mendapatkan rehatnya dari kerja seharian yang tiada penghujungnya? Masa kita kecil, biasanya ibu yang akan terfikir, dimanakah anak mereka ketika ini? Pergi bermain kah? Jika di sekolah, adakah mereka sedang belajar? Atau sedang mengusik kawan-kawan? Sudah makan kah? Makan apa ketika disekolah?

Persoalan seorang ibu akan berterusan sehingga si anak membesar, malah lebih banyak dan lebih berat berbanding ketika kita masih kecil. Persoalan si ibu akan menjadi semakin rumit jika si anak duduk berjauhan dari mereka. Kebimbangan yang lahir di hati seorang ibu bukannya lakonan, dan ia bukanlah hanya untuk menyusahkan si anak, kebimbangan mereka lahir kerana kasih dan sayang terhadap anak mereka. Ibu mana yang tidak sayangkan anak mereka? Anak yang merupakan sebahagian dari mereka, anak yang lahir kerana mereka, anak yang membesar kerana mereka, anak yang berjaya kerana mereka, dan anak yang menjadi ibu bapa kerana mereka, kerana tiada ibu, maka tiadalah kita.

Aku sering terbaca pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya. Aku sering menonton drama tentang kasih seorang ibu terhadap anaknya. Aku sering mendengar cerita tentang cinta seorang ibu terhadap anaknya. Dari cerita dan kisah ini, membuatkan aku terfikir pengorbanan yang dilakukan oleh ibuku sendiri. Memandang sesusuk tubuh yang semakin dimamah usia, dicengkam dengan penyakit yang berpuluh tahun dihidapi, ibuku tetap ibuku. Sanggup bersengkang mata kerana anaknya, sanggup berlapar kerana anaknya, sanggup berpenat kerana anaknya, sanggup berkorban kerana anaknya, sanggup menggadaikan segalanya kerana anaknya. Ibu, seorang yang sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anaknya di dunia dan di akhirat, walaupun kadangkala tanpa disedari aku menghiris hatinya, meremukkan hatinya. Walaupun bersungguh aku berikrar untuk tidak membuatkan ibuku bersedih, namun kadangkala terlangkau juga batasan itu tanpa kusedari.

Ibuku sering berkata, aku akan merasakan apa yang dirasakan tika aku bergelar seorang ibu, kerana hanya ibu yang memahami hati seorang ibu. Ya, memang aku bersetuju dengan ayat itu. Hanya ibu yang tahu perasaan seorang ibu, hanya ibu yang tahu bagaimana rasa hati seorang ibu. Bantahnya seorang ibu demi keselamatan anaknya, marahnya seorang ibu demi kebahagiaan anaknya, pukulnya seorang ibu demi kejayaan anaknya. Mungkin tika ini aku hanya memahami 0.0005% sahaja, namun aku berusaha untuk berada di tempatnya. Menolong sehingga yang termampu setiap hari, dengan harapan, terkurang sedikit bebanan dibahunya. Menggembirakan hatinya sebaik mungkin, dengan harapan terlupa sedikit masalah dihatinya. Namun untuk berfikir bahawa aku sedang membalas jasanya, tidak sama sekali, kerana jasa itu tidak akan terbalas walaupun dengan darah aku sekalipun. Untuk berfikir bahawa aku membalas pengorbanannya, tidak sama sekali kerana pengorbanan aku tidak akan setanding walaupun aku gadaikan seluruh kehidupan aku.


Mempunyai keluarga sendiri bukanlah tiket untuk melupakan ibu bapa. Aku selalu terbaca dan terdengar bagaimana si anak dengan bangganya melupakan ibu bapa dari kamus hidup mereka, tidak langsung menghubungi ibu tua di kampung, tidak langsung mengirim khabar, jauh sekali menghulur wang ringgit. Ibu tua itu kadangkala yang bersusah payah menitip khabar kepada si anak. Wajarkah tindakan itu? Tanggungjawab anak terhadap ibu akan berterusan walaupun telah mempunyai 10 anak sekalipun, lebih-lebih lagi anak lelaki. Anak lelaki yang menjadi tunggak keluarga dan anak lelaki yang memikul tanggungjawab terhadap keluarga. Aku hanya ada seorang adik lelaki, anak lelaki tunggal dalam keluarga. Apa yang selalu aku nasihatkan kepadanya, jangan lupakan ibu walau telah berkahwin, kerana dialah yang orang yang paling penting dalam keluarga selepas abahku, dan carilah isteri yang boleh bertolak ansur dengan ibuku, orang yang boleh menerima dan menyayangi ibu aku sebagaimana dia menyayangi adik aku. Namun, jangan lah pula terlalu 'rigid' terhadap isteri sehingga si isteri tak boleh pulang ke kampungnya. Perlu diingat juga, jika tiada ibu mertuamu, tiadalah isterimu.


Nurkilan aku kali ni hanyalah sekadar dari pandangan aku semata-mata, tiada kaitan dengan mana-mana kenyataan mahupun manusia lain. Nurkilan aku ini juga akan menjadi peringatan kepada aku, supaya menjadi anak yang lebih baik dari masa ke semasa. Ketika masih di bawah tanggungjawab ibu bapa, akan aku berusaha sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik. Sebagai anak, mendoakan kebahagiaan ibu walau dimana dia berada adalah tugas utama. Aku sentiasa sedar bahawa darah yang mengalir di dalam tubuh anak semuanya berasal dari si ibu, walau aku dermakan kesemuanya kepada ibu aku sekalipun, tidak akan sama dengan darah yang telah membolehkan aku hidup (sebab dari darah, akan jadi daging, ye ke?). Aku ingin kasih aku turut membawa ibu aku ke syurga, bukan setakat syurga dunia, malah syurga di akhirat kelak. Aku sentiasa berdoa agar kasih aku ini tak menyebabkan ibu aku terlempar ke lembah kehinaan dan kesengsaraan. Aku ingin buktikan bahawa jika kasih ibu boleh membawa ke syurga, kasih anak turut membawa ibu ke syurga, bukan ke neraka~

Wednesday, May 2, 2012

Apabila si Anjing lebih mulia dari Manusia

30 April 2012, 6.15 ptg, Taman Teknologi Tak berapa tinggi, Johor tak berapa nak Baru.

Aku memandu keluar dari opis dengan kelajuan sederhana. Aku lihat, tak banyak kereta hari ni, mungkin sebab ramai yang ambil kesempatan untuk bercuti panjang sempena Hari Buruh keesokan harinya. Keluar sahaja ke jalan utama, kelihatan beberapa pemandu memperlahankan kenderaan. Mengapakah? Tertanya-tanya aku dalam hati. Kelihatan seekor anjing berada di tengah jalan. "Ish, anjing ni, kalau nak melintas, lintaslah cepat!Kalau dah kena langgar, macam mana?" Getus hati kecil aku. Kereta yang sedari tadi aku pandu dengan kelajuan 30 km/j semakin menghampiri anjing itu. Semakin lama semakin jelas kelihatan sesuatu di atas jalan. Apakah itu? Kelihatan anjing itu cuba mengangkatnya. Mungkinkah makanannya? Mengapa begitu berusaha untuk menyelamatkannya?

Jarak kedudukanku dengan anjing akhirnya kurang dari 2 meter. Terperanjat aku, kelihatan seekor anak anjing yang telah kehilangan nyawa terbaring kaku di atas jalan. Si ibu berusaha untuk menyelamatkan anaknya itu, tanpa menghiraukan pemandu-pemandu kenderaan yang mungkin ada yang bersimpati, mungkin ada yang tidak langsung menghiraukannya. Dari mata si ibu, dapat kulihat bagaimana dia cuba untuk menyampaikan mesej 'tolonglah selamatkan anakku ini'. Matanya yang kuyu bagai merayu, membuatkan air mata aku mengalir sayu. Begitukah sekali kasihnya si ibu?

Ingin sahaja aku memberhentikan kereta, menolong si ibu mengalihkan anaknya ke tepi jalan. Namun, ia adalah anjing! Berbagai kemungkinan boleh berlaku. Mungkinkah aku akan digigit? Yang pasti aku akan perlu mencari sebasuhan air tanah dan 6 basuhan air mutlak untuk menyertu diri ku, dan mungkin juga kereta ku. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk berlalu pergi, meninggalkan sang ibu anjing memohon simpati.

Sambil memandu aku terfikir, begitukah kuatnya kasih ibu? Ibu, tidak kira ibu kepada khalifah di muka bumi ini, ibu kepada tarzan comel di hutan, ibu kepada harimau dah singa yang berlarian memburu makanan, ibu kepada ikan paus yang berenang di lautan, mahupun ibu sang helang bebas berterbangan, mereka semua ibu yang membesarkan anak-anak, punya naluri yang kuat terhadap anak mereka. Walau apa pun yang terjadi, si ibu tidak akan meninggalkan anak mereka. Mengapa? Kerana ibu yang melahirkan, menyusukan, membesarkan anaknya. Lahirnya anak kerana ibu, anak membesar dalam kandungan kerana si ibu yang mengkehendakinya. Si anak tumbuh sihat di dalam kandungan kerana nutrien dari si ibu. Membesarnya anak, kerana susu yang diminum dari badan si ibu. Hampir kesemuanya dari si ibu.

Namun, terdapat juga manusia yang tidak layak dipanggil ibu. Lihat sahaja di dada-dada akhbar, bayi di jumpai di tepi masjid, jika tidak pun di dalam tong sampah. Oh, ada juga yang di 'flush' di dalam tandas. Mahu yang lagi ekstrim? Ada bayi yang sudah tidak cukup anggota badan akibat di makan biawak di jumpai di dalam sungai, jika tidak pun dibakar bagai kertas yang dikitar semula. Siapakah yang membuang bayi-bayi yang tidak berdosa ini? Sudah semestinya manusia yang berdosa. Mengapa? Kerana lahirnya anak itu bukan diatas kehendak mereka. Lahirnya mereka kerana satu kesilapan yang dilakukan. Lahirnya bayi ini kerana kealpaan.  Sebagai manusia, kita tidak lari dari dosa, namun jangan ditambah dosa yang menggunung dengan dosa membunuh, lebih buruk lagi membunuh darah daging sendiri.

Wahai gadis-gadis yang tidak layak bergelar ibu, sedarkah kamu tentang satu kenyataan? Beribu-ribu wanita di luar sana menangis setiap hari untuk bergelar ibu. Beribu-ribu wanita di luar sana yang berdoa setiap hari untuk bergelar ibu. Beribu-ribu wanita di luar sana berusaha untuk bergelar seorang ibu. Begitu murahnya harga kepada gelaran ibu wahai gadis-gadis, sehingga sanggup kau campakkan begitu sahaja? Mungkin pada masa ini kau tidak sedar kepentingannya, namun suatu hari nanti kau bakal menyesali perbuatan mu itu. Janganlah kerana kealpaan kau gadaikan nyawa darah dagingmu sendiri. Tidak penatkah kau membawa kandungan itu selama 9 bulan 10 hari? Tiada rasa kasih kah dikau terhadap darah dagingmu itu sendiri? Walaupun berjuta kesalahan yang kau lakukan, jangan sesekali membunuh darah daging sendiri. Walau sebuntu mana pun fikiranmu wahai gadis, jangan kau berpaling dari mereka.  Terdapat 1001 jalan untuk kau pilih, dan yang pasti membuang bayimu dan menyebabkan kematian bukan salah satu darinya. Sedarilah bahawa lahirnya mereka sebagai satu peringatan terhadap dosa yang kau lakukan. Lahirnya mereka adalah sebagai petunjuk bahawa dosa itu perlu dihentikan. Lahirnya mereka dengan harapan si ibu kembali ke jalan yang benar, menyucikan diri dari dosa, sebagaimana si anak lahir ke dunia tanpa berdosa.

Wahai gadis-gadis, ketahuilah batas-batasmu. Buktikan bahawa dirimu manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir, bukan hanya bernafsu semata-mata. Buktikan dirimu layak bergelar khalifah di dunia. Sedangkan anjing menyayangi anaknya, inikan pula manusia yang mempunyai akal dan minda. Anjing pun amat menyayangi anak-anaknya, janganlah engkau menjadi lebih hina dari mereka~