Friday, May 18, 2012

Terima kasih , cikgu~

Guru, orang yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak bangsa menjadi manusia yang berguna. Di rumah, ibu bapa akan menjadi pendidik, namun di sekolah, tanggungjawab tersebut di galas oleh insan-insan yang bergelar guru. Guru dan ibu bapa adalah orang yang akan dipersalahkan jika si anak tidak menjadi manusia atau menjadi sampah masyarakat (agak normal orang menyalahkan ibu bapa dan guru).

Guru pada zaman dulu dan zaman sekarang melalui cabaran yang berbeza. Aku tak nak lah membandingkan antara generasi aku dan generasi baru, sebab kita memang jauh berbeza. Generasi baru membesar dikelilingi dengan teknologi, touch screen sana sini, handphone bawah RM100 pun dah boleh dapat sebiji, dan sesiapa yang buta internet tu memanglah tergolong dalam golongan buta IT. Selain itu, generasi kini pun semakin cerdik. Buktinya, semakin bersepah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM, Matrilukulasi dan universiti. Mana tidaknya, perkembangan otak mereka teramatlah maju dan pesat membangun, terima kasih kepada penyelidikan yang dilakukan oleh pemilik-pemilik jenama susu formula di pasaran.

Oh, lupakan tentang generasi zaman kini.Kalau nak buat perbandingan, mahunya aku akan di bom dengan bedilan-bedilan fikiran dan kutukan negatif anak-anak zaman kini.  Motif aku menulis ni adalah untuk mengingat kembali kenangan-kenangan aku bersama guru-guru yang tercinta ketika berada di sekolah dahulu. Aku teringat di zaman aku bersekolah rendah, ketika aku mula-mula mengenal dunia. Pelbagai guru yang aku temui, dan sudah semestinya setiap dari mereka mempunyai identiti tersendiri. Dan perangai aku dan rakan-rakan sekelas yang lain sudah pasti boleh meyebabkan tekanan darah cikgu aku naik setiap hari. Kesian cikgu~

1. Mencampak buku keluar kelas

Ketika darjah satu, ketika mata pelajaran matematik, ketika itu hampir satu kelas tak siap kerja rumah. Cikgu Aminah ketika itu dengan bangga dan bahagianya mencampakkan buku-buku kami keluar, berterbangan membelah udara, seperti sang rama-rama terbang riang ria mencari bunga. Ada yang tak bernasib baik, terus masuk ke dalam longkang. Namun ketika itu, tiada siapa yang merungut. Kalau buku basah sebab kena air longkang, cuma pergi jemur je kat depan kelas. tak perlu nak buat aduan kat Persatuan Anak-anak Manja Semalaysia.

2. Berdiri di atas kerusi/ meja
Ada ketikanya kami terpaksa berdiri di atas kerusi, jika tidak pun atas meja. Sebab nya? Tak siap kerja rumah ataupun bising. Bila berdiri atas kerusi atau meja, macam tak ada perasan tinggi pun, sebab hampir semua kawan-kawan pun berdiri sama. Waktu sekolah rendah, biasanya memang semua akan berdepan dengan hukuman yang sama, dimana cikgu akan menetapkan bahawa jika seorang bising, maka semua kena hukuman. Maka, kami membuat keputusan, biarlah semua bising.Hehehe. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh~

3. Dipukul dengan rotan/pembaris

Biasanya ketika sekolah, kesan rotan atau pembaris di tangan bukan sesuatu yang asing. Macam biasa la, kalau dah dinamakan budak-budak, mestilah nakal, bising, tak buat kerja rumah, ataupun tak hafal sifir. Aku masih teringat rotan cikgu-cikgu aku yang ada pelbagai saiz, sama ada panjang, pendek, tebal atau nipis, semua aku pernah rasa. Jika tak pun, di rotan dengan pembaris kayu panjang yang berwarna kuning tu, tak pun kena pukul dengan pembaris besi. Pada waktu itu, walaupun berbekas kat tangan, tak pernah pula aku balik rumah dan mengadu dengan emak. Pada aku, itu memang kesalahan aku, dan jika tak nak kena hukuman, perlulah berusaha untuk tak mengulangi kesalahan yang sama. Lagi pun, ketika itu, kalau mengadu dengan emak sebab kena pukul dengan cikgu, bukannya emak pergi serang cikgu kat sekolah, tapi mak akan tambah lagi jumlah rotan yang aku terima! Sakit tau, sebab kena pukul dengan hanger dawai yang halus kat kaki..Aduh! Masih aku ingat lagi, disebabkan tak nak kena rotan, sanggup aku menghafal sifir sedaya upaya, macam hafal cerita satu buku. Alhamdulillah, sebelum penggal ke dua masa aku darjah 2, aku dah hafal sifir 12.

4. Berjalan itik

Berjalan itik mungkin antara hukuman yang jarang budak-budak sekolah terima, tapi memang wujud. Biasanya akan didenda kat carpark (pulak la mase sekolah rendah dulu, 4 tahun kelas aku depan carpark, bermaksud memang selalu budak kelas kau terima hukuman ni). Walaupun malu, tapi disebabkan kedegilan dan kenakalan kami yang berada di tahap mega, maka cikgu pun dah hilang sabar, terpaksalah terima hukuman itu. Memang letih sebab kaki lenguh, tapi kalau diingatkan kembali pengalaman tu, seronok pulak. Mana taknya, kadang-kadang kami kena buat bunyi itik menguak kuat-kuat, sampai kelas lain pun boleh dengar. Budak-budak sekarang ada ke kena macam ni? Tak pasti la pulak aku.

5. Ketuk Ketampi.

Haaa..Ini adalah hukuman yang cukup popular kebabom masa sekolah dulu. Asal ada buat salah je, ketuk ketampi. Tak kiralah jantina. Aku pernah didenda dengan ketuk ketampi sampai 150 kali! Memang benar, ini bukan rekaan. Dan yang penting, juga sewaktu kelas Matematik. Maunya pening kepala lepas habis buat 150 kali tu.  Jalan pun sampai kengkang sebab lenguh kaki. Dulu, tak ada teori pun yang mengatakan ketuk ketampi membahayakan kesihatan, boleh menyebabkan kemandulan. Ketuk ketampi ni memang dah popular sejak zaman mak abah aku lagi. Namun, lahir juga aku kedunia (bermaksud teori mandul tu tak boleh dipakai!) Sekarang, terdapat kajian yang mengatakan ketuk ketampi mampu meningkatkan kemampuan otak, dan murid akan menjadi lebih bijak? Sudah ada kajian yang dilakukan oleh doktor perubatan di New Jersey, USA. Semua cikgu rasa itulah hukuman yang paling best untuk diberikan pada anak murid. Sewaktu sekolah rendah, walaupun aku berada di kelas yang pertama, namun perangai kami langsung tak menggambarkan murid kelas pertama. Semua suka buat bising, lari-lari dalam kelas, lompat-lompat dalam kelas, sepak-sepak kawan, main-main dalam kelas, dan macam-macam lagi.  Makanya, selalulah juga kami buat acara ketuk ketampi secara berjemaah. Lebih ramai, lebih afdal~
Bila aku imbas kembali semua kenangan ini, aku akan tersenyum. Bila aku berjumpa dengan kawan-kawan sekolah rendah, kenangan inilah yang akan kami ungkit. Amat seronok, walaupun pada ketika kejadian, kami rasa macam entah apa-apa je. Aku sedar, semua yang dilakukan oleh cikgu adalah disebabkan kesalahan kita sendiri. Cikgu tak akan denda anak murid yang baik dalam kelas, cikgu mesti denda anak murid yang kurang baik. Tanggapan ibu bapa ketika itu sudah semestinya berbeza dengan sekarang. Ketika itu, mak abah aku hantar aku ke sekolah dengan harapan, aku belajar menjadi manusia yang berguna. Masih aku ingat ungkapan abah kepada cikgu kelas aku,

"Cikgu, kalau anak saya nakal, pukul sahaja. Saya izinkan. Nak pukul kuat pun tak apa, cuma jangan sampai mati je".

Mungkin sebab itulah aku berjaya hingga kini. Kena denda, kena pukul sampai lebam, semua mengajar aku menjadi manusia. Tak perlu mak abah aku pergi buat aduan kat Astro ke, Media Prima ke, RTM ke, Alhijrah ke sebab aku kena pukul.  Mentaliti ibu bapa dulu dan kini dah berbeza, sebab itu zaman kini ada cikgu yang kena saman. Sehingga kini, tak pernah pun aku menyimpan dendam, walau sebesar kurap pun terhadap cikgu-cigu aku. Sekarang, jika aku berjumpa dengan mereka, dengan segera aku akan menyapa mereka. Kebiasaannya, aku akan ternampak cahaya kebanggaan di mata cikgu-cikgu aku, kerana anak murid yang dididik mereka menjadi berjaya. Kerana mereka bangga, walaupun mereka membalun aku di sekolah dulu, aku masih menghormati mereka sebagaimana aku menghormati emak abah aku. Guru, walau hanya mengajar aku sehari sahaj, tetap aku anggap guru, yang akan aku hormati sampai bila-bila.

Bersempena Hari Guru pada 16 Mei lepas, aku nak mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru yang dah bersusah payah mengajar aku 

Tadika KEMAS Kg Seri Jaya (1994),
Sek. Keb Kg Pasir (1994-2000)(kelas 1 Merah, 2 Merah, 3 Merah, 4 Rajin, 5 Rajin dan 6 Rajin),
Sek Men. Seri Perling (2001-2003) ( 1 Belibis 1, 2 Belibis 1, 3 Belibis 1),
Sek Men. Sains Muar (2004-2005) (4 Tekun, 5 Tegas),
Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak(2006-2007) (Praktikum Fizikal 12),
Universiti Teknologi Malaysia, ( 2007-2011) (Jabatan Kejuruteraan Petoleum)

Terima kasih, Cikgu. Jasamu akan ku kenang hingga ke akhir hayat~


No comments:

Post a Comment