Saturday, June 16, 2012

Kucing-kucing Acrylic di atas Kanvas Empat Segi

Hujung minggu yang lepas, aku telah dikehendaki memandu ke Kuala Lumpur, kota rakus untuk mengambil adik aku pulang dari kursus. Walaupun penat, tapi digagahkan juga tubuh kerempeng aku ni untuk memandu pergi dan balik. Oleh kerana aku seorang yang memandu, aku mengambil keputusan untuk bermalam di rumah sepupu aku yang terletak di Gombak. Ye la, jika aku memandu pergi dan balik dalam masa sehari, kemungkinan besar aku akan tersadai di mana-mana kawasan R&R di sepanjang lebuhraya PLUS.
Setibanya aku di rumah mereka berdua di Gombak, aku dijemput masuk oleh lukisan kucing yang besar ni!Kalau dilihat betul-betul, akan kelihatan kekucing yg melambangkan setiap negeri di Malaysia.(Lukisan sempena 50 Tahun Kemerdekaan)
Malam sabtu, aku bermalam di rumah sepupu aku, Abg Eddy. Isterinya, kak Jaja, adalah seorang insan yang mempuyai jari-jemari seni yang mampu mempotretkan haiwan jinak berbulu yang dipanggil kucing dengan kreatifnya. Kak Jaja merupakan anak sulung kepada pelukis Yusof Gajah dan Zakiah Mohd Isa (peminat seni lukisan sememangnya mengenali ikon ini), jadi, mana tak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi? Tak semua orang mampu nak melukis, lebih-lebih lagi dengan kreatif dan seninya (aku suka juga nak melukis, tapi lukis cakar ayam versi suka hati aku je lah). Mungkin ramai yang mempunyai imaginasi, namun untuk menggambarkannya di atas kanvas beserta calitan acrylic, hanya mereka yang terpilih sahaja mampu.
Kucing ni terjun dalam air tau~ Kombinasi warna merah dan biru menaikkan seri si kucing

Kak Jaja memang dah lama mula melukis, sejak dari usia muda lagi. Rumahnya yang dipenuhi dengan potret-potret acrylic kucing menunjukkan minat beliau memang bukan sekadar minat budak-budak kecil yang hanya leka menconteng dinding dengan krayon sehingga menaikkan kemarahan ibu bapa, minat dan kreativiti Kak Jaja ini merupakan minat yang diambil serius. Ia kelihatan mudah untuk dilukis, namun jika tidak punya kreativiti, kemungkinan besar gambar si kucing akan menjadi gambar makhluk asing yang berasal dari pusaran galaksi ke-144 yang tak terpandang dek mata kasar, hodoh! Jadi, jangan sesekali mengambil mudah perkara yang ternyata tidak mudah.

Jika mahu tahu apakah yang digambarkan oleh lukisan ini, sila bertanya kpd Kak Jaja.Hihihi..


Kesemua calitan acrylic ini menggunakan warna-warna yang terang dan menarik, Ia mampu membuatkan minda separa sedar kita menjadi tertarik kepada lukisan-lukisan ini, seterusnya memberi ketenangan (Sememangnya warna-warna terang memang akan menarik perhatian).  Lupakan sebentar kepada lukisan kucing ala-ala gebu dan eksotik (macam kucing parsi, kucing bengal, kucing siam, mahupun kucing firaun), kerana lukisan kak Jaja ini lebih menjurus kepada lukisan sang kucing yang dalam keadaan santai. Tak perlulah terlalu rigid bahawa lukisan kucing ini perlu dilukis agar kelihatan seperti kucing yang hidup. Sesekali merubah persepsi manusia bahawa kucing ini haiwan boleh diolah menjadi kreatif, tak salah juga rasanya.
Kau fikir manusia je yg suka duduk kat cafe?
Kekucing bersantai di taman.

Pencinta kucing tak semestiya perlu membela kucing berpuluh-puluh ekor. Ada kalanya keadaan tidak mengizinkan, seperti ruang kediaman yang terhad dan masalah kesihatan (seperti lelah dan semput). Oleh itu, mengabdikan potert si manja pun sudah memadai untuk menggambarkan minat kita terhadap kucing, sebab tiada orang yang akan menggantungkan gambar lipas di rumah jika mereka geli dengan lipas. Sekurang-kurangnya, dengan melihat lukisan-lukisan ini, ia dapat memberikan ketenangan dan kegembiraan dalam diri kita.
My personal favourite, suka dgn gambar ni.


Aku pulang ke Johor Bahru keesokan harinya. Kak Jaja tidak lupa untuk memberikan buah tangan, iaitu gambar si kucing yang comel (terlupa nak ambil gambar).Oleh kerana keluarga aku memang peminat kucing tegar, maka lukisan tersebut dengan bangganya dipamerkan setaraf dengan gambar graduasi aku (Hebat tak?). Oleh itu, jika ada sesiapa yang berminat untuk melihat potret-potret ini, atau ingin bertemu dengan sang empunya diri, silalah pergi ke akaun facebook Kak Jaja.

No comments:

Post a Comment