Tuesday, December 4, 2012

Boikot MemBoikot

Baru-baru ni masayarakat dunia,khususnya umat Islam dikejutkan dengan berita Palestin diserang tentera Zionis Isreal. Sebabnya? Hamas dikatakan menyerang Israel, oleh itu pihak Zionis berhak menyerang balas dengan membunuh beratus beribu nyawa umat manusia yang tidak berdosa.
 
Bukan baru Palestine berdepan dengan serangan dan penjajahan Zionis. Sudah lama. Namun, setiap kali berita Palestine diserang, datang suara-suara yang mengeluarkan slogan untuk memboikot barangan Israel.

Hmm..nak cakap suara sumbang atau pun suara halus?

Suara sumbang:
Untuk mereka-mereka yang galak melontarkan pandangan dan idea tentang memboikot barangan israel,namun hanya untuk seketika. Mereka tetap meneruskan pemakaian barangan Israel yang sedia ada, tidak terus membakar atau membuangkannya. Selain itu, mereka dengan sinisnya akan memandang umat-umat manusia yang menjejakkan kaki ke McDonald, selain mengeluarkan fakta hukum hakam mengalahkan alim ulama di jabatan mufti. Apabila berdepan dengan komen yang agak bertentangan dengan pemikiran mereka, dengan lajunya mereka akan melenting, mencaci seterusnya tidak menghormati orang itu. Selepas itu, bila keadaan semakin reda, apabila berita Palestin diserang semakin berkurang, maka pemilik suara sumbang ini akan kembali melakukan rutin harian, makan tengahari di McDonald, sarapan pagi dengan barangan Nestle, dan sebagainya.

Suara halus
Untuk mereka-mereka yang sentiasa memboikot bukan sahaja barangan Israel, malah barangan negara-negara yang boleh mengganggu gugat ketenteraman masyarakat islam yang lain. Sememangnya mereka istiqamah dalam mendalami kehidupan sebagai seorang muslim yang sejati. Mereka menghormati dan tidak meng'condemn' pandangan umat manusia lain yang tidak mahu memboikot barangan manusia-manusia zalim itu, tapi dalam masa yang sama mereka cuba menarik umat-umat manusia ini untuk memahami isu boikot dengan secara halus. Mereka tidak sewenang-wenangnya melenting, selain mengkafirkan umat manusia yang lain. Cara mereka inilah sedikit sebanyak boleh menarik perhatian umat manusia lain untuk sama-sama memboikot barangan manusia zalim.

Setelah aku memerhatikan kedua-dua jenis umat manusia ini, dapat disimpulkan bahawa jumlah mereka yang bersuara halus amat sikit. Rata-rata umat manusia cenderung untuk menjadi manusia bersuara sumbang, atau separa sumbang. Isu boikot ini merupakan sesuatu yang amat sensitif, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan sumber pendapatan umat sebangsa dan seagama kita, seperti pekerja Nestle dan McDonald. Memang pilihan terletak di tangan kita, namun kita tak berada di dalam situasi mereka ini. Rata-rata yang ber'kicau' merupakan mereka yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang menjadikan McD dan Nestle sebagai pendapatan utama. Kini, untuk mencari pekerjaan bukannya mudah. Bagi mereka yang telah nekad, memang mereka boleh mencari kerja lain. Tapi,sebelum mereka mendapat kerja lain, dimanakah sumber pendapatan mereka? Memang rezeki datang dari Allah Taala, namun rezeki takkan turun dari langit bagai hujan, dan kita hanya duduk menadah tangan mendongakkan muka ke langit. Kita sebagai hamba ini perlu mencari dan menyelongkar rezeki itu.  Dalam ketika mereka ingin mencari rezeki lain itu, bagaimana mereka ingin mengisi perut anak isteri di rumah?

Terus terang aku berkata di sini, aku amat mengutuk tindakan zionis israel terhadap umat islam di Palestine, dan aku bukannya pemegang sepanduk menyeru umat manusia memboikot barangan keluaran manusia zalim ini. Sebagai manusia, kita mengetahui hakikat bahawa Amerika Syarikat juga ada memberi dana kepada israel. Nah, adakah anda semua mahu memboikot barangan Amerika secara keseluruhannya? Jika kita selongkar komputer yang sedang kita gunakan, dapatkah kita pastikan komputer itu 100% bebas dari barangan Israel walaupun pada luarannya ia ' Made In China'? Adakah kita dapat benar-benar pastikan handphone yang kita pakai itu benar-benar bebas dari Israel walaupun 'Made in Korea'?

Ada pelbagai cara untuk membantu saudara kita di Palestine. Walaupun boikot merupakan salah satu cara, namun bukan bererti mereka yang makan McD itu menyokong pembunuhan umat islam di Palestin. Adakah kita tahu jika mereka ini menyalurkan sumbangan beribu ringgit kepada Syarif Aqsa sebagai bantuan kewangan dan perubatan di sana? Dapatkah kita pastikan mereka yang tidak memboikot ini tidak pernah mendoakan kesejahteraan umat manusia yang lain hingga menitiskan air mata? Adakah kita dapat pastikan mereka yang tidak memboikot ini tidak pernah berusaha untuk membantu saudara kita di sana? Tidak sama sekali. Sebelum kita menemplak sahabat-sahabat kita yang terang-terang makan McD, tanya dulu pada diri sendiri, apa yang telah kita lakukan untuk membantu saudara kita? Jika baru setakat boikot untuk sebulan, jangan sesekali memperkecilkan orang lain. Setiap manusia ada hak. Kita perlu hormati hak dan pandangan orang lain. Jangan kerana pemikiran cetek kita yang terlalu dangkal, sesuatu yang boleh difikir secara logik pun menjadi tertutup, hanya nampak satu cara sahaja. Jangan memandang sahabat-sahabat yang tidak memboikot itu pandangan jijik dan sinis. Jika kita mahu mereka turut sama dalam usaha kita, ajak la secara halus, bukannya dengan cara berlagak bagaikan diri sendiri manusia suci. Jika mereka tidak mahu, doakan agar terbuka hati mereka, bukannya mencaci mereka.

 Jika kita telah tetapkan dalam hati mahu memboikot, jangan kepada barangan tertentu sahaja. Boikot semua jenis perkara, dari makanan hingga ke kehidupan seharian. Jika kita tidak mampu untuk memboikot barangan manusia zalim ini 100%, pastikan ada sedikit dari duit gaji dititipkan kepada saudara kita di sana. Jika tidak mampu, jangan lupakan secebis doa untuk kesejahteraan mereka. Jika ada sahabat sekeliling dengan bangganya makan McD, jangan mencaci mereka. Mereka ada pandangan sendiri, dan kita perlu hormati mereka.

No comments:

Post a Comment