Wednesday, July 8, 2020

Perginya seorang sahabat

Bagaimana tajuk, begitulah hakikatnya. Perginya seorang sahabat yang telah menemui PenciptaNya. Pergi meninggalkan alam yang fana menuju ke dunia yang hakiki. 

Sahabat ni, sebenarnya adalah sahabat baik suami aku. Sebelum aku kahwin dengan suami aku, aku memang dah kenal dengan arwah. Suami dan arwah memang berkawan rapat sejak dari sekolah, berkongsi minat yang sama, sama-sama kena tangkap sebab merokok kat sekolah, masuk universiti yang sama, tinggal di rumah sewa yang sama dan akhirnya tempat kerja yang sama. Bila dah satu opis, makan pun sama, merokok pun bersama. Bermacam rahsia mereka berdua kongsi, dan aku rasa ada antara rahsia tu yang memang kami isteri masing-masing pun tak tahu. 

Namun, tanggal 28 Jun 2020, segalanya berubah. Sahabat telah pergi dijemput Ilahi, asbab kemalangan jalanraya. Bagaimana aku yang sedang memandu pulang dari Alor Gajah ke Johor Bahru, tak mampu menahan air mata tatkala mendengar perkhabaran dari suami aku dihujung talian. Sepanjang 3 jam pemanduan, bukan mudah untuk air mata aku berhenti mengalir. Lagi pula lepas dengar suara suami aku yang menangis setibanya dia di hospital untuk melihat sahabatnya itu, lagi hati aku makin remuk. Sedangkan aku yang hanya seorang sahabat biasa pun sudah sebegini, bagaimana pula dengan suami aku yang sememangnya bagaikan belangkas dengan arwah? Bagaimana pula dengan isteri arwah? Bagaimana pula dengan keluarga arwah?

4 Julai 2020, aku bertemu dengan isteri dan keluarga arwah. Tiada yang buruk keluar untuk arwah, hanya yang baik-baik sahaja. Orang yang ikhlas membantu, orang yang tidak akan menghampakan sahabat, dan segala perkara yang baik dalam diri arwah, semestinya perginya meninggalkan kesan mendalam. Paling terkesan, bila isteri arwah menceritakan bagaimana nama suami aku diletakkan sebagai salah satu jawatan sekuriti banknya. Arwah pernah berkata kepada isterinya, hanya suami aku sahabat baiknya..

Kini, hampir 2 minggu pemergian arwah, aku masih lagi berasa sedih dan teringat segala kebaikan arwah. Aku juga agak risau dengan suami aku, sebab sahabatnya itu la yang dicarinya tak kira masa. Baik waktu makan tengahari, waktu malam selepas kerja, waktu merokok di pejabat, hinggakn no telefon arwah sentiasa berada dalam speed dial suami aku. Kami masih PJJ, jadi diwaktu aku leka melayan anak atau tertidur hingga tak dapat membalas whatsapp suami aku, maka suami aku akan mencari sahabatnya yang seorang ni. Kini, semuanya berubah....

Aku berdoa agar Allah taala berikan kekuatan jiwa pada suami aku, pada isteri arwah Aisyah dan keluarga arwah. Aku berdoa agar arwah Mohd Faisal Nasron ditempatkan dikalangan orang yang beriman, lepas dari azab kubur, dipermudahkan hisabnya nanti, dipermudahkan melalui titian sirat, ditempatkan di syurga Allah bersama para solehin..

Tenanglah kau sahabat di sana. Kebaikanmu akan terus diingati hingga akhir hayat...

Monday, June 22, 2020

Gunting rambut masa PKPP

PKP masih lagi belum tamat. Kita telah berada dalam fasa PKPP, iaitu Peraturan Kawalan Pergerakan Pemulihan, dimana hampir semua sektor dibuka untuk beroperasi. Salah satu yang dah beroperasi adalah kedai gunting rambut. Memandangkan rambut anak aku & suami pun dah panjang, jadi 20 Jun pun kami pergi ke kedai gunting yang biasa aku pergi kat Taman Dahlia. 

Aminah kena gunting rambut. Panjang sangat rambut depan tu sampai tutup mata. Kalau nak ikat rambut, memang dia taknak. Memang habis la kena gunting. 


Waktu kami sampai tu, tak ada orang, mungkins sebab  lepas hujan. Kedai memang patuh SOP. Siapa yang nak gunting rambut, kena ambil suhu badan. Setiap pekerja pakai face mask/ face shield, lepas tu setiap pelanggan kena pakai face mask. Lagi, kalau dulu, alas baju untuk gunting rambut tu biasanya akan pakai kain kan? Tapi sekarang kena pakai alas plastik. Bayaran?  Naik RM2, sebab bayar untuk harga plastik sekali. Hahaha. 

Kalau dulu boleh tunggu dalam kedai. Sekarang ni, aku kena tunggu kat luar kedai sementara suami & anak aku gunting rambut. Macam agak kelam kabut gak, tapi nak buat macam mana kan, sebab masih dalam PKPP, kedai gunting rambut pun nak ikut SOP dan takut kena denda. 



Temujanji Klinik Kesihatan Johor

Di musim PKP ni, benda yang paling dititikberatkan oleh kerajaan adalah penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter. Sebab apa? Kuman Covid tu boleh pergi terbang sampai 1 meter kalau orang bersin/ batuk. 

Kita memang tahu, klinik kesihatan ni salah satu tempat yang memang padat. Kalau sebelum musim covid, dalam klinik tu punya la sesak sampai ada yang kena berdiri, dalam klinik tu pun dah rupa sardin dah dengan kepadatan manusia. Kita pun tahu, kalau KK ni penuh bukan sebab perkhidmatannya cepat, tapi sebab murah dan agak menyeluruh. Kat mana lagi kita nak cari klinik yg bayar RM 1 tapi cek macam-macam? Kalau untuk kanak-kanak & ibu mmengandung, lagi la pulak tak payah bayar apa-apa. Free je vaksin tu semua. Tapi ada gak yang cakap tu agenda big pharma. Huhu. 

Berbalik kepada musim PKP dan penjarakan sosial ni, jadi salah satu cara nak pastikan klinik tak jadi sardin adalah dengan pastikan semua pesakit datang ikut waktu yang dah ditetapkan. Kena datang ikut appointment yang dah ditetapkan. Kalau memang dah ada appointment yg doktor dah tetapkan? Kena jugak buat appointment dalam sistem. Huhu

Untuk orang johor, untuk buat appointment dengan Klinik Kesihatan, perlu scan QR code ni:


Ikut lah apa yang dia suruh tu ek. 

Lepas tu akan keluar ni:


Pilih daerah yang kita nak pergi. Lepas tu pilih klinik yang kita nak pergi, sama ada klinik kesihatan atau pun klinik gigi. 



Bila dah pilih mana yang berkenaan, akan keluar page macam ni. 


Untuk kategori, kita pilih jenis klinik yang kita nak pergi. Nak pergi KKIA atau Jabatan Pesakit Luar. 
Bila dah ada pilihan macam ni, bermakna kita nk pergi checkup anak atau check pregnancy pun perlu isi ePRS ni.

Lepas pilih kategori, pilih pulak klinik mana yang kita nak pergi. Macam kes aku ni, mula-mula aku pilih KK Tampoi. Tapi disebabkan tak ada kekosongan, dan hanya ada kosong lepas 3 hari, pulak rasa kepala aku memang dah perpusing-pusing tahap tak ingat, terus aku pilih KK Mahmodiah.


Lepas tu masukkan kad pengenalan. Lepas tu, akan keluar page untuk masukkan data peribadi yang lain. Masukkan no telefon, tarikh temu janji , tarikh dan sebab kenapa nak pergi klinik. Waktu kita isi waktu temujanji, kat sini dah boleh tahu ada kosong ke tak slot temujanji. Kalau dah berjaya, dia tulis berjaya. 


Lepas dah siap isi semua tu kan, akan keluar questionnaire tentang kesihatan dan sejarah perjalanan terdahulu. Isi siap-siap, lepas tu hantar. 


Tadaaaa. Akan kelaur slip ni. Slip ni bergantung kepada klinik. Macam klinik Mahmodiah, tak guna pun slip ni, sebab banyak sangat kekosongan. Tapi untuk klinik Tampoi, emmang petugas klinik nak tengok slip ni sebelum dibenarkan masuk ke dalam. 


Benda ni agak praktikal untuk pastikan klinik tu tak sesak. Tapi agak tak praktikal untuk mereka yang dah ada temujanji yang dah dibuat 2 3 bulan sebelumnya, dan tak tahu tentang kewujudan apps ni. Mana taknya, temujanji memang dah ada, nak buat temujanji online tapi slot dah penuh. Tak datang temujanji kena marah, nak masuk untuk temujanji tapi dikata dah penuh. Huhu. Aku rasa perlu ada integrasi sistem ni dengan sistem temujanji di klinik, dimana jika dah ada temujanji klinik, tak perlu lagi isi borang ini, sebab ia benda yang sama je pada hakikatnya. Cuma slot kekosongan dalam sistem tu perlulah bergantung kepada jumlah baki slot kekosongan selepas ditolak slot temujanji. Ini hanya oendapat aku sahaja la. 

Apa yang pasti, pastikan buat temujanji sebelum datang checkup ye. 

Wednesday, April 22, 2020

Pam susu real bubee

Pam susu merupakan benda yang agak essential untuk mak-mak menyusu yang bekerja. Iye la, anak tak ada dengan kita, tapi dalam masa yang sama, kita nak anak kita cukup susu badan. Jadi, salah satu cara nak kumpul susu selain dari nak perah secara manual pakai tangan, adalah dengan guna pam susu.

Pam susu ni, kalau untuk yang ada bajet lebih, baguslah beli yang heavy duty, macam brand Madela, Spectra. Tapi untuk orang yang tak berapa mampu, takkan tak boleh nak pam susu kan? Asalkan ada usaha, pasti ada jalan. Haha.

Kotak real Bubee. Abaikan tangan gebu tu. Hahaha.
Pam susu real bubee ni antara pam susu mampu milik. Pam susu ni tak la heavy duty. Bermakna, kalau kau pam susu sehari lebih dari 3 kali, pam susu ni tak la panjang umurnya. Untuk aku yang dah 3 tahun menyusu badan & pam, dah 2 kali jugak aku tukar pam susu real bubee ni. Sehari aku pam minimum 4 kali, memang agak lasak untuk pam murah macam ni. Harga pun tak sampai RM50. Aku beli kat Lazada, baru RM27 ( Masa tu ada promotion). Nak letak dalam claim LHDN pun rasa serba salah. Hahaha. 

Corong dia pendek je, senang nak selit-selit buat handsfree.
Pam ni kecik, ringan, senang nak bawak ke mana-mana. Corong dia pun agak pendek, jadi untuk selit dalam bra dan jadikan handsfree pun senang. Aku jenis pam susu dekat meja opis dan setiap kali drive balik rumah, jadi tak la susah sangat. Tak perlu la aku nak keluar duit nak beli corong handsfree. Untuk bunyi pulak, walaupun badan dia tu kecik je, tapi bunyi dia agak kuat. Kena pandai sorok pam dalam laci atau dalam beg pam untuk kurangkan bunyi pam tu. Kalau tak, nanti mesti ada kawan yang tegur hp vibrate atau orang mesin rumput. Hahaha. 

Pam ni kena pakai power bank/ power outlet.
Cuma satu je la, pam ni tak ada build-in rechargeable batter. Iye la, harga murah, lagi nak feature mahal. Kena ada powerbank atau charger usb phone kalau nak pakai. Lagi satu, kat tempat nk masukkan USB tu, dia agak sensitif sikit. Masuk kena berhalus sikit. Kalau ganas-ganas sangat, nanti USB outlet yg tempat charger tu akan terlonggar/ tercabut dari board pam tu, itu yang pam tu nampak macam rosak. Padahal kalau bukak pam tu, lepas tu solder sikit tempat USB tu, terus boleh guna macam biasa. Kalau nak ada yg build-in battery, ada la dalam RM50++. Boleh cari kat Lazada. 

Masa ni tiba-tiba tak boleh nk hidup. Bila goncang-goncang, tgk USB port dah hilang. Terus pinjam screw driver dr abg maintenance kt kilang, kita pun godeh la membukanya..

Sementara nak balik rumah dan cari solder, kita tampal la pakai seletep dulu. Haha.

Secara keseluruhan, aku bagi 7/10 untuk pam ni. Hahaha. Walaupun murah, tapi berjaya bantu aku untuk menyusu penuh selama 2 tahun. Setahun 10 bulan gak la aku usung beg pam tu ke hulu hilir. Memang recommended untuk ibu-ibu yang kurang bajet.