Tuesday, September 9, 2025

Priority lane orang mengandung

Semalam dengan hari ni, sibuk orang memperkatakan tentang priority lane untuk ibu mengandung. Ada yang menyokong, ada yang membantah. Benda ni mudah je. Ada berkaitan dengan empati. Memang ada orang yang akan cakap;

 'Engkau yang pilih untuk mengandung, dah kenapa aku nak mengalah dengan kau? Tu kan pilihan kau'

Betul. Kenyataan tu betul. Sama juga nanti kalau kau berkahwin, kau sendiri mengandung, atau isteri kau nanti mengandung, memang itu pun pilihan kau kan? Tapi kita sebagai manusia, ada satu sifat yang diberi nama empati, iaitu rasa memahami keadaan orang lain. Tapi apa yang aku perasaan, semakin lama semakin kurang perasaan empati dalam diri masyarakat kita. Sebab apa? Sebab semakin kurang hidup bergaul,hidup bermasyarakat, hidup hanya dalam kepompong sendiri, jadi tak tahu tentang orang lain. 

Emak-emak mengandung ni, tak la teringin sangat nak dapat layanan special. Dia pun segan juga. Tapi kalau ada empati, boleh fikir, kan? Trimester pertama, berhadapan dengan morning sickness, rasa badan tak selesa, badan lemah. Trimester kedua, keadaan semakin membaik, waktu ni ibu mengandung bertenaga sikit. Tapi bila masuk tirmester ke 3, dengan kandungan semakin membesar, segalanya terbatas. Tahu tak kalau ibu mengandung ni, bila dah sarat, benda paling malas dia nak buat adalah keluar berjalan? Dari dia bersusah payah pergi beratur kat mall untuk beli barang, baik dia rehat dekat rumah. Dari dia sibuk nak makan kat kedai, lagi baik dia duduk rumah je. Baring-baring, golek-golek, rehat-rehat. Tapi, keadaan kadang-kadang bukan mudah seperti yang disangkakan. 

Contohnya kalau berbelanja barang, ada ibu sarat yang PJJ, suami jauh, si ibu ni bekerja, hanya ada waktu hari hujung minggu untuk beli barang dapur. Nak suruh pergi speedmart? Kalau speedmart kat rumah aku ni, asal pergi je, rak kosong memanjang. Jadi nak tak nak, kena pergi supermarket. Ada yang cakap, ada supermarket bukak sampai pukul 12 malam. Kau expect emak mengandung yang nak keluar rumah pun tak larat, nak menahan mata pukul 11-12 malam? Pukul 7malam pun dah nak tertutup mata. Hmmm.

Disinilah gunanya empati. Kalau memang tempat tu tak ada priority lane, lepas tu emak mengandung ni mengeluh, apa yang kita boleh buat adalah senyap. Tak payah nak cakap apa-apa. Tak payah la cakap emak tu mengada lah, itu lah, ini lah, sebab keadaan setiap orang tu tak sama. Macam aku waktu mengandung, ada masa aku boleh lari 5km tanpa masalah, ada masa aku nak bangun dari kerusi pun minta ampun. Aku sendiri PJJ, ada masa kena keluar sendiri beli barang rumah. Apa option yang aku ada kalau dekat dapur barang semua dah habis? Kena la keluar rumah dan beli walaupun jalan macam penguin. Aku pun tak adalah demand priority lane, tapi kalau ada, alhamdulillah sebab dipermudah urusan. Kalau tak ada? Duduklah beratur tu sambil tahan perut mengeras ke, atau rasa nak terkencing, atau sakit pinggang,atau lenguh kaki, atau macam-macam lagi lah. 

Lagi satu orang persoal, kenapa kat kedai makan ada priority untuk ibu mengandung sedangkan dia ada ahli keluarga lain makan sekali? Dah tu kau nak dia makan sorang-sorang, lepas tu ahli keluarga lain makan kemudian? Lepas dia habis makan tu dia nak buat apa? Biarlah kalau kedai tu nak meraikan dia pun, emang hak dia. Bukannya sepanjang masa mak ni mengandung. Lagipun, lagi cepat dia habis makan, lagi cepat dia boleh balik, lagi cepat boleh rehat. Lega tau rasanya bila boleh luruskan kaki atas katil. 

Isu ni kecik je, tapi ada orang suka perbesarkan. Kalau lah orang ada empati, takkan ada cakap-cakap belakang lepas tu. Emak mengandung pun, tak boleh nak demand lebih seba mengandung tu memang pilihan kita pun. Jadi kalau ada orang sediakan priority lane, alhamdulillah bersyukur atas kemudahan. Kalau tak ada, terimalah seadanya. 

Tuesday, September 2, 2025

Tukar baju hari-hari

Aku terbaca satu post dekat thread, pasal perempuan kena sentiasa tukar pakaian, tak kira luar atau dalam, setiap hari. Untuk apa? Kebersihan, nak elakkan bau badan, nak kurangkan pertumbuhan bakteria & kuman penyebab bau badan.

Satu je dalam fikiran aku, benda tu bukan basic hygiene ke? 

Sebab ada yang komen, kalau tukar baju hari-hari, baju tu berlonggok, kepam. Keluar rumah je cantik, dalam rumah kepam. 

Aku macam,erkkkkk. Nope. 

Perempuan yang jaga 'kebersihan' badan dia, pasti akan jaga kebersihan sekeliling ye. Ada beza jaga 'kebersihan' dengan 'penampilan'. Orang yang jaga penampilan tu, luaran je. Asal nampak bergaya, tak kisah lah baju tu recycle ke, sangkut belakang pintu ke, asalkan dia rasa tak ada bau, masih boleh pakai, dia akan pakai. Bau sikit-sikit tu, dicovernya dengan minyak wangi satu liter.

Tapi orang yang jaga kebersihan, lain. Baju sekali pakai, maksudnya masuklah dalam bakul baju kotor. Kalau memang dia sejenis yang pembersih, rasanya ada ke dia nak biarkan baju kotor tu berlonggok lama-lama? Tidak akan, sebab dia mesti akan rajin cuci. Iyelah, kalau rajin tukar baju, mestilah stock baju harian makin berkurang, kan? Mesti kena rajin cuci punyalah. 

Jadi kat sini, tak ada istilah orang yang rajin tukar baju bersih tu, orang pesen kepam. Semestinyalah dia sejenis yang rajin cuci baju. Kalau badan dia boleh jaga sebersih itu, takkan la benda yang dipakai kat badan dia nak biarkan kotor. Common sense sikit lah. Huhu. Tapi itulah, benda kalau post kat media sosial, kenalah bersedia nak dikecam dengan orang yang fikiran dia tak satu frekuensi dengan kita, sebab setiap manusia tahap pemikiran dia lain. Jadi, kita tahu diri kita. yang penting, pakaian sentiasa tukar, kena selalu mandi dan basic hygiene kenalah jaga, supaya orang sekeliling tak terseksa kena tahan nafas bila kita lalu. 

Monday, September 1, 2025

Menumpang rezeki anak

Kita selalu dengar, anak tu rezeki. Tapi aku selalu fikir, aku sebenarnya yang menumpang rezeki anak. Setiap anak tu lahir dengan rezeki, tapi macam mana rezeki tu datang? Ibu ayah naik pangkat, dapat bonus, dipermudah kerja. Aku tak cakap orang yang tak ada anak tu, tak ada rezekinya, bukan sama sekali. Mereka datang rezeki tu dalam bentuk berbeza, sama juga untuk ibu ayah ni. 

Kenapa aku cakap aku tumpang rezeki anak? Sebab apa? Sebab aku bekerja, berusaha tu sebab nak besarkan anak. Aku fikir, aku yang pilih untuk lahirkan anak-anak aku, bukan sebaliknya. Jadi, dah jadi tanggungjawab aku untuk beri yang terbaik untuk anak aku. Kan? Jadi dengan setiap kelahiran anak tu, aku yang pilih, bukan seab terbabas ke, sebab tak sengaja. Aku tak nak anak aku rasa, macam dia tak diundang kat dunia ni. Tidak sama sekali.

Sekarang ni pun, aku berpendirian, duit gaji aku, sebahagian tu memang aku akan belanja solely untuk anak aku, tak termasuk yang aku buat simpanan untuk masa depan anak-anak aku. Belanja untuk kelas, belanja makan, belanja riadah. Alhamdulillah, tak pernah putus rezeki tu, walaupun ada masa aku sesak juga hujung bulan, tapi masih boleh bernafas. 

Aku berdoa, biarlah anak aku dapat yagn terbaik, walaupun aku sendiri tak bernasib baik macam tu masa kecil dulu. Tapi, aku tetap bersyukur arwah abah & emak boleh besarkan aku sampai berjaya, dan aku memang takkan lupakan jasa abah & emak sampai bila-bila. Aku berdoa, agar anak aku jadi anak soleh & solehah, manusia yang berguna dan berjasa kepada masyarakat, agar rezeki yang datang dengan kelahiran anak-anak aku tu, boleh disebarkan kepada orang lain juga. 

Thursday, August 28, 2025

Menjual style 'Fear Mongering'

Aku tak pastilah dari mana bermulanya marketing jenis fear mongering ni, tapi yang pasti memang aku tak suka. Kalau aku jumpa, memang aku pangkah awal-awal. Modus operandi dia, dia akan buatkan kau rasa terdesak dan 'beli' pilihan yang dia tawarkan.





Kisahnya hari ni, cikgu anak aku suruh join satu sesi penerangan pasal satu apps ni. Aku sebagai emak pun, joinlah. Ingatkan ni apps untuk program NILAM ke apa ke. Bila masuk je, bermulalah sesi iklan testimoni pelajar-pelajar terdahulu. Terus aku dah mula rasa tak selesa. Sesi pun bermula. Orang yang claim dia 'coach' mulalah terangkan pasal apps ni, apa kebaikan dia, bila pakai anak boleh pandai, yada yada. Masa ni aku masih dengar lagi la. Tapi, aku mula tak minat bila dia mula cakap pasal version premium & tak premium. Hmm, something smell fishy.


 



 





Lepas tu dia mulalah promote version dia ni. Harga asal, RMXXXX, tetiba promosi hari ni terus jadi RM4X. Aik, jauh bebenar harga jatuh. Siap cakap, kalau keluar dari sesi ni, memang takkan dapat dah harga ni. Dia cipta rasa terdesak mak ayah untuk join kelas dia. Pulak harga tu untuk seorang anak ye, setiap bulan. Bukan aku tak ada duit nak join, tapi aku tak suka komitmen ad-hoc yang tetiba muncul. Aku memang tak suka. Biasanya bila melibatkan komitmen, aku memang akan buat kira-kira berdasarkan gaji aku. Hmmm. Pulak aku ada sejenis perangai, lagi orang paksa macam ni, lagi aku tak nak beli. Haha. Dalam fikiran aku, kalau aku nak join kelas untuk anak aku, ada macam-macam cara lagi yang boleh aku buat, dan ada macam-macam apps berbayar yang orang join bukan sebab 'fear-mongering', tapi memang sebab realibility & kredibility program tu sendiri. Ini lebih buat aku yakin.














Situasi yang sama juga aku pernah kena masa bawa kereta pergi bengkel. Ada bengkel yang jenis 'kalau akak tak tukar benda ni hari ni, akak boleh accident' sebab beria macam paksa aku tukar sparepart tu, tanpa bagi masa untuk aku fikir. biasanya macam ni, aku akan cari bengkel lain. Aku lebih mempercayai bengkel yang jenis, 'Kak, ni akak boleh pakai lagi dalam 6 bulan. Lepas tu mungkin akan ada masalah. Kalau akak nak tukar, akak boleh contact saya', atau kalau memang betul-betul rosak, dia akan terus tunjuk mana yang dah rosak tu. Kan nampak macam tak mendesak kat situ? Budak bengkel tu bagi aku masa untuk berfikir. So, bengkel ni lah yang akan aku repeat semula, berbanding bengkel awal tu. Aku ni pun ada pengetahuan sikit pasal kereta, jadi aku tahu sama ada pomen tu menipu aku ke tak.  













So, berbalik kisah apps tadi, apa aku buat? Aku left terus sesi tu. Hahahaha. Tak apalah, aku stay style old school aku, mengajar anak secara berhadapan. Kalau aku rasa nak cari tuisyen online, pandai-pandailah aku cari. So dekat sini, fear mongering marketing ni, tak semua orang suka. Ada orang mudah untuk termakan kata-kata salesman tu, tapi orang yang tak. Tapi itulah, nak marah lebih pun tak boleh, jadi apa kita boleh buat? Sebab dia pun cari rezeki. Kita undur diri je lah ye.    






Monday, June 9, 2025

Apa yang orang ingat tentang kita?

 Sejak akhir-akhir ni, aku selalu baca tentang kemalangan maut. Tak kurang juga aku terima kematian sahabat-sahabat secara mengejut. Benda ni buat aku terfikir, 'apa agaknya reaksi orang kalau aku meninggal?'

Benda yang orang akan buat, mestilah akan scroll social media, tengok apa post terakhir, dan juga bila posting tu dilakukan. Selain tu, orang akan tinggalkan ucapan takziah. Kalau mana yang baik semasa hayat dia, maka penuh la saudara mara & sahabat handai yang akan memuji. Kalau yang jenis tak guna? Biasanya makian tu orang dah takkan ungkap secara terang, sebab menghormati so mati, tapi mestilah ada yang berfikiran lega sebab terlepas beban/ masalah. Tak kurang juga ada yang akan ungkit segala kejahatan kita.

So, bila kita meninggal nanti, apa agaknya otang akan cakap pasal kita? Waktu hidup ni, kita la yang tentukan. Nak orang puji atau nak orang caci?


Ps:

Kalau aku tak ada, nanti jangan lupa sedekahkan alfatihah dan doa. Aku minta maaf siap-siap kat sesiapa yang aku banyak susahkan & bebankan. Tak terniat pun nak menjadi masalah orang, tapi kalau aku tak ada, kuranglah sikit masalah dunia 🥹