Sunday, April 27, 2014

Perkahwinan, dari kaca mata seorang anak



Emak dan arwah abah dah berkahwin untuk 30 tahun 2 bulan, sehingga tarikh kematian arwah abah. Cukup panjang untuk aku sebagai anak untuk memahami sedikit sebanyak, apa itu erti sebuah perkahwinan.

Emak dan abah dinikahkan pd 26 Disember 1982. Dalam perjalanan arwah abah ke Endau, tempat pernikahan bakal dilangsungkan, banjir besar telah berlaku. Rombongan pihak lelaki sebanyak 2 trak askar terpaksa berpatah balik akibat trak ditenggelami air. Arwah abah sendiri yg berenang untuk menyelamatkan penumpang dalam trak tersebut. Akhirnya, hanya 1 trak sahaja yang berjaya meneruskan perjalanan ke Endau. Pernikahan berlangsung juga, walaupun jam telah menunjukkan jam hampir 12 tgh mlm, akibat banjir tersebut. Alhamdulillah, pernikahan itu kekal hingga akhir hayat abah...

Bermacam asam garam kehidupan yang telah aku saksikan antara mak abah. Emak dan abah kehilangan 2 org anak lelaki di awal usia perkahwinan, namun masih dikurniakan 4 org lagi cahaya mata selepas itu. Kisah keluarga aku bukannya kisah tipikal keluarga biasa. Dugaan, cabaran, hasad dengki manusia, semuanya ada. Rumah tangga abah dan emak turut terasa gegarannya, namun dek kerana asas yang kuat, gegaran itu hanya sebagai salah satu cara untuk mengukuhkan lagi rumah tangga mereka.

Abah bertindak sebagai ketua keluarga, mencari nafkah dan rezeki untuk keluarga. Manakala emak adalah suri rumah tangga, menguruskan rumah dan anak-anak. Sikap toleransi perlu ada untuk mereka kekal bahagia. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Mereka bergaduh, namun masih berbatas. 

Emak mengalami sakit sejak aku berumur 10 tahun. Aku fikir, jika lelaki lain, sudah tentu emak aku akan diceraikan. Namun tidak abah. Dia berusaha untuk memulihkan emak. Sehingga di hari-hari akhir kematiannya, dia masih lagi bimbang akan kesihatan emak aku. 

Cukup segar diingatan aku bila emak aku menangis tatkala teringatkan arwah abah. Tangisan bagaikan seorang anak kecil yang kehilangan mainan. Sungguh sayu, bagaimana emak memeluk baju terakhir arwah abah. Begitu sekali cinta mereka. Aku teringat, emak dan abah pantang berjauhan, pasti akan sentiasa mengingati antara satu sama lain. 

Ada seseorang berkata, selepas setahun, pasti jemu dengan suami sendiri. Namun, dr pandangan mata aku sebagai anak, walaupun telah 30 tahun berlalu, emak dan abah masih belum jemu antara satu sama lain. Masih lg saling menyayangi, masih lagi saling melengkapi. Perkahwinan bukannya untuk tempoh sehari, namun ia sebenarnya adalah untuk sepanjang hayat.

Kita takkan dapat pasangan yang 'perfect'. Kerana perkahwinan itu adalah untuk saling berkongsi kelebihan, saling melengkapi kekurangan. Itu lah perkahwinan. Jangan terfikir perkahwinan itu mudah, tidak sama sekali. Perkahwinan itu satu fasa dlm kehidupan, yg pasti ada pasang surutnya. Sebelum dan selepas perkahwinan, pasti ada dugaannya. Terpulang kpd kita sendiri untuk menghadapi dugaan itu. syaitan ada dimana-mana, yang menghasut keraguan dalam hati anak adam yg ingin mendirikan masjid, dan mereka juga berusaha menghasut mereka untuk menhancurkan masjid yg mereka bina. Jika tidak kerana toleransi dan tolak ansur, pasti sebuah ikatan yg dibina itu tak kekal.

Sebagai anak, dari kaca mata aku, perkahwinan adalah satu perjalanan yg indah, selagi tak dikotori dgn kecurangan. Sebagai anak, perkahwinan itu adalah perkongsian tanggungjawab dan juga kebahagiaan. Perkahwinan dari kaca mata seorang anak adalah, rasa cinta hingga ke syurga..

* Air mata aku turut mengiringi ketukan jari jemari aku diatas papan kekunci*

No comments:

Post a Comment