Hidupku sebagai anak seorang perajurit Negara, pejuang bangsa..
Arwah abah seorang tentera yang berpangkalan di Kem Tebrau, Johor Bahru. Abah kerap kali di hantar posting di sana-sini. Kadang-kadang seminggu, kadang-kadang sebulan. Kami yang masih kecil ketika itu, tidak bertanya banyak pada emak. Apa yang kami tahu, abah pergi bekerja. Hanya emak di rumah yang menguruskan kami.
Tentera pada ketika itu tidak bergaji besar. Aku masih ingat bagaimana abah mengajar kami untuk sangat menghargai rezeki. Sebulan sekali kami makan ayam, amat jarang kami dapat berkunjung ke KFC. Apabila aku lihat anak orang lain berpakaian cantik, bermainan hebat, aku juga teringin. Namun, abah berkata semuanya perlu ikut kemampuan. Aku terima sahaja.
Ketika orang lain sedang lena tidur, abah bersengkang mata di pos kawalan. Ketika orang lain sedang bergembira dengan keluarga, abah sibuk berada di perbatasan, dan kami setia menanti kepulangan abah. Ketika orang lain sibuk menyambut perayaan, abah sedang sibuk menjaga keharmonian Negara. Dan kami? Masih lagi setia menanti abah. Menanti dengan debaran, adakah masih ada masa lagi untuk kami bermanja dengan abah?
Hanya anak tentera memahami kami. Perasaan ditinggalkan, perasaan merindui abah. Hanya kami memahami betapa sukarnya mereka mempertahankan Negara. Ketika sudah berumur 41 tahun, mereka masih berkawat, membuat latihan, masuk keluar hutan.
Wahai rakyat Malaysia, berfikirlah sebelum dengan rela hati ingin membenarkan penjajah menjejakkan kaki ke Negara ini. Fikirkan lah nasib anak-anak perajurit pejuang bangsa kini. Ketika anda bergembira bersama keluarga, mereka sentiasa menanti kepulangan insan yang tersayang. Yang mereka tidak pasti, adakah bapa mereka pulang dengan senyuman, ataupun hanya sekujur tubuh kaku diusung ke ruang tamu..
No comments:
Post a Comment