Tuesday, March 26, 2013

Payung Emas Siti Khadijah

Bila berkata tentang payung emas, pasti ramai boleh menangkap apa maksudnya. Semestinya ia berkaitan dengan poligami.
 
Poligami, perkataan yang paling digeruni kaum wanita, paling digemari kaum lelaki. Berpoligami bermakna wanita itu akan berkongsi kasih sang suami dengan wanita lain. Nampak agak mudah, namun bagi mereka yang berhadapan dengannya, pasti hanya mereka tahu keadaannya.
 
Salah satu syarat untuk berpoligami adalah berkemampuan. Ia berdasarkan dari semua segi, iaitu dari segi kewangan, jasmani, rohani dan juga minda. Namun, ada satu jenis kemampuan yang selalu diketepikan, iaitu kemampuan untuk berlaku adil.
 
Aku pernah mendapat 'tempias' kesan poligami ini dari sahabat aku sendiri. Sahabat aku ini isteri pertama, yang banyak berkorban demi suami. Dia merupakan surirumah sepenuh masa. Dia amat mempercayai suaminya itu. Namun, sedikit demi sedikit kasih suaminya berubah tanpa dia sedari. Walaupun pada awalnya dia ada meragui suaminya, namun oleh kerana percaya, dia persetankan segala prasangka. Hingga la pada suatu hari, suaminya itu mengakui tentang cintanya pada wanita lain.
 
Hati wanita mana yang tidak sedih? Oleh kerana dia terlalu sayangkan suaminya, dia terima juga poligami itu, berusaha untuk menerima madunya dengan seadanya. Namun, apa yang berlaku ialah dia di abaikan. Suaminya hanya menjadikan rumahnya sebagai tempat tidur dan menukar pakaian sahaja. Dirinya tidak diendahkan, hati dan perasaannya tidak dijaga. Yang ada dalam fikiran suaminya hanyalah isteri mudanya sahaja, walaupun pada awalnya suaminya telah berjanji untuk berlaku adil.
 
Dimanakah keadilannya di situ? Sedangkan perasaan si isteri didera setiap hari. Setiap hari dia berdoa kepada Allah agar hatinya dapat meredhakan setiap perbuatan suaminya itu. Akhirnya dia mengadu kepada aku, sampai bila dia harus terdera begini? Kasihan melihat dirinya. Setiap hari menangis. Suaminya hanya memberikan hadiah kepada isteri muda, memberikan bunga, berpakaian sedondon, sedangkan dirinya? Tiada. Hati isteri mana tidak terasa? Berlaku adilkah di situ? Tidak. Sedangkan dengan isteri muda, ulangtahun perkenalan pun disambut, namun dengan isteri tua, ulangtahun perkahwinan yang ke 20 pun terlupa? Mungkin si suami perlu diberi makan kismis sekilo kerana terlalu banyak makan semut.
 
Aku yang menjadi pemerhati ini amat mengkagumi semangat sahabat aku ini. Amat tabah dalam mengharungi dugaan hidup. Jika aku berada di tempatnya, kemungkinan besar aku dah angkat kaki dan beg.Tidak sanggup menghadapi penderaan mental sebegitu.
 
Oleh kerana itu la, ramai wanita yang gerun akan poligami. Kebanyakkan lelaki amat bersetuju tentang hukum poligami, namun arifkan mereka tentang cara pelaksanaannya? Kebanyakkannya suka berkahwin lebih dari satu, namun adakah mereka mampu berlaku adil? Mengapa hanya sunnah nabi yang itu satu sahaja yang mahu diikut, sedangkan perkara wajib pun tak mampu dilakukan? Mengapakah poligami sahaja yg dilihat, sedangkan ada berates-ratus lagi sunnah nabi? Jika benar mereka ingin berpoligami, mereka perlu menyediakan diri mereka dengan ilmu agama, untuk mengelakkan ketidakadilan dari berlaku. Isteri semestinya tidak akan menolak untuk berpoligami jika dia melihat suaminya berkemampuan dari segala segi, termasuklah mampu untuk berlaku adil.
 
Oleh itu, kepada kaum lelaki, jika anda ingin berpoligami, pastikan dada itu sudah penuh dengan ilmu agama. Bukan hanya ilmu untu berpoligami, malah segala ilmu fardu ain. Tanya pada diri anda sendiri, mampukah anda untuk berlaku adil? Jika tidak, batalkan sahaja niat anda itu. Kerana diakhirat nanti, sudah semestinya isteri anda yang penyabar dan redha itu insyaallah akan mendapat payung emas, namun di waktu yang sama bahu anda pula senget sebelah kerana tidak berlaku adil. Jika diawal perhubungan pun sudah menunjukkan ketidakadilan, bagaimana ingin hidup bersama selama 20-30 tahun?
 
Aku bukannya menentang poligami, kerana aku tahu poligami itu hak suami. Aku orang Johor yang bersekolah agama di Johor, mendalami ilmu munakahat untuk 2 tahun. Aku tahu apa hukumnya isteri meminta cerai jika suaminya ingin berkahwin lain, dan aku tahu apa hukumnya jika isteri tidak membenarkan suami berkahwin lain. Terpulang pada suami untuk menilai dan membuat keputusan. Namun, apa yang aku tidak sokong adalah bagaimana suami-suami ini mengabaikan isteri tua, bak kata pepatah, dah dapat pucuk muda, yang tua dilupakan. Mereka juga manusia yang punya hati dan perasaan. Jagalah hati mereka. Mereka bukan pembantu rumah anda, mereka adalah suri rumah anda. Mereka bukan dibeli oleh anda, mereka dinikahi oleh anda. Tunaikan janji anda yang dilafazkan di dalam lafaz taklik dihadapan wali isteri anda dahulu..

No comments:

Post a Comment