Thursday, June 28, 2012

Kerana Terlalu Banyak

Terlalu banyak yang bermain di fikiran.
Terlalu banyak yang terlayar di minda.
Terlalu banyak yang menguis-nguis reaksi separuh sedar.
Terlalu banyak yang mengganggu khayalan jiwa.
Terlalu banyak yang tak terungkap di bibir dengan nyata.

Hanya jari-jemari pantas merangkak-rangkak di atas papan kekunci.
Kenapa?
Aku tak pasti.
Sebab terlalu banyak yang terbuku dalam hati, semakin pantas pula aku meluahkan segala-galanya.
Sehingga diri sendiri turut keliru.
Apakah sebenarnya yang ingin aku luahkan?
Apakah yang sebenarnya ingin aku ungkapkan?
Yang mana satu ingin aku titipkan?

Semua yang tercurah,semata-mata ilham minda, cetusan rasa yang aku pendam.
Kerana semakin lama aku peram, semakin lara jiwa.
Mengapa ayat aku semakin berbunga-bunga?
Mungkin akibat ada sedikit melankolik yang menjajah,
Maka segalanya ingin bersastera,bersulam kata-kata.

Aku menulis dengan harapan terkurang beban di dada.
Agar aku mampu menghirup udara dengan selesa dan bahagia.
Ingin ku tinggalkan seketika masalah yang membadai jiwa.
Ingin aku biarkan ia hilang menyepi tanpa bersisa.
Ingin aku biarkan ia luput di alam maya.

Wahai diri,kuatlah.
Harap segalanya dipermudahkan selepas ini.
Insyaallah.

Tuesday, June 26, 2012

Alaa..chewmewl tak itteww?

Pernah jumpa perkataan yang macam ni?

-Alaa, arie nie itteww macam malash ciket.
-Ittew rashe itteww pewnat laa arie nie
-kat wuma ariew nie banyak kewje laa

Selalu?
Aku selalu jumpa. Banyak kali jumpa. Sampai kadang-kadang nak muntah pun ada.

Kenapa?
Sebab rasa macam pelik. Penat kepala nak decode ayat-ayat manusia advance ni.Tak boleh tulis ayat yang baik sikit ke? Penat sungguh cikgu kat sekolah ajar bahasa melayu. Bukan nak mengutuk sesiapa, tapi itu hakikat. Aku sebagai generasi yang jarak umur dengan generasi itteww-itteww-gewli-gewlerman minimumnya 5 tahun, rasa teramat tak selesa. Bukannya kata nak dengki bahawa mereka itu comel (sememangnya kebanyakan mereka itu perasan comel, itu hakikat), tapi cubalah menggunakan ayat yang elok. Aku tak tahulah manusia advance mana yang memulakan penularan wabak iteww-rashe-nak-muwntah-jew ni, tapi ketahuilah bahawa anda telah merosakkan bangsa sendiri? Masalah baru boleh menular, sama seperti yang berlaku semasa zaman-zaman batu dimana ayat-ayat ringkas dalam sms baru nak dimulakan, dimana pelajar sudah tidak  boleh membezakan antara bahasa akademik dan bahasa kasual. Semuanya disapu rata, macam sapu peanut butter atas roti, peanut dan butter nampak sama, walaupun mereka entiti yang berbeza.

Mereka mungkin boleh berdebat dengan aku, bahawa kadang-kadang kita akan menggunakan ejaan yang kasual, seperti cite (cerita), ko (kau), dan kalu (kalau), namun ia tidak jauh lari dari ejaan asal, dan bunyi pasarnya adalah sama. Bagi manusia advance ini, mereka pasti meng'encode' perkataan-perkataan ini menjadi chewter,kaw, kawlaw. Sesungguhnya, lidah aku sudah terbelit dan tergeliat untuk menyebut perkataan ini. Seriously. Mungkin ada yang mengatakan bahawa mereka boleh membezakan bahasa akademik dan bahasa kasual, tapi, tidak semua, bukan? Semakin ramai yang menggunakan bahasa pelik ini, semakin menular penggunaannya, semakin meluaslah kesannya kepada generasi-generasi suci yang belum tercemar dengan kemodenan bahasa ini.

Mungkin akan ada yang mengatakan bahawa aku ni generasi makcik-makcik. Ya, aku akui, kadangkala aku agak makcik-makcik sikit, sebab aku dikelilingi dengan generasi yang konservatif. Generasi konservatif yang masih lagi mengagungkan ciri-ciri tradisional. Mereka mungkin melabelkan aku ni orang yang tidak mengikut arus perubahan. Namun, sedarlah wahai manusia advance, cara penulisan kadangkala melambangkan kematangan dan mencerminkan peribadi. Sesungguhnya penulisan itu yang menyambungkan jurang generasi. Jika generasi advance ini menulis dengan gaya sedemikian rupa, kasihanlah kepada generasi makcik-makcik ini. Letih dan jenuh kami nak memahami penulisan kamu-kamu semua. Jadi,semakin lebarlah jurang generasi.

Oleh itu, wahai adik-adik, cubalah kurangkan cara penulisan pelik kamu itu. Bukanlah aku nak menjatuhkan kamu semua, tapi hendak mengingatkan kamu. Takut-takut nanti adik-adik yang tergolong dalam generasi advance ini terlupa akar umbi bahasa itu sendiri. Jika dilihat dari bahasa Inggeris mahupun bahasa lain, jarang sekali mereka menggunaka ayat-ayat yang kurang difahami, kecuali slanga-slanga internet yang meringkaskan setiap ayat menggunakan huruf pertama setiap perkataan. Itu sahaja. Penambahan huruf-huruf yang tidak relevan dalam penulisan hanya mencacatkan ayat itu sendiri, menimbuskan keindahan bahasa di dalam debu-debu kemodenan seperti yang dicanang-canang oleh generasi advance ini. Dan seperkara lagi, mengikut arus perubahan bukannya dengan cara penulisan pelik ini, mengikut arus perubahan adalah memastikan setiap perkara yang ditulis itu relevan dengan perubahan zaman, selain tidak mencacatkan keindahan bahasa itu sendiri.

Monday, June 25, 2012

Terima Kasih, Emak

24 Jun 1988,
7.30 malam. Kg Seri Jaya, Johor Bahru
Emak terasa macam nak bersalin. Padahal usia kandungan baru 7 bulan. Eh,pelik? Mengandung kali ni adalah yang paling mencabar. Abah terpaksa di transfer ke kem Terendak, Melaka. Mak pula tak nak ikut, nak duduk kat Johor, besarkan anak. Yang ada di rumah, angah, berumur 3 tahun. Bermula dari awal kandungan, emak dah mula-mula mabuk,sampai sekarang. Agak berbeza dari 3 kandungan yang sebelumnya. Mengidam pun semua makanan yang pelik-pelik. Bertambah sukar sebab abah tiada di sisi, terpaksa la emak mengadu pada kawan baiknya, Mak Cik Sal yang bersusah payah tolong carikan semua makanan yang mak teringin nak makan.

10.30mlm, Kg Seri Jaya, Johor Bahru
Abah tiba dari Melaka, dengan motor vespanya. Abah cakap, dia rasa tak sedap hati hari tu, macam nak balik rumah saja. Lepas habis duty, abah terus naik motor secara senyap-senyap balik ke Johor Bahru. Sampai di rumah, emak mengadu sakit perut. Terus abah bawak pergi hospital.

11.30malam,Pantai Lido, depan Hospital Sultanah Aminah
Emak resah, abah termenung. Memandang selat dengan pandangan sepi,sambil ditemani deruan ombak dan tiupan angin selat yang sepoi-sepoi bahasa. Masing-masing terdiam dan termangu. Masih terngiang-ngiang kata-kata doktor selepas pemeriksaan tadi.
" Harapan hanya 50%-50%. Anak awak ni sonsang dan tak cukup bulan. Mungkin akan terlalu banyak komplikasi. Nampaknya dia akan tersekat di tulang pelvis dan sukar untuk dilahirkan. Saya tak jamin dia akan dilahirkan sihat. Bersedia untuk kemungkinan yang buruk"

 Akhirnya emak bersuara:
" Saya yakin anak ini akan lahir, saya yakin dia akan hidup dengan sihat"

25 Jun 1988,
2.30pg, HSA
Emak dibawa masuk ke dalam bilik bersalin selepas tanda-tanda untuk bersalin semakin ketara. Dalam hati emak berdoa agar semuanya baik-baik sahaja.

3.30 pg, Bilik bersalin HSA.
Emak sudah terasa sakit untuk melahirkan. Air ketuban sudah mula pecah, dan keluar dengan banyaknya. Sudah tiba masanya untuk bayi melihat dunia. Emak mula bimbang, mampukah dia? Proses melahirkan amat sukar. memang benar kata doktor, bayi ini tersekat di tulang pelvis, secara melintang! Terpaksa doktor 'menyeluk' tangannya demi membetulkan kedudukan bayi. Bermacam-macam alatan digunakan untuk menyelamatkan nyawa,ibu dan bayi. Yang macam sudip ada, yang macam senduk pun ada. Emaklah yang paling banyak berkorban selama proses itu, bagaikan seekor ayam yang disiang. namun, emak tetap yakin,
Anak aku akan lahir dengan sempurna

7.15 pg, Bilik bersalin HSA.
Setelah berhempas pulas, bayi pun dilahirkan, namun masih berada di dalam 'sarung'. Doktor terpaksa mengguntingkan sarung itu untuk mengeluarkan bayi. Bayi terus dimasukkan ke unit rawatan rapi. Abah terus pulang ke Melaka pagi itu, dan memohon emergency leave/paternity leave, dan terus pulang ke Johor Bahru semula.

3.00ptg, wad kanak-kanak HSA
Emak dan abah pergi melawat bayi mereka. Emak fikir mungkin anaknya ditempatkan didalam incubator, namun tiada. Setelah bertanya kepada doktor, anaknya ditempatkan didalam sebuah baby coat. Alhamdulillah. Doktor turut kagum, kerana bayi ini mampu bernafas sendiri, tiada komplikasi, walaupun jangkaan awal bayi itu tidak mampu untuk menempuh hidup hingga matahari berada di atas kepala. Berat, hanya 1.7 kg, kepala sebesar penumbuk orang dewasa,  tapak kaki hanya sebesar ibu jari orang dewasa. Sangat kecil.

2 Julai 2012
Akhirnya emak dan abah membawa pulang bayi mereka. Emak terpaksa meminta bantuan nenek, sebab takut anaknya akan tercicir, kerana saiz yang terlalu kecil. Sesampai dirumah, angah bertanya kepada emak,
Ni anak monyet ke?

Cis,sungguh tak sayang mulut! Sudah lumrah bagi bayi yang tak cukup bulan, badan mereka akan dipenuhi bulu. Emak hanya tersenyum.

bukan, ni adik.

Selama sebulan selepas kelahiran, seorang misi telah ditugaskan untuk ke rumah emak setiap pagi dan petang, untuk memantau keadaan dan memandikan bayi, serta memberi ubat. Setiap minggu selama 3 tahun, emak terpaksa merujuk bayinya itu ke klinik. Walaupun setahun kemudian emak melahirkan seorang bayi lelaki, terpaksa juga emak ke klinik membawa dua orang anaknya bersama-sama menjalani pemeriksaan rutin.

2 tahun kemudian
Emak risau, anaknya tidak lagi pandai bercakap dan berjalan. Menangis pun agak jarang. Bisukah dia? Cacatkah dia? Emak yakin anaknya itu normal, tiada masalah. Kadang-kadang, akan dicubit anaknya itu, semata-mata kerana ingin mendengar tangisannya. Namun, selalunya, ia hanya seketika. Setiap pagi, emak akan membawa anaknya bertatih diatas rumput yang basah dek embun pagi, supaya saraf kaki anaknya itu sihat. Setiap hari dan setiap masa, akan diajar anaknya itu berkata-kata, supaya perkembangan minda anaknya tidak terbatas.

25 Jun 2012
Sudah 24 tahun emak melahirkan anaknya yang tidak cukup bulan. Keyakinan emak yang pertama menyebabkan lahirnya anak itu. Kerana emak, anak itu membesar dengan sempurna. Kerana emak, anak itu seorang atlit bola baling, bola jaring, futsal, lompat tinggi, lompat jauh, lontar peluru, pelari pecut dan pelari jarak jauh. Kerana usaha emak, anak itu petah berbahas dan berpidato, mewakili sekolah dalam pelbagai acara. Kerana emak, anaknya itu sudah berjaya di menara gading, dan sudah bekerjaya. Kerana emak, anaknya membesar dengan sihat, dari ketinggian hanyalah 15cm, telah menjadi 167cm. Kerana emak, aku boleh bernafas dan bersyukur hingga hari ini.

Terima kasih, emak...

Thursday, June 21, 2012

Mencari-cari cebisan Mood yang bersepah

Sejak akhir-akhir ni, aku sering terkena penyakit tak ada mood. Aku tak tahu ke mana perginya mood aku tu, mungkin pergi melancong, pergi berehat, pergi berjalan-jalan, ataupun mungkin pergi berhijrah. Yang pasti, mood tersebut tak ada bersama aku. Susah juga kalau tak ada mood ni, sebab semua perkara yang nak dibuat, tak menjadi. Walau pun puas jenuh pergi mengkorek, menyeru, mahupun memuja mood tersebut, masih juga tak datang. Mungkin dia dah lupa nama dia Mood? Ataupun dia dah jumpa tuan lain? Eh, dah macam kucing la pulak.

Mood ni ada kaitan dengan kehendak hati. Jika dalam hati macam dah tawar rabak, macam tak letak garam langsung, memang la tak mampu nak buat apa. Walaupun kita cuba letakkan sekapal gula pun, tawar tetap tawar. Sebab yang ada hanya manis, yang masin tu tak ada. Rencah kehidupan dah berkurang satu bahan. Itu hakikat.

Bila tak ada mood, segala perkara yang kita buat tak akan menjadi. Walaupun apa yang terjadi, ia tetap tak menjadi walaupun ia menjadi jadi-jadian sekalipun. Oleh itu, takkan nak biarkan semua kerja terbengkalai, tak siap & peluang untuk dimarahi pihak atasan mencanak naik? Oleh itu, perlu  lah cari jalan penyelesaian dengan sendiri.

Semua orang ada perkara yang menggembirakan atau perkara yang dia suka buat kan? Oleh itu, jika korang suka memasak, pergilah masak. Jika korang suka layan cerita korea, pergilah menangis bersama abang-abang hensem korea yang baru ditinggalkan sang kekasih. Sekurang-kurangnya, walaupun mood untuk perkara lain dah tak ada, masih lagi terisi masa kosong kita, ya tak? Tak adalah mati kebosanan. Kalau aku, aku suka berkebun & cuci kereta. Tak kira la penat sebab pergi tebang pokok pisang, letih sebab meracun rumput, ataupun mengah sebab cuci kereta selama 2 jam, asalkan dapat menarik perhatian kita, dan hati terasa lebih ringan dan senang.  Tak ada orang yang cuci kereta sambil meleleh air mata kalau cuci kereta itu adalah kehendah dia sendiri. Lepas kepenatan, conform tidur malamnya lebih lena, sebab dah penat, terus hilang ingatan terhadap mood yang hilang.

Untuk diikat kembali mood yang dah bersepah ditiup angin mahupun ribut taufan, kadang-kadang ia memerlukan masa yang lama, kena tunggu sehingga 'garam' dalam kehidupan tu diisi semula. Oleh tiu, kita sendiri seharusnya pergi mencari garam tersebut. Kalau nak tunggu je 'garam' tu jatuh dari langit, alamatnya sampai kiamat pun mood tu memang tak akan datang. Cubalah untuk tidak mengikut sangat perasaan kurang mood itu. Cuba sesuatu yang baru, jika tidak pun, cuba untuk buat perkara lama yang diperbaharui.

Oleh itu, jika sesiapa rasa hidupnya sudah tawar, marilah kita sama-sama pergi ke laut, supaya dapat memasinkan diri dengan air laut. Nak mandi laut ke, nak guling-guling atas pasir pantai ke, nak berlari-lari macam heroin hindustan sambil main ombak ke, ataupun nak buat penggambaraan Ombak Rinduan V2, pun tak apa. Kalau dah alang-alang ke laut tu, campakkan semua rasa tawar itu dalam laut, supaya ia boleh menjadi masin~

*tak ada mood tak semestinya pergi laut sahaja, banyak tempat lain boleh pergi.Tepuk dada,tanya poket, ada duit nak pergi mana?Hahaha.*

Saturday, June 16, 2012

Kucing-kucing Acrylic di atas Kanvas Empat Segi

Hujung minggu yang lepas, aku telah dikehendaki memandu ke Kuala Lumpur, kota rakus untuk mengambil adik aku pulang dari kursus. Walaupun penat, tapi digagahkan juga tubuh kerempeng aku ni untuk memandu pergi dan balik. Oleh kerana aku seorang yang memandu, aku mengambil keputusan untuk bermalam di rumah sepupu aku yang terletak di Gombak. Ye la, jika aku memandu pergi dan balik dalam masa sehari, kemungkinan besar aku akan tersadai di mana-mana kawasan R&R di sepanjang lebuhraya PLUS.
Setibanya aku di rumah mereka berdua di Gombak, aku dijemput masuk oleh lukisan kucing yang besar ni!Kalau dilihat betul-betul, akan kelihatan kekucing yg melambangkan setiap negeri di Malaysia.(Lukisan sempena 50 Tahun Kemerdekaan)
Malam sabtu, aku bermalam di rumah sepupu aku, Abg Eddy. Isterinya, kak Jaja, adalah seorang insan yang mempuyai jari-jemari seni yang mampu mempotretkan haiwan jinak berbulu yang dipanggil kucing dengan kreatifnya. Kak Jaja merupakan anak sulung kepada pelukis Yusof Gajah dan Zakiah Mohd Isa (peminat seni lukisan sememangnya mengenali ikon ini), jadi, mana tak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi? Tak semua orang mampu nak melukis, lebih-lebih lagi dengan kreatif dan seninya (aku suka juga nak melukis, tapi lukis cakar ayam versi suka hati aku je lah). Mungkin ramai yang mempunyai imaginasi, namun untuk menggambarkannya di atas kanvas beserta calitan acrylic, hanya mereka yang terpilih sahaja mampu.
Kucing ni terjun dalam air tau~ Kombinasi warna merah dan biru menaikkan seri si kucing

Kak Jaja memang dah lama mula melukis, sejak dari usia muda lagi. Rumahnya yang dipenuhi dengan potret-potret acrylic kucing menunjukkan minat beliau memang bukan sekadar minat budak-budak kecil yang hanya leka menconteng dinding dengan krayon sehingga menaikkan kemarahan ibu bapa, minat dan kreativiti Kak Jaja ini merupakan minat yang diambil serius. Ia kelihatan mudah untuk dilukis, namun jika tidak punya kreativiti, kemungkinan besar gambar si kucing akan menjadi gambar makhluk asing yang berasal dari pusaran galaksi ke-144 yang tak terpandang dek mata kasar, hodoh! Jadi, jangan sesekali mengambil mudah perkara yang ternyata tidak mudah.

Jika mahu tahu apakah yang digambarkan oleh lukisan ini, sila bertanya kpd Kak Jaja.Hihihi..


Kesemua calitan acrylic ini menggunakan warna-warna yang terang dan menarik, Ia mampu membuatkan minda separa sedar kita menjadi tertarik kepada lukisan-lukisan ini, seterusnya memberi ketenangan (Sememangnya warna-warna terang memang akan menarik perhatian).  Lupakan sebentar kepada lukisan kucing ala-ala gebu dan eksotik (macam kucing parsi, kucing bengal, kucing siam, mahupun kucing firaun), kerana lukisan kak Jaja ini lebih menjurus kepada lukisan sang kucing yang dalam keadaan santai. Tak perlulah terlalu rigid bahawa lukisan kucing ini perlu dilukis agar kelihatan seperti kucing yang hidup. Sesekali merubah persepsi manusia bahawa kucing ini haiwan boleh diolah menjadi kreatif, tak salah juga rasanya.
Kau fikir manusia je yg suka duduk kat cafe?
Kekucing bersantai di taman.

Pencinta kucing tak semestiya perlu membela kucing berpuluh-puluh ekor. Ada kalanya keadaan tidak mengizinkan, seperti ruang kediaman yang terhad dan masalah kesihatan (seperti lelah dan semput). Oleh itu, mengabdikan potert si manja pun sudah memadai untuk menggambarkan minat kita terhadap kucing, sebab tiada orang yang akan menggantungkan gambar lipas di rumah jika mereka geli dengan lipas. Sekurang-kurangnya, dengan melihat lukisan-lukisan ini, ia dapat memberikan ketenangan dan kegembiraan dalam diri kita.
My personal favourite, suka dgn gambar ni.


Aku pulang ke Johor Bahru keesokan harinya. Kak Jaja tidak lupa untuk memberikan buah tangan, iaitu gambar si kucing yang comel (terlupa nak ambil gambar).Oleh kerana keluarga aku memang peminat kucing tegar, maka lukisan tersebut dengan bangganya dipamerkan setaraf dengan gambar graduasi aku (Hebat tak?). Oleh itu, jika ada sesiapa yang berminat untuk melihat potret-potret ini, atau ingin bertemu dengan sang empunya diri, silalah pergi ke akaun facebook Kak Jaja.