Zaman moden sebegini, semakin ramai umat manusia, terutamanya wanita yang takut tua. Terlalu takut timbulnya kedutan diwajah dan kulit. Macam-macam yang mereka lakukan, sama ada melalui perubatan moden, dan juga secara tradisional. Ada yang pakai botox, cucuk vitamin, pembedahan plastic, minta penaik seri dari mana-mana tok bomoh yang berpotensi, dan tak lupa juga susuk. Proses penuaan juga bukan setakat bertambahnya jumlah kedutan di kulit, tapi juga meningkatnya risiko penyakit ‘orang kaya’, iaitu seperti sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi (Kaya dengan gula dan kolestrol) dan menurunnya kualiti kesihatan kita.
Sebenarnya, proses penuaan tu proses yang semulajadi. Ia memang tidak boleh dihalang, walau dengan apa cara sekalipun. Sebagai bukti, umur kita semakin hari, semakin meningkat, dan kita pasti tak boleh ‘rewind’ kembali hari yang telah berlalu semalam. Menafikan proses penuaan sudah sama seperti melawan hukum Allah S.W.T. tetapi, kita sebagai manusia, kita boleh melambatkan proses itu. Melambatkan bukan dengan cara melambatkan setiap saat yang berlalu, tapi melambatkan proses timbulnya kedutan-kedutan halus di wajah, dan juga meningkatkan tahap kesihatan. Bukan dengan cara yang pelik-pelik, tetapi dengan menjaga pemakanan kita. Rasulullah S.A.W menjaga pemakanannya, dan memang tidak boleh dinafikan Rasulullah merupakan ‘role model’ dan ikon awet muda sepanjang zaman, kerana baginda tidak pernah jatuh sakit.
Ada yang berpendapat, mengambil supplement tambahan yang sangat membanggakan diri, seperti jus ajaib ‘MonaVie’ (Aku baru lepas baca blog yang mengondem jus ni) sudah mampu menampung jumlah vitamin seharian. Tapi, yang sebenarnya, lebih afdal sekiranya kita makan makanan itu secara terus, bukan melalui supplement yang kadangkala lebih banyak menjadi pengusaha tebu yang berjaya (tanam tebu di pinggir bibir). Namun, jika ia sukar untuk didapati, hanya makanan tambahan yang dapat membantu. Menurut laman web Shine, ada 7 jenis makanan yang boleh membantu membekalkan vitamin seharian.
1. Blueberry
Blueberry memang dipercayai agen anti oksida yang baik. Memang sukar untuk mendapatkan blueberry di Malaysia ni, disebabkan kita tak boleh nak tanam pokok beri kat belakang rumah kita, sebagaimana pokok cermai. Tapi, ia boleh didapai di supermarket, market, dan juga kedai-kedai runcit yang advance. Menurut kajian, ia mampu mengurangkan risiko kita menhidapi penyakit yang berbahaya dan juga hilang ingatan (nyanyuk, pelupa). Buah beri juga mempunyai serat yang tinggi, justeru mampu membantu memudahkan system penghadaman, dan dapat membantu mengawal berat badan. Cara pengambilan- makan buah beri secawan, 3 kali seminggu. Jika tak mampu, beli je jus Marigold Peel Fresh kat mana-mana kedai, pun boleh juga.
2. Ikan Salmon
Ikan salmon merupakan makanan yang mempunyai omega-3, yang boleh membantu mengurangkan risiko sakit jantung dan boleh mengekalkan keremajaan kulit. Hanya 85 gram ikan salmon sudah boleh membekalkan sehingga 170% jumlah vitamin B12 dan 80% vitamin D yang diperlukan dalam sehari. Orang jepun memang terkenal dengan umur yang panjang dan mempunyai kulit yang cantik, disebabkan mereka menjadikan salmon sebagai makanan rutin mereka, iaitu sushi dan sashimi. Disebabkan salmon bukanlah ikan yang mudah didapati di pasar-pasar borong basah Malaysia, melainkan di restoran makanan jepun, makanya amat mustahil untuk memakannya secara kerap, lain la jika kita penyumbang keuntungan kepada restoran jepun dengan duit gaji yang tidak akan habis. Jadi, kita boleh mengambil Scott’s Emulsion, tidak pun, pil/kapsul minyak ikan kod yang boleh didapati di farmasi.
3. Kekacang
‘Nuts prevent people going nuts’. Aku suka dengan ayat ni. Memang benar. Ia mampu membantu kita dari bingung memikirkan penyakit kronik. Kekacang merupakan sumber vitamin B & E, magnesium dan protein yang penting. Jika dilihat dari pyramid makanan, kekacang merupakan makanan yang perlu diambil seharian. Kekacang membantu memerangi penyakit jantung dan juga kanser. Walaupun ia mengandungi kandungan lemak yang tinggi, tapi ia merupakan lemak yang tidak memudaratkan kesihatan jantung. Jumlah yang perlu diambil- 5 genggam kekacang dalam seminggu, 15-20 biji almond, gajus, dan badam. Tidak lupa juga kacang tanah, kacang parang, kacang kuda, dan adik beradik kekacang yang lain, dan pastikan ia dimasak dengan cara yang sihat.
4. Sayuran berdaun hijau
Sayuran hijau amat penting dalam kehidupan kita. Ia merupakan ‘lombong’ nutrient, di mana kebanyakan nutrient seharian yang diperlukan berasal dari sayuran. Sayuran hijau, seperti sawi, bayam dan kangkung, memngandungi serat yang tinggi, vitamin C dan K, asid folik (melindungi jantung dan ingatan, dan masalah kelahiran), lutein (membantu menajamkan penglihatan), kalsium, magnesium, zat besi dan potassium. Sayuran juga mempunyai vitamin A, yang mampu melambatkan proses bertambahnya jumlah kedutan di wajah, dimana ia membolehkan sel-sel kulit sentiasa lembut. Aku teringat dengan nasihat orang tua-tua 'Jangan lupa makan sayur & ulam-ulaman'. Arwah nenek aku dulu antara pengamal sayur & ulam. Kulit dia, memang la cantik, lembut, kalah kulit orang muda.
5. Bijiran penuh
Bijiran penuh, seperti gandum dan oat, mengandungi sehingga 96% serat, magnesium, zink, chromium, vitamin E dan B6 berbanding bijirin biasa. Bijirin penuh membantu melawan masalah jantung, kanser, kencing manis, darah tinggi dan juga masalah kegemukan. Menurut pyramid makanan, kita memerlukan 6 hidangan bijirin penuh setiap hari. Satu hidangan bersamaan dengan sekeping roti gandum penuh (roti yang ada habuk-habuk), setengah gelas bijirin yang setengah masak (seperti beras perang), ataupun secawan bijirin penuh seperti corn flakes. Quaker Oat dan Nestum juga merupakan contoh bijirin penuh yang mudah didapati, dan juga mudah disediakan. Abah aku antara pengamal Quaker's Oat. Abah ada penyakit jantung, dan alhamdulillah, tahap kolestrol dia memang betul-betul turun.
6. Sayuran berwarna kuning/oren
Sayuran jenis ini, seperti karot dan keledek manis (yang warna oren) mempunyai serat yang tinggi, dan satu hidangan sayuran ini membekalkan 5 kali lebih banyak beta karotin yang diperlukan dalam sehari. Ia mampu merendahkan risiko kanser, membantu mengelakkan jangkitan selsema dan penyakit berjangkit, dan juga melindungi kulit dari kerosakan akibat sinaran cahaya matahari. Potassium yang terkandung di dalam sayuran ni mampu menurunkan tekanan darah, dan menstabilkan degupan jantung. Jadi, rajin-rajinlah makan keledek manis dan karot, jika tidak pun, sayuran yang berwarna oren yang lain. kalau malas sangat nak masak, pergi je la beli kat gerai pisang goreng petang-petang, mintak keledek goreng RM1..
7. Yogurt
Sama ada yang plain atau yang rendah lemak, yogurt merupakan sumner vitamin B, kalsium dan protein. Ia mengandungi kultur aktif yang membantu system penghadaman, dan juga membantu melawan bakteria yang boleh menyebabkan penyakit. Yogurt ni mudah untuk didapati di pasaran, sama ada yang jenis pure yogurt mahu pun minuman. Kalau rasa tak nak makan, sapu je kat rambut, boleh jadi lembut, ala-ala rambut heroin hindustan gitu~
Ada pelbagai lagi makanan yang boleh membantu kesihatan. untuk maklumat lanjut, pergilah cari kat Laman web Yahoo Shine, tak pun, google je la kat mana-mana. Selamat beramal~
"Blueberry memang dipercayai agen anti oksida yang baik"
ReplyDeleteI know,, right? Ni yang buat saya lagi suke isap rokok perisa blueberry.. :D
wow menarik mengenai makanan yang membantu melambatkan proses penuaan. thank you share mengenai info ini
ReplyDelete