Sunday, July 22, 2012

Al-Fatihah buat nenekku

-Al-Fatihah-

Hari ni genap setahun pemergian nenek aku, Meriam binti Salleh ketika berumur 82 tahun, setelah 3 tahun menghidap angin ahmar. Selama 3 tahun juga aku merasa menjaga makan pakai nenek. Teringat bagaimana nenek cuba mengesot pergi ke bilik air sendiri untuk buang air kerana malu dengan cucu-cucunya.

Selama hayatnya semasa nenek masih sihat, nenek lebih gemar hidup sendirian di rumahya yang terletak di Bukit Tekedai, Endau, Mersing. Halaman rumah nenek memang sentiasa bersih, dan pokok-pokok sentiasa di jaga rapi. Nenek akan meracun rumput dan lalang yang tumbuh di halaman rumahya, tidak perlu menunggu kami pulang untuk melakukan semua itu. Nenek memang tidak gemar meyusahkan anak-anak dan cucu-cucunya.

Setiap kali balik ke kampung halaman, nenek akan sentiasa sediakan makanan untuk cucu-cucunya. Nenek akan pastikan bekalan bahulu sebanyak 3 bungkus khas untuk aku seorang akan disediakan. Nenek akan berasa bangga setiap kali kami pulang ke kampung, dan pasti akan sibuk menjawab soalan yang diajukan orang-orang kampung mengenai kami, selain sibuk mengajak kami menziarahi saudara-mara yag lain.

Aku masih ingat, sepanjang hayat aku, tidak pernah aku menyambut hari raya yang pertama di kampung. Abah dah tetapkan bahawa malam raya dan raya pertama, kami perlu raikannya di Johor Bahru, kampung halaman abah, walaupun setelah ketiadaan Tok Bak dan nenek. Namun, nenek tidak pernah sekalipun menunjukkan ketidakpuasan hati. Baginya, jika kami pulang walaupun pada hari raya yang kedua pun, ia telah memadai.

Aku masih teringat bagaimana nenek mempertahankan aku dari penyamun yang merompak rumah nenek. Walaupun penyamun itu sudah meletakkan pisau di leher nenek, nenek tetap tak berputus asa menjerit meminta tolong, walaupun pada waktu itu kawasan sekeliling rumah nenek memang tiada berpenghuni. Alhamdulillah, walaupun aku kehilangan handphone pada malam itu, kerana nenek, aku terselamat dari perkara yang tak diingini.

Tepat 2 Ramadhan 1432, jam 7.45mlm, dikala umat islam yang lain sibuk menjamu juadah untuk hari puasa yang pertama, nenek pergi meninggalkan dunia yang fana. Masih terlayar di fikiran di saat nenek menghembuskan nafas terakhirnya. Semoga nenek ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang beriman dan dirahmati rohnya. Amin.

Tuesday, July 17, 2012

Tiada yang Kedua

Sambil buat kerja waktu petang,ditemani rintik-rintik hujan yang turun membasahi bumi, tiba-tiba playlist memainkan lagu ini.

Khafi- Tiada Yang Kedua

Haruskah aku menerima
Kasihmu yang baru menguntum bunga
Jangan hanya indah di mata
Jangan disiakan madah cinta

Namun bintang bukannya satu
Kerdipan hatiku ingin kau buru
Andainya kau kehampaan
Jangan aku yang jadi alasan

Ku fikir kau teman biasa
Tidak akan berputik cinta
Mungkin jua belum menjelma

Aku tak sanggup dikecewa
Cinta ku satu untuk selamanya
Aku pencinta yang setia
Mustahil ada yang kedua

Ku fikir kau teman biasa
Tidak akan berputik cinta
Mungkin jua belum menjelma

Aku tak sanggup dikecewa
Cinta ku satu untuk selamanya
Aku pencinta yang setia
Mustahil ada yang kedua

Aku tak sanggup dikecewa
Cinta ku satu untuk selamanya
Aku pencinta yang setia
Mustahil ada yang kedua

Yang Kedua…
Tiada Yang kedua…


Aku rasa seperti sedang mendengar seseorang berkata-kata, seperti berbual dengan aku. Seseorang yang mengungkapkan ayat ini.

Ia mengingatkan aku tentang sesuatu.

Hakikat.


Sunday, July 15, 2012

Ramadhan bakal tiba lagi

Ramadhan bakal tiba tak lama lagi, Insyaallah, jika masih diberi peluang menghirup nafas untuk menyambutnya pada 21 Julai 2012. Rasa macam cepat masa berlalu. Pejam celik,dah jumpa Ramadhan yang baru. Sudah semestinya, jika cakap pasal puasa, mesti akan cakap pasal makanan, ye tak? Tradisi bagi orang Malaysia ni, beli makanan kat bazar ramadhan. Makanan yang dijual, beraneka jenis, macam-macam variasi, sampai pengguna pun dah rambang perut (Yelah, rasanya semua nampak sedap, walaupun yang sebenarnya makanan tu kurang sedap). Iklan pasal kordial warna oren, ungu, merah, pink semua dah terpampang kat TV. Tidak ketinggalan juga iklan kurma Yusuf Taiyoob (Sila sebut macam dalam iklan, kena bisik-bisik sikit.)

Jika tiba Ramadhan, perkara yang paling yang selalu dibuat adalah pembaziran. Beli makanan sepenuh meja makan, tapi akhirnya yang dimakan sikit sahaja. Biasa terjadi, bukan? Tak salah jika nak beli bermacam-macam makanan, tapi sebelum tu, tanya dulu pada perut, sama ada larat makan atau tidak, bukannya tanya rasa-rasanya sedap atau tidak? Sebab kalau tanya pasal sedap, bila bulan puasa, semua nampak sedap kalah lauk hotel berjuta-juta bintang.

Mari tengok video Kelakar Raya - Haram, kecoh kecoh raya waktu berbuka  oleh Suhaimi Yusof & The Rubberband:

*Suhaimi Yusof ni adalah pelawak terkenal Singapura. Sebelum dia masuk Maharaja Lawak lagi memang aku dah kenal dia (Orang Johor Bahru dapat siaran tv Singapore, jadi memang hairan la orang JB kenal Aaron Aziz lagi lama bertahun-tahun dari orang KL). Setiap kali akhir rancangan ni, pasti ada ustaz yang akan terangkan situasi yang berlaku, siap cakap mana satu yang betul dan mana yang salah. Ia merupakan sesuatu yang berkisar tentang situasi semasa yang berlaku pada hari ini, cuma ia diterjemahkan dalam bentuk sketsa. Ia bukan lah untuk mempermainkan agama, tetapi ingin memberi peringatan dan penerangan kepada manusia yang lalai.*

Dalam video ini, dipertontonkan persoalan yang selalu timbul tika ramadhan dan persoalan tentang dari mana asalnya makanan yang kita makan setiap hari.

Ni antara ayat yang paling aku suka:
ini ini ini rambutan ke ape? pokok die jenis ape.? kenapa rambut die tak tumbuh sepenuhnya? kalau belum sempurna maknenya cacat...kita makan benda yang cacat...KITA PUNYA KEROHANIAN NYA AKAN CACCAT..!!!
Walaupun dia tegur dalam nada yang tidak serius, tapi sebenarnya ada betulnya. Kadang-kadang, kita tak pastikan sama ada makanan yang kita makan tu, benar-benar halal atau tidak? Dari mana asal makanan itu? Kadang-kadang, kita beli makanan walaupun bertanda halal, tapi copnya bukan seperti yang dikeluarkan oleh JAKIM atau badan-badan Islam di negara lain.

Oleh itu, terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk menilai mana yang baik dan buruk. Garis panduan telah ada, hanya bergantung kepada kita sama ada untuk mengikutinya atau tidak. Semoga ramadhan kali ini mampu memberi sinar dalam kehidupan. Selamat menyambut kehadiran Ramadhan Al-Mubarak , dan semoga kehidupan akan sentiasi dilimpahi keberkatan dan rahmat hendaknya.

Thursday, June 28, 2012

Kerana Terlalu Banyak

Terlalu banyak yang bermain di fikiran.
Terlalu banyak yang terlayar di minda.
Terlalu banyak yang menguis-nguis reaksi separuh sedar.
Terlalu banyak yang mengganggu khayalan jiwa.
Terlalu banyak yang tak terungkap di bibir dengan nyata.

Hanya jari-jemari pantas merangkak-rangkak di atas papan kekunci.
Kenapa?
Aku tak pasti.
Sebab terlalu banyak yang terbuku dalam hati, semakin pantas pula aku meluahkan segala-galanya.
Sehingga diri sendiri turut keliru.
Apakah sebenarnya yang ingin aku luahkan?
Apakah yang sebenarnya ingin aku ungkapkan?
Yang mana satu ingin aku titipkan?

Semua yang tercurah,semata-mata ilham minda, cetusan rasa yang aku pendam.
Kerana semakin lama aku peram, semakin lara jiwa.
Mengapa ayat aku semakin berbunga-bunga?
Mungkin akibat ada sedikit melankolik yang menjajah,
Maka segalanya ingin bersastera,bersulam kata-kata.

Aku menulis dengan harapan terkurang beban di dada.
Agar aku mampu menghirup udara dengan selesa dan bahagia.
Ingin ku tinggalkan seketika masalah yang membadai jiwa.
Ingin aku biarkan ia hilang menyepi tanpa bersisa.
Ingin aku biarkan ia luput di alam maya.

Wahai diri,kuatlah.
Harap segalanya dipermudahkan selepas ini.
Insyaallah.

Tuesday, June 26, 2012

Alaa..chewmewl tak itteww?

Pernah jumpa perkataan yang macam ni?

-Alaa, arie nie itteww macam malash ciket.
-Ittew rashe itteww pewnat laa arie nie
-kat wuma ariew nie banyak kewje laa

Selalu?
Aku selalu jumpa. Banyak kali jumpa. Sampai kadang-kadang nak muntah pun ada.

Kenapa?
Sebab rasa macam pelik. Penat kepala nak decode ayat-ayat manusia advance ni.Tak boleh tulis ayat yang baik sikit ke? Penat sungguh cikgu kat sekolah ajar bahasa melayu. Bukan nak mengutuk sesiapa, tapi itu hakikat. Aku sebagai generasi yang jarak umur dengan generasi itteww-itteww-gewli-gewlerman minimumnya 5 tahun, rasa teramat tak selesa. Bukannya kata nak dengki bahawa mereka itu comel (sememangnya kebanyakan mereka itu perasan comel, itu hakikat), tapi cubalah menggunakan ayat yang elok. Aku tak tahulah manusia advance mana yang memulakan penularan wabak iteww-rashe-nak-muwntah-jew ni, tapi ketahuilah bahawa anda telah merosakkan bangsa sendiri? Masalah baru boleh menular, sama seperti yang berlaku semasa zaman-zaman batu dimana ayat-ayat ringkas dalam sms baru nak dimulakan, dimana pelajar sudah tidak  boleh membezakan antara bahasa akademik dan bahasa kasual. Semuanya disapu rata, macam sapu peanut butter atas roti, peanut dan butter nampak sama, walaupun mereka entiti yang berbeza.

Mereka mungkin boleh berdebat dengan aku, bahawa kadang-kadang kita akan menggunakan ejaan yang kasual, seperti cite (cerita), ko (kau), dan kalu (kalau), namun ia tidak jauh lari dari ejaan asal, dan bunyi pasarnya adalah sama. Bagi manusia advance ini, mereka pasti meng'encode' perkataan-perkataan ini menjadi chewter,kaw, kawlaw. Sesungguhnya, lidah aku sudah terbelit dan tergeliat untuk menyebut perkataan ini. Seriously. Mungkin ada yang mengatakan bahawa mereka boleh membezakan bahasa akademik dan bahasa kasual, tapi, tidak semua, bukan? Semakin ramai yang menggunakan bahasa pelik ini, semakin menular penggunaannya, semakin meluaslah kesannya kepada generasi-generasi suci yang belum tercemar dengan kemodenan bahasa ini.

Mungkin akan ada yang mengatakan bahawa aku ni generasi makcik-makcik. Ya, aku akui, kadangkala aku agak makcik-makcik sikit, sebab aku dikelilingi dengan generasi yang konservatif. Generasi konservatif yang masih lagi mengagungkan ciri-ciri tradisional. Mereka mungkin melabelkan aku ni orang yang tidak mengikut arus perubahan. Namun, sedarlah wahai manusia advance, cara penulisan kadangkala melambangkan kematangan dan mencerminkan peribadi. Sesungguhnya penulisan itu yang menyambungkan jurang generasi. Jika generasi advance ini menulis dengan gaya sedemikian rupa, kasihanlah kepada generasi makcik-makcik ini. Letih dan jenuh kami nak memahami penulisan kamu-kamu semua. Jadi,semakin lebarlah jurang generasi.

Oleh itu, wahai adik-adik, cubalah kurangkan cara penulisan pelik kamu itu. Bukanlah aku nak menjatuhkan kamu semua, tapi hendak mengingatkan kamu. Takut-takut nanti adik-adik yang tergolong dalam generasi advance ini terlupa akar umbi bahasa itu sendiri. Jika dilihat dari bahasa Inggeris mahupun bahasa lain, jarang sekali mereka menggunaka ayat-ayat yang kurang difahami, kecuali slanga-slanga internet yang meringkaskan setiap ayat menggunakan huruf pertama setiap perkataan. Itu sahaja. Penambahan huruf-huruf yang tidak relevan dalam penulisan hanya mencacatkan ayat itu sendiri, menimbuskan keindahan bahasa di dalam debu-debu kemodenan seperti yang dicanang-canang oleh generasi advance ini. Dan seperkara lagi, mengikut arus perubahan bukannya dengan cara penulisan pelik ini, mengikut arus perubahan adalah memastikan setiap perkara yang ditulis itu relevan dengan perubahan zaman, selain tidak mencacatkan keindahan bahasa itu sendiri.