-Al-Fatihah-
Hari ni genap setahun pemergian nenek aku, Meriam binti Salleh ketika berumur 82 tahun, setelah 3 tahun menghidap angin ahmar. Selama 3 tahun juga aku merasa menjaga makan pakai nenek. Teringat bagaimana nenek cuba mengesot pergi ke bilik air sendiri untuk buang air kerana malu dengan cucu-cucunya.
Selama hayatnya semasa nenek masih sihat, nenek lebih gemar hidup sendirian di rumahya yang terletak di Bukit Tekedai, Endau, Mersing. Halaman rumah nenek memang sentiasa bersih, dan pokok-pokok sentiasa di jaga rapi. Nenek akan meracun rumput dan lalang yang tumbuh di halaman rumahya, tidak perlu menunggu kami pulang untuk melakukan semua itu. Nenek memang tidak gemar meyusahkan anak-anak dan cucu-cucunya.
Setiap kali balik ke kampung halaman, nenek akan sentiasa sediakan makanan untuk cucu-cucunya. Nenek akan pastikan bekalan bahulu sebanyak 3 bungkus khas untuk aku seorang akan disediakan. Nenek akan berasa bangga setiap kali kami pulang ke kampung, dan pasti akan sibuk menjawab soalan yang diajukan orang-orang kampung mengenai kami, selain sibuk mengajak kami menziarahi saudara-mara yag lain.
Aku masih ingat, sepanjang hayat aku, tidak pernah aku menyambut hari raya yang pertama di kampung. Abah dah tetapkan bahawa malam raya dan raya pertama, kami perlu raikannya di Johor Bahru, kampung halaman abah, walaupun setelah ketiadaan Tok Bak dan nenek. Namun, nenek tidak pernah sekalipun menunjukkan ketidakpuasan hati. Baginya, jika kami pulang walaupun pada hari raya yang kedua pun, ia telah memadai.
Aku masih teringat bagaimana nenek mempertahankan aku dari penyamun yang merompak rumah nenek. Walaupun penyamun itu sudah meletakkan pisau di leher nenek, nenek tetap tak berputus asa menjerit meminta tolong, walaupun pada waktu itu kawasan sekeliling rumah nenek memang tiada berpenghuni. Alhamdulillah, walaupun aku kehilangan handphone pada malam itu, kerana nenek, aku terselamat dari perkara yang tak diingini.
Tepat 2 Ramadhan 1432, jam 7.45mlm, dikala umat islam yang lain sibuk menjamu juadah untuk hari puasa yang pertama, nenek pergi meninggalkan dunia yang fana. Masih terlayar di fikiran di saat nenek menghembuskan nafas terakhirnya. Semoga nenek ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang beriman dan dirahmati rohnya. Amin.