Sunday, January 19, 2014

Perkahwinan: Sudah cukupkah simpanan?

Kita berada di zaman dimana apabila anak menyuarakan hasrat untuk berkahwin, soalan yang ditanya oleh keluarga adalah:

" Dah cukup duit?" dan bukannya " dah cukup ilmu di dada?"

Itulah hakikatnya. Perkahwinan dilihat sebagai satu majlis yang perlu kelihatan gah. " Apa kata orang?" Itu yang sering dipersoalkan bila pengantin menginginkan majlis yang sederhana tanpa ramai jemputan, apabila pengantin menginginkan hanya majlis pernikahan yang ringkas tanpa pelamin, tanpa kompang, tanpa khemah. Dilihat pada hari ini, bagi mereka yang bernasib baik mempunyai ibu bapa yang mampu menanggung majlis perkahwinan mereka, sudah semestinya tidak punya masalah. Bagi mereka yang disebaliknya, sudah semestinya majlis perkahwinan mereka adalah hasil dari titik peluh mereka sendiri. Setiap sen yang dikeluarkan untuk majlis mereka adalah dari hasil upaya mereka sendiri. Tidak kira sama ada wang simpanan mahupun hasil pinjaman. 

Kadangkala, jumlah yang perlu dikeluarkan untuk satu majlis perkahwinan yang hanya berlangsung selama sehari memakan belanja hingga RM25000. Bagi mereka yang agak berkira tentang duit, pada aku jumlah itu agak mahal. Memang kita menginginkan sesuatu yang kelihatan gah di hari perkahwinan, namun kehidupan selepasnya itu yang lebih bermakna. Tiada guna jika majlis kelihatan gah, namun hari-hari dibebani hutang. 

Jika anak menginginkan majlis yang ringkas, iaitu hanya majlis pernikahan yang dihadiri saudara mara sahaja, maka akan ada kedengaran suara-suara tak enak di belakang, " Dah bunting ke?", tanpa mereka sedari, sebenarnya bukan mereka yang mengeluarkan sesen pun duit untuk majlis perkahwinan itu. Mulut manusia memang sukar untuk ditutup. Pelbagai andaian akan dibuat, sama ada yang membina mahupun yang menjatuhkan. tidak kira siapa pun mereka. 

Masyarakat kini telah disogokkan bahawa majlis perkahwinan itu perlu ada pelamin, perlu ada deretan khemah-khemah yang banyak, masakan yang beraneka jenis, buah tangan ( Goodies Bag) yang eksklusif, pakaian pengantin yang anggun, DJ/ Sound sistem yang hebat, dan pelbagai lagi. Mulut mereka pasti tidak berhenti mengata jika majlis yang diadakan itu secara sederhana, tanpa mengambil kira perasaan tuan rumah, dan juga tanpa mengambil kira kedudukan kewangan mereka. Mengapakah keadaan menjadi sebegini? Kerana manusia itu saling berlumba untuk mendapatkan pujian. Majlis orang ni ada DJ radio, majlis orang ni ada live band, majlis orang ni ada 10 jenis lauk, majlis orang ni ada pelamin RM3000, maj;is orang ni ada baju ala-ala permaisuri agong dan pelbagai lagi jenis perbandingan. Jika kita tergolong dengan golongan yang tidak kisah akan semua itu, dipersetankan sahaja segalanya. Namun jika disebaliknya, bakal pengantin itu sendiri yang akan menanggung bebannya dikemudian hari. 

Seandainya majlis pernikahan itu menjadi mudah, maka sudah tentu akan kurang masalah gejala sosial. Kini, apabila pasangan ingin melangsungkan perkahwinan, mereka perlu mengikat perut untuk menyediakan duit bagi majlis mereka. Mereka perlu menyediakan duit paling minimum RM10k. Kelihatannya seperti perkahwinan itu adalah sesuatu yang sukar.

Oleh itu, masyarakat seharusnya kembali semula kepada keperluan pernikahan itu, mengapa pernikahan itu sesuatu yang penting dan wajib disegerakan. Jika masyarakat mampu membuang tanggapan karut mereka tentang majlis walimatul urus, semestinya pernikahan itu akan dilihat sebagai perkara yang tidak membebankan.

* Sebab tu kadang-kadang ada pasangan yang kahwin lari sahaja, sebab lagi murah & mudah*
** Mula terasa tekanan bila orang sudah mula membuat perbandingan majlis perkahwinan sepupu**
*** Pernikahan itu harus dimudahkan, bukan disukarkan..***
**** Aku nak nikah sahaja. tapi................ arghhhhh.. masyarakat bermulut tempayan****

No comments:

Post a Comment