Thursday, March 28, 2013

Salin dan Tampal

Sekarang ini, teknologi memang canggih. Rata-rata orang sekarang mepunyai blog sendiri.  Ada bermacam ragam, bermacam cara penulisan, genre dan juga tujuan blog itu ditulis. Aku suka baca blog yg ada kelainan, yang ada cara tersendiri dalam penulisannya. Namun, ada satu yang aku kurang gemar,
 
Blog salin dan tampal..
 
Biarlah blog itu kurang mendapat sambutan sekali pun, namun biarlah isi itu dtg dari idea kita sendiri. Bukannya salin dan tampal dari blog orang lain untuk mendapatkan jumlah pengikut yang mencanak tinggi, lebih-lebih lagi blog yang berkaitan dengan berita semasa dan dunia artis. Biarlah ada sesetengah orang yang merasakan isi yang kita tulis itu merepek dan syok sendiri kerana ia blog kita sendiri, yang mencerminkan gaya pemikiran kita sendiri. Jadi, takkan nak sama gaya pemikiran kita dengan orang lain? Kalau ada orang yang tak suka, satu je ayat yang sesuai untuk dia, "Ada aku kesah????"
 
Kadang-kadang, aku terbaca satu cerita yang sama, cara penulisan yang sama dan juga ayat yang sama dalam 10 buah blog yang berbeza. Hmm..Kebetulan? Semestinya tidak. Jika penulis itu hanya membuat ulasan, itu tak mengapa, kerana ia masih boleh dianggap datang dari idea mereka sendiri.
 
Lagi satu, etika berblog. Jika isi itu disedut dari blog lain, sila la bg link blog asal di page anda. Bukan main sedut je mcm la idea tu dtg dari idea sendiri. Kalu masa menulis thesis cara macam ni, dah lama dah kena tending dengan pensyarah..Huhu..
 
Akhir kata, majulah sukan untuk Negara!

Peringatan kepada diri sendiri: Be original!

Wednesday, March 27, 2013

The Art of Deception

Akhirnya!

Pada ulangtahun aku yg ke 24 tahun lepas, Abg Fairuz telah memberikan sebuah buku untuk di baca. Menurut beliau, buku tu adalah salah satu buku idamannya sejak dahulu kala, zaman tok kadok yang dimana pada waktu itu aku pun tak tahu tentang kewujudan beliau. (Maafkan saya..ehem..)

The Art of Deception - Buku pasal social engineering, ditulis oleh hacker terkenal (wiki: Kevin Mitnick). Giler ah. Dari tahun 2005 aku mengidam buku nih.. huhuhu.. thanksss!!! 

Quote dr blog Abg Fairuzzzz(Sila rujuk entry ini).

Agak terharu juga bila beliau menyerahkan buku ini pada aku, sebab buku ini adalah hadiah beliau kepada diri beliau sendiri (Macam tu pun boleh ek?).

Agak lama buku ni terperap di dalam rak buku aku yang cantik nan indah, bersama beberapa lagi buah buku setebal kamus oxford yang masih lagi suci tak tersentuh oleh aku. (Main beli je, bacanye tidak jugakk). Oleh sebab kekangan masa, makanya amat sukar untuk aku meluangkan masa membaca buku. Paling tinggi aku boleh baca buku, sehari sehelai. Lepas tu, terbengkalai untuk beberapa hari ataupun beberapa bulan.

Akhirnya, pada suatu hari nan permai, aku telah mengalihkan semua buku-buku aku ke rak buku yg lebih menarik dan teratur, lebih mudah untuk aku ambil dan baca.

Puas aku tegakkan, terbaring gak jadinye..

Oleh itu, aku nk menyambung kembali membaca buku ni..

Heheheheh..membaca itu amalan mulia..

Nanti, lepas ni aku boleh buat The Art of Deception bahagian 2..

Tuesday, March 26, 2013

Payung Emas Siti Khadijah

Bila berkata tentang payung emas, pasti ramai boleh menangkap apa maksudnya. Semestinya ia berkaitan dengan poligami.
 
Poligami, perkataan yang paling digeruni kaum wanita, paling digemari kaum lelaki. Berpoligami bermakna wanita itu akan berkongsi kasih sang suami dengan wanita lain. Nampak agak mudah, namun bagi mereka yang berhadapan dengannya, pasti hanya mereka tahu keadaannya.
 
Salah satu syarat untuk berpoligami adalah berkemampuan. Ia berdasarkan dari semua segi, iaitu dari segi kewangan, jasmani, rohani dan juga minda. Namun, ada satu jenis kemampuan yang selalu diketepikan, iaitu kemampuan untuk berlaku adil.
 
Aku pernah mendapat 'tempias' kesan poligami ini dari sahabat aku sendiri. Sahabat aku ini isteri pertama, yang banyak berkorban demi suami. Dia merupakan surirumah sepenuh masa. Dia amat mempercayai suaminya itu. Namun, sedikit demi sedikit kasih suaminya berubah tanpa dia sedari. Walaupun pada awalnya dia ada meragui suaminya, namun oleh kerana percaya, dia persetankan segala prasangka. Hingga la pada suatu hari, suaminya itu mengakui tentang cintanya pada wanita lain.
 
Hati wanita mana yang tidak sedih? Oleh kerana dia terlalu sayangkan suaminya, dia terima juga poligami itu, berusaha untuk menerima madunya dengan seadanya. Namun, apa yang berlaku ialah dia di abaikan. Suaminya hanya menjadikan rumahnya sebagai tempat tidur dan menukar pakaian sahaja. Dirinya tidak diendahkan, hati dan perasaannya tidak dijaga. Yang ada dalam fikiran suaminya hanyalah isteri mudanya sahaja, walaupun pada awalnya suaminya telah berjanji untuk berlaku adil.
 
Dimanakah keadilannya di situ? Sedangkan perasaan si isteri didera setiap hari. Setiap hari dia berdoa kepada Allah agar hatinya dapat meredhakan setiap perbuatan suaminya itu. Akhirnya dia mengadu kepada aku, sampai bila dia harus terdera begini? Kasihan melihat dirinya. Setiap hari menangis. Suaminya hanya memberikan hadiah kepada isteri muda, memberikan bunga, berpakaian sedondon, sedangkan dirinya? Tiada. Hati isteri mana tidak terasa? Berlaku adilkah di situ? Tidak. Sedangkan dengan isteri muda, ulangtahun perkenalan pun disambut, namun dengan isteri tua, ulangtahun perkahwinan yang ke 20 pun terlupa? Mungkin si suami perlu diberi makan kismis sekilo kerana terlalu banyak makan semut.
 
Aku yang menjadi pemerhati ini amat mengkagumi semangat sahabat aku ini. Amat tabah dalam mengharungi dugaan hidup. Jika aku berada di tempatnya, kemungkinan besar aku dah angkat kaki dan beg.Tidak sanggup menghadapi penderaan mental sebegitu.
 
Oleh kerana itu la, ramai wanita yang gerun akan poligami. Kebanyakkan lelaki amat bersetuju tentang hukum poligami, namun arifkan mereka tentang cara pelaksanaannya? Kebanyakkannya suka berkahwin lebih dari satu, namun adakah mereka mampu berlaku adil? Mengapa hanya sunnah nabi yang itu satu sahaja yang mahu diikut, sedangkan perkara wajib pun tak mampu dilakukan? Mengapakah poligami sahaja yg dilihat, sedangkan ada berates-ratus lagi sunnah nabi? Jika benar mereka ingin berpoligami, mereka perlu menyediakan diri mereka dengan ilmu agama, untuk mengelakkan ketidakadilan dari berlaku. Isteri semestinya tidak akan menolak untuk berpoligami jika dia melihat suaminya berkemampuan dari segala segi, termasuklah mampu untuk berlaku adil.
 
Oleh itu, kepada kaum lelaki, jika anda ingin berpoligami, pastikan dada itu sudah penuh dengan ilmu agama. Bukan hanya ilmu untu berpoligami, malah segala ilmu fardu ain. Tanya pada diri anda sendiri, mampukah anda untuk berlaku adil? Jika tidak, batalkan sahaja niat anda itu. Kerana diakhirat nanti, sudah semestinya isteri anda yang penyabar dan redha itu insyaallah akan mendapat payung emas, namun di waktu yang sama bahu anda pula senget sebelah kerana tidak berlaku adil. Jika diawal perhubungan pun sudah menunjukkan ketidakadilan, bagaimana ingin hidup bersama selama 20-30 tahun?
 
Aku bukannya menentang poligami, kerana aku tahu poligami itu hak suami. Aku orang Johor yang bersekolah agama di Johor, mendalami ilmu munakahat untuk 2 tahun. Aku tahu apa hukumnya isteri meminta cerai jika suaminya ingin berkahwin lain, dan aku tahu apa hukumnya jika isteri tidak membenarkan suami berkahwin lain. Terpulang pada suami untuk menilai dan membuat keputusan. Namun, apa yang aku tidak sokong adalah bagaimana suami-suami ini mengabaikan isteri tua, bak kata pepatah, dah dapat pucuk muda, yang tua dilupakan. Mereka juga manusia yang punya hati dan perasaan. Jagalah hati mereka. Mereka bukan pembantu rumah anda, mereka adalah suri rumah anda. Mereka bukan dibeli oleh anda, mereka dinikahi oleh anda. Tunaikan janji anda yang dilafazkan di dalam lafaz taklik dihadapan wali isteri anda dahulu..

Saturday, March 23, 2013

Alfatihah buat Abah..



Beliau yang bersusah payah bekerja mencari sesuap nasi..

Beliau yang bersusah payah mencari nafkah buat keluarga.

Beliau yang bersusah payah memenuhi permintaan anak-anak..

Beliau yang bersusah payah memastikan anak-anak mendapatkan pendidikan dengan sempurna

Beliau yang sering bimbang akan anak-anaknya walaupun tidak terpamer di wajah,

Beliau lah tunggak,tunjang dan ketua keluarga..

Namun,ALLAH lebih menyayangi dia..

Tanggal 15 Februari 2013, abah pergi meninggalkan kami selamanya,

Telah 40 hari abah pergi meninggalkan kami di alam yang fana..

Alfatihah buat abah..

 

Wednesday, March 20, 2013

Hadiah kecil buat wanita

Wanita makhluk yang  mudah tersentuh.
Bukannya hanya memandang harta kekayaan,
Namun hanya mengintai secebis keikhlasan.
Bukannya mementingkan paras rupa,
Hanya ingin mencari teman penenang jiwa.
Bukannya mementing emas, intan, berlian, permata,
Hanya ingin mencari insan yang sanggup berkongsi suka dan duka.

Wanita bukan semuanya mata duitan.
Wanita bukan semuanya memandang harta pencarian.
Wanita bukan semuanya suka memainkan perasaan.

Namun..
Semua wanita suka dimanja.
Seganas mana pun seorang wanita tetap akan terasa bagaikan anak kecil ketika dimanja.
Semua wanita suka dipuji.
Hati mereka akan berbunga bagaikan bunga yang kembang mekar di taman.
Semua wanita suka dihargai.
Terasa segala pengobanan mereka terbalas
Semua wanita sukakan kejutan (semestinya kejutan yang menggembirakan,bukan kejutan yang boleh menyebabkan serangan jantung!)
Pasti mereka akan mengingatinya sampai bila-bila.

Wanita dan hadiah tak dapat dipisahkan.
Bukannya meminta bunga ros 12 kuntum,
Bukannya meminta cincin Habib Jewel 24 karat,
Bukannya meminta rumah banglo RM50 juta,
Cukuplah sekadar sesuatu yang menggambarkan keikhlasan..
Cukuplah sekadar memahami hati wanita..
Cukuplah sekadar tidak memuji wanita lain di hadapan mereka..
Wanita hanya inginkan kejujuran,kerana dusta itu membunuh kepercayaan

Wanita itu rumit...
Ya...Kami rumit..
Kerana kami diciptakan rumit untuk melengkapi lelaki yang serba ringkas

Lebih sudu dari kuah


Bila sudu lebih dari kuah…

Akhirnya empunya sudu yang malu..

Nampak macam tamak terlebih-lebih..

Nampak macam terdesak tahap gaban..

Omputih kata, Desprado in da hause~

 

Bila diri sendiri yg jadi sudu tu…

 

Jawapannya,

 

Sila malu dengan diri sikit.

 

*Malunya bila diri nampak desperate dan terlebih-lebih*

Friday, March 1, 2013

Tiada kata-kata


Tak menangis bukan bermakna tidak sedih.
Ketawa bukan bermakna telah melupakan.
Kadangkala kesedihan itu lebih wajar disorokkan,
Ketabahan itu lebih wajar dipamerkan,
Agar menjadi kekuatan bagi orang lain.
 
Gelak tawa gurau sendanya sentiasa teringat di hati,
Nasihatnya sentiasa terngiang di telinga,
Kata-katanya sentiasa bermain di minda,
Susuk badannya sentiasa bermain di mata...
 
Ya Allah, permudahkan urusan abahku di sana.
Alfatihah untuk abah..
 
 

Mencari Kesempurnaan

Fitrah manusia,
Mencari kesempurnaan disebalik selaut kecacatan,
Menuntut orang lain menjadi sempurna,
sedangkan diri sendiri diselaputi beribu cacat cela.
Manusia dilahirkan dengan penuh kecacatan.
Jika tidak pada paras rupa, mungkin pada akal fikiran dan juga sikap.

Sempurna tidak datang dengan sendirinya.
Sempurna hasil dari beribu usaha, beribu cara.
Bukan dari diri sendiri sahaja,malah dari orang yang disekeliling.

Pabila mencari kesempurnaan,
Selami diri sendiri sejauh mana sempurnanya kita.
Dalam diri pasti ada kekurangan

Manusia saling melengkapi.
Hidup saling menyempurnakan antara satu sama lain
Bila kita merasakan orang lain itu sempurna,
Berusaha lah untuk menjadi seorang yang lebih baik,
Bukan hanya menunggu kesempurnaan datang dgn sendiri.
Bila kita merasakan orang lain itu kekurangan,
Berusahalah untuk menjadi pelengkap kesempurnaan mereka.

Hidup perlu saling melengkapi,
Kesempurnaan hanya akan hadir bila hidup kita lengkap.
Lengkap dengan kebahagiaan..

Bersifat Sempurna,
Tiada yang sempurna melainkan Yang Maha Esa.