Thursday, June 21, 2012

Mencari-cari cebisan Mood yang bersepah

Sejak akhir-akhir ni, aku sering terkena penyakit tak ada mood. Aku tak tahu ke mana perginya mood aku tu, mungkin pergi melancong, pergi berehat, pergi berjalan-jalan, ataupun mungkin pergi berhijrah. Yang pasti, mood tersebut tak ada bersama aku. Susah juga kalau tak ada mood ni, sebab semua perkara yang nak dibuat, tak menjadi. Walau pun puas jenuh pergi mengkorek, menyeru, mahupun memuja mood tersebut, masih juga tak datang. Mungkin dia dah lupa nama dia Mood? Ataupun dia dah jumpa tuan lain? Eh, dah macam kucing la pulak.

Mood ni ada kaitan dengan kehendak hati. Jika dalam hati macam dah tawar rabak, macam tak letak garam langsung, memang la tak mampu nak buat apa. Walaupun kita cuba letakkan sekapal gula pun, tawar tetap tawar. Sebab yang ada hanya manis, yang masin tu tak ada. Rencah kehidupan dah berkurang satu bahan. Itu hakikat.

Bila tak ada mood, segala perkara yang kita buat tak akan menjadi. Walaupun apa yang terjadi, ia tetap tak menjadi walaupun ia menjadi jadi-jadian sekalipun. Oleh itu, takkan nak biarkan semua kerja terbengkalai, tak siap & peluang untuk dimarahi pihak atasan mencanak naik? Oleh itu, perlu  lah cari jalan penyelesaian dengan sendiri.

Semua orang ada perkara yang menggembirakan atau perkara yang dia suka buat kan? Oleh itu, jika korang suka memasak, pergilah masak. Jika korang suka layan cerita korea, pergilah menangis bersama abang-abang hensem korea yang baru ditinggalkan sang kekasih. Sekurang-kurangnya, walaupun mood untuk perkara lain dah tak ada, masih lagi terisi masa kosong kita, ya tak? Tak adalah mati kebosanan. Kalau aku, aku suka berkebun & cuci kereta. Tak kira la penat sebab pergi tebang pokok pisang, letih sebab meracun rumput, ataupun mengah sebab cuci kereta selama 2 jam, asalkan dapat menarik perhatian kita, dan hati terasa lebih ringan dan senang.  Tak ada orang yang cuci kereta sambil meleleh air mata kalau cuci kereta itu adalah kehendah dia sendiri. Lepas kepenatan, conform tidur malamnya lebih lena, sebab dah penat, terus hilang ingatan terhadap mood yang hilang.

Untuk diikat kembali mood yang dah bersepah ditiup angin mahupun ribut taufan, kadang-kadang ia memerlukan masa yang lama, kena tunggu sehingga 'garam' dalam kehidupan tu diisi semula. Oleh tiu, kita sendiri seharusnya pergi mencari garam tersebut. Kalau nak tunggu je 'garam' tu jatuh dari langit, alamatnya sampai kiamat pun mood tu memang tak akan datang. Cubalah untuk tidak mengikut sangat perasaan kurang mood itu. Cuba sesuatu yang baru, jika tidak pun, cuba untuk buat perkara lama yang diperbaharui.

Oleh itu, jika sesiapa rasa hidupnya sudah tawar, marilah kita sama-sama pergi ke laut, supaya dapat memasinkan diri dengan air laut. Nak mandi laut ke, nak guling-guling atas pasir pantai ke, nak berlari-lari macam heroin hindustan sambil main ombak ke, ataupun nak buat penggambaraan Ombak Rinduan V2, pun tak apa. Kalau dah alang-alang ke laut tu, campakkan semua rasa tawar itu dalam laut, supaya ia boleh menjadi masin~

*tak ada mood tak semestinya pergi laut sahaja, banyak tempat lain boleh pergi.Tepuk dada,tanya poket, ada duit nak pergi mana?Hahaha.*

No comments:

Post a Comment