Wednesday, May 9, 2012

Kasih Ibu membawa ke syurga, Kasih anak membawa ke mana?

Hari ibu bakal menjelma tak lama lagi. Eh, bakal menjelma ke dah terlepas dah? Yang penting, aku memang tak tahu tarikh sebenar Hari Ibu. Yelah, aku bukannya tak menghargai ibu, namun takkan nak tunggu hari ibu, baru nak menghargai ibu? Dah tu, selama hari ni, kemana perginya penghargaan kita sebagai anak kepada ibu kita?

Baru-baru ni sibuk heboh di dalam internet, terutamanya FB mengenai sambutan hari ibu itu haram kerana dikaitkan dengan Virgin Mary dan agama Kristian.What?? Bagi kita yang beragama Islam, sudah semestinya ramai la yang meggeletek tak puas hati, kenapa orang Islam lain menyambutnya? Kenapa dekat tv sibuk buat sambutan hari ibu? Ada yang tak ambil kisah, pada mereka, sambutan hari ibu adalah semata-mata meraikan ibu mereka, bukan ibu orang lain, dan tidak terlintas langsung untuk menyambuk hari Virgin Mary. Terpulanglah pada niat masig-masing, apakah istilah sambutan hari ibu tu pada mereka. Pada aku, aku berada dalam kumpulan berkecuali, bukan untuk berdebat mengenai perkara ini yang ada kaitan dengan agama, sebab aku rasa aku tidak layak untuk berdebat mengenai perkara ni, sebab ilmu aku masih lagi cetek, masih banyak yang perlu aku belajar.

Oleh itu, perkara ni sebenarnya patut memberi kesedaran kepada mereka yang masih ada ibu, dimanakah ibu anda sekarang? Apa yang sedang dilakukan oleh ibu kita? Sudahkah ibu kita menjamah makanan pada hari ini? Sudahkah ibu mendapatkan rehatnya dari kerja seharian yang tiada penghujungnya? Masa kita kecil, biasanya ibu yang akan terfikir, dimanakah anak mereka ketika ini? Pergi bermain kah? Jika di sekolah, adakah mereka sedang belajar? Atau sedang mengusik kawan-kawan? Sudah makan kah? Makan apa ketika disekolah?

Persoalan seorang ibu akan berterusan sehingga si anak membesar, malah lebih banyak dan lebih berat berbanding ketika kita masih kecil. Persoalan si ibu akan menjadi semakin rumit jika si anak duduk berjauhan dari mereka. Kebimbangan yang lahir di hati seorang ibu bukannya lakonan, dan ia bukanlah hanya untuk menyusahkan si anak, kebimbangan mereka lahir kerana kasih dan sayang terhadap anak mereka. Ibu mana yang tidak sayangkan anak mereka? Anak yang merupakan sebahagian dari mereka, anak yang lahir kerana mereka, anak yang membesar kerana mereka, anak yang berjaya kerana mereka, dan anak yang menjadi ibu bapa kerana mereka, kerana tiada ibu, maka tiadalah kita.

Aku sering terbaca pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya. Aku sering menonton drama tentang kasih seorang ibu terhadap anaknya. Aku sering mendengar cerita tentang cinta seorang ibu terhadap anaknya. Dari cerita dan kisah ini, membuatkan aku terfikir pengorbanan yang dilakukan oleh ibuku sendiri. Memandang sesusuk tubuh yang semakin dimamah usia, dicengkam dengan penyakit yang berpuluh tahun dihidapi, ibuku tetap ibuku. Sanggup bersengkang mata kerana anaknya, sanggup berlapar kerana anaknya, sanggup berpenat kerana anaknya, sanggup berkorban kerana anaknya, sanggup menggadaikan segalanya kerana anaknya. Ibu, seorang yang sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anaknya di dunia dan di akhirat, walaupun kadangkala tanpa disedari aku menghiris hatinya, meremukkan hatinya. Walaupun bersungguh aku berikrar untuk tidak membuatkan ibuku bersedih, namun kadangkala terlangkau juga batasan itu tanpa kusedari.

Ibuku sering berkata, aku akan merasakan apa yang dirasakan tika aku bergelar seorang ibu, kerana hanya ibu yang memahami hati seorang ibu. Ya, memang aku bersetuju dengan ayat itu. Hanya ibu yang tahu perasaan seorang ibu, hanya ibu yang tahu bagaimana rasa hati seorang ibu. Bantahnya seorang ibu demi keselamatan anaknya, marahnya seorang ibu demi kebahagiaan anaknya, pukulnya seorang ibu demi kejayaan anaknya. Mungkin tika ini aku hanya memahami 0.0005% sahaja, namun aku berusaha untuk berada di tempatnya. Menolong sehingga yang termampu setiap hari, dengan harapan, terkurang sedikit bebanan dibahunya. Menggembirakan hatinya sebaik mungkin, dengan harapan terlupa sedikit masalah dihatinya. Namun untuk berfikir bahawa aku sedang membalas jasanya, tidak sama sekali, kerana jasa itu tidak akan terbalas walaupun dengan darah aku sekalipun. Untuk berfikir bahawa aku membalas pengorbanannya, tidak sama sekali kerana pengorbanan aku tidak akan setanding walaupun aku gadaikan seluruh kehidupan aku.


Mempunyai keluarga sendiri bukanlah tiket untuk melupakan ibu bapa. Aku selalu terbaca dan terdengar bagaimana si anak dengan bangganya melupakan ibu bapa dari kamus hidup mereka, tidak langsung menghubungi ibu tua di kampung, tidak langsung mengirim khabar, jauh sekali menghulur wang ringgit. Ibu tua itu kadangkala yang bersusah payah menitip khabar kepada si anak. Wajarkah tindakan itu? Tanggungjawab anak terhadap ibu akan berterusan walaupun telah mempunyai 10 anak sekalipun, lebih-lebih lagi anak lelaki. Anak lelaki yang menjadi tunggak keluarga dan anak lelaki yang memikul tanggungjawab terhadap keluarga. Aku hanya ada seorang adik lelaki, anak lelaki tunggal dalam keluarga. Apa yang selalu aku nasihatkan kepadanya, jangan lupakan ibu walau telah berkahwin, kerana dialah yang orang yang paling penting dalam keluarga selepas abahku, dan carilah isteri yang boleh bertolak ansur dengan ibuku, orang yang boleh menerima dan menyayangi ibu aku sebagaimana dia menyayangi adik aku. Namun, jangan lah pula terlalu 'rigid' terhadap isteri sehingga si isteri tak boleh pulang ke kampungnya. Perlu diingat juga, jika tiada ibu mertuamu, tiadalah isterimu.


Nurkilan aku kali ni hanyalah sekadar dari pandangan aku semata-mata, tiada kaitan dengan mana-mana kenyataan mahupun manusia lain. Nurkilan aku ini juga akan menjadi peringatan kepada aku, supaya menjadi anak yang lebih baik dari masa ke semasa. Ketika masih di bawah tanggungjawab ibu bapa, akan aku berusaha sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik. Sebagai anak, mendoakan kebahagiaan ibu walau dimana dia berada adalah tugas utama. Aku sentiasa sedar bahawa darah yang mengalir di dalam tubuh anak semuanya berasal dari si ibu, walau aku dermakan kesemuanya kepada ibu aku sekalipun, tidak akan sama dengan darah yang telah membolehkan aku hidup (sebab dari darah, akan jadi daging, ye ke?). Aku ingin kasih aku turut membawa ibu aku ke syurga, bukan setakat syurga dunia, malah syurga di akhirat kelak. Aku sentiasa berdoa agar kasih aku ini tak menyebabkan ibu aku terlempar ke lembah kehinaan dan kesengsaraan. Aku ingin buktikan bahawa jika kasih ibu boleh membawa ke syurga, kasih anak turut membawa ibu ke syurga, bukan ke neraka~

No comments:

Post a Comment