Wednesday, May 2, 2012

Apabila si Anjing lebih mulia dari Manusia

30 April 2012, 6.15 ptg, Taman Teknologi Tak berapa tinggi, Johor tak berapa nak Baru.

Aku memandu keluar dari opis dengan kelajuan sederhana. Aku lihat, tak banyak kereta hari ni, mungkin sebab ramai yang ambil kesempatan untuk bercuti panjang sempena Hari Buruh keesokan harinya. Keluar sahaja ke jalan utama, kelihatan beberapa pemandu memperlahankan kenderaan. Mengapakah? Tertanya-tanya aku dalam hati. Kelihatan seekor anjing berada di tengah jalan. "Ish, anjing ni, kalau nak melintas, lintaslah cepat!Kalau dah kena langgar, macam mana?" Getus hati kecil aku. Kereta yang sedari tadi aku pandu dengan kelajuan 30 km/j semakin menghampiri anjing itu. Semakin lama semakin jelas kelihatan sesuatu di atas jalan. Apakah itu? Kelihatan anjing itu cuba mengangkatnya. Mungkinkah makanannya? Mengapa begitu berusaha untuk menyelamatkannya?

Jarak kedudukanku dengan anjing akhirnya kurang dari 2 meter. Terperanjat aku, kelihatan seekor anak anjing yang telah kehilangan nyawa terbaring kaku di atas jalan. Si ibu berusaha untuk menyelamatkan anaknya itu, tanpa menghiraukan pemandu-pemandu kenderaan yang mungkin ada yang bersimpati, mungkin ada yang tidak langsung menghiraukannya. Dari mata si ibu, dapat kulihat bagaimana dia cuba untuk menyampaikan mesej 'tolonglah selamatkan anakku ini'. Matanya yang kuyu bagai merayu, membuatkan air mata aku mengalir sayu. Begitukah sekali kasihnya si ibu?

Ingin sahaja aku memberhentikan kereta, menolong si ibu mengalihkan anaknya ke tepi jalan. Namun, ia adalah anjing! Berbagai kemungkinan boleh berlaku. Mungkinkah aku akan digigit? Yang pasti aku akan perlu mencari sebasuhan air tanah dan 6 basuhan air mutlak untuk menyertu diri ku, dan mungkin juga kereta ku. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk berlalu pergi, meninggalkan sang ibu anjing memohon simpati.

Sambil memandu aku terfikir, begitukah kuatnya kasih ibu? Ibu, tidak kira ibu kepada khalifah di muka bumi ini, ibu kepada tarzan comel di hutan, ibu kepada harimau dah singa yang berlarian memburu makanan, ibu kepada ikan paus yang berenang di lautan, mahupun ibu sang helang bebas berterbangan, mereka semua ibu yang membesarkan anak-anak, punya naluri yang kuat terhadap anak mereka. Walau apa pun yang terjadi, si ibu tidak akan meninggalkan anak mereka. Mengapa? Kerana ibu yang melahirkan, menyusukan, membesarkan anaknya. Lahirnya anak kerana ibu, anak membesar dalam kandungan kerana si ibu yang mengkehendakinya. Si anak tumbuh sihat di dalam kandungan kerana nutrien dari si ibu. Membesarnya anak, kerana susu yang diminum dari badan si ibu. Hampir kesemuanya dari si ibu.

Namun, terdapat juga manusia yang tidak layak dipanggil ibu. Lihat sahaja di dada-dada akhbar, bayi di jumpai di tepi masjid, jika tidak pun di dalam tong sampah. Oh, ada juga yang di 'flush' di dalam tandas. Mahu yang lagi ekstrim? Ada bayi yang sudah tidak cukup anggota badan akibat di makan biawak di jumpai di dalam sungai, jika tidak pun dibakar bagai kertas yang dikitar semula. Siapakah yang membuang bayi-bayi yang tidak berdosa ini? Sudah semestinya manusia yang berdosa. Mengapa? Kerana lahirnya anak itu bukan diatas kehendak mereka. Lahirnya mereka kerana satu kesilapan yang dilakukan. Lahirnya bayi ini kerana kealpaan.  Sebagai manusia, kita tidak lari dari dosa, namun jangan ditambah dosa yang menggunung dengan dosa membunuh, lebih buruk lagi membunuh darah daging sendiri.

Wahai gadis-gadis yang tidak layak bergelar ibu, sedarkah kamu tentang satu kenyataan? Beribu-ribu wanita di luar sana menangis setiap hari untuk bergelar ibu. Beribu-ribu wanita di luar sana yang berdoa setiap hari untuk bergelar ibu. Beribu-ribu wanita di luar sana berusaha untuk bergelar seorang ibu. Begitu murahnya harga kepada gelaran ibu wahai gadis-gadis, sehingga sanggup kau campakkan begitu sahaja? Mungkin pada masa ini kau tidak sedar kepentingannya, namun suatu hari nanti kau bakal menyesali perbuatan mu itu. Janganlah kerana kealpaan kau gadaikan nyawa darah dagingmu sendiri. Tidak penatkah kau membawa kandungan itu selama 9 bulan 10 hari? Tiada rasa kasih kah dikau terhadap darah dagingmu itu sendiri? Walaupun berjuta kesalahan yang kau lakukan, jangan sesekali membunuh darah daging sendiri. Walau sebuntu mana pun fikiranmu wahai gadis, jangan kau berpaling dari mereka.  Terdapat 1001 jalan untuk kau pilih, dan yang pasti membuang bayimu dan menyebabkan kematian bukan salah satu darinya. Sedarilah bahawa lahirnya mereka sebagai satu peringatan terhadap dosa yang kau lakukan. Lahirnya mereka adalah sebagai petunjuk bahawa dosa itu perlu dihentikan. Lahirnya mereka dengan harapan si ibu kembali ke jalan yang benar, menyucikan diri dari dosa, sebagaimana si anak lahir ke dunia tanpa berdosa.

Wahai gadis-gadis, ketahuilah batas-batasmu. Buktikan bahawa dirimu manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir, bukan hanya bernafsu semata-mata. Buktikan dirimu layak bergelar khalifah di dunia. Sedangkan anjing menyayangi anaknya, inikan pula manusia yang mempunyai akal dan minda. Anjing pun amat menyayangi anak-anaknya, janganlah engkau menjadi lebih hina dari mereka~


No comments:

Post a Comment